Penyerahan Memorandum Bantahan Penganjuran Miss Malaysia World 2013
Penganjuran Pertandingan Miss Malaysia World 2013 pada tahun ini menimbulkan pelbagai isu dan kontroversi. Walaupun mengetahui fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menyatakan keharaman menyertai pertandingan ini namun, empat peserta Islam tetap berkeras untuk terus bertanding. Ini menunjukkan bahawa mereka termasuklah pihak penganjur langsung tidak menghormati pendirian Islam dan memperlekehkan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Atas dasar ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) terpanggil untuk menyatakan pendiriannya tentang isu ini. Penganjuran pertandingan ini merupakan satu pelanggaran hukum syarak yang nyata, penghinaan terhadap Islam dan kaum wanita serta melanggar fitrah manusia. Pertandingan ini tidak lain tidak bukan adalah bukti dan natijah daripada keburukan sistem demokrasi sekularisme yang diamalkan di Malaysia pada hari ini.
Pada 31 Julai 2013, delegasi MHTM yang diketuai oleh Ustazah Aisyah Rahmat (Ketua MHTM) telah menghantar memorandum bantahan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) di Kuala Lumpur. Delegasi yang diketuai oleh Ustazah Ummu Maryam pula telah menghantar memorandum tersebut ke pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya.
Memorandum ini dihantar bagi menyatakan bantahan dan menggesa pihak-pihak terbabit agar berusaha untuk menghentikan Pertandingan Miss World Malaysia 2013 yang berlangsung pada 2 Ogos. Delegasi MHTM juga sempat berbincang dengan pihak terbabit tentang tindakan yang sepatutnya diambil dalam menangani isu ini.
Memorandum telah diserahkan kepada YBHG Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki (Yang Dipertua YADIM), Ustaz Wan Jaafar (wakil Pengarah JAWI YB Datuk Haji Che Mat Bin Che Ali), Pn Asiah (wakil JAKIM), dan En. Safiudin Matsah Supol (Setiausaha Politik KPWKM). Alhamdulillah, kedatangan delegasi disambut dengan semangat ukhwah Islamiyah dan memorandum diterima dengan baik.
Pada 1 Ogos 2013 pula, delegasi MHTM yang diketuai oleh Dr. Izzah Ibrahim telah menemui Datuk Anna Lim, Penganjur Miss Malaysia World 2013 di Corus Hotel untuk menggesa pihak beliau agar menghentikan pertandingan tersebut. Ketua delegasi MHTM telah menjelaskan serta menegaskan kepada Datuk Anna Lim bahawa penganjuran Miss Malaysia World 2013 adalah satu penghinaan kepada seluruh wanita dan ajaran Islam itu sendiri. Dr Izzah turut menegaskan kepada penganjur bahawa Muslimah Hizbut Tahrir membantah keras pertandingan Miss Malaysia World tersebut apatah lagi ianya diadakan pada bulan Ramadhan yang mulia serta merupakan satu eksploitasi terhadap wanita semata-mata untuk meraih keuntungan material. Walaubagaimanapun, pihak penganjur kurang senang dengan penegasan bantahan tersebut dan beredar serta enggan menerima memorandum bantahan yang disampaikan.
Sementara itu, satu demonstrasi aman telah diadakan di luar perkarangan Corus Hotel. Seruan bantahan turut disampaikan oleh Ustazah Ummu Hajar dan Ustazah Rafidah. Seruan yang disampaikan itu didengar sehingga ke dalam hotel dan menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu untuk mendengar.
MHTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam usaha untuk mempertahakan maruah wanita dan kemuliaan Islam. Semoga usaha ini akan terus menyatukan seluruh umat Islam dalam mengembalikan semula Islam sebagai cara kehidupan individu, masyarakat dan Negara.
Teks penuh seruan adalah seperti berikut:
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh
Wahai kaum muslimin rahimakumullah,
Pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang dijadual akan diadakan pada esok hari ini merupakan satu lagi agenda kufur yang telah masuk ke dalam negara umat Islam. Kami, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini membantah sekeras-kerasnya penganjuran pertandingan ini dan menuntut perkara-perkara berikut untuk diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya pihak penganjur dan pihak kerajaan:
Pertama,
Penganjuran pertandingan ini merupakan satu pelanggaran hukum syarak yang nyata, penghinaan terhadap Islam dan kaum wanita serta melanggar fitrah manusia. Penganjuran ini tidak lain tidak bukan adalah bukti dan natijah daripada keburukan sistem sekularisme yang diamalkan di Malaysia pada hari ini.
Islam memerintahkan umatnya untuk menjaga aurat, kehormatan dan kemuliaan selari dengan lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengangkat martabat wanita di tempat yang tinggi setelah kedatangan Islam. Namun pertandingan ini hanya akan mengembalikan wanita ke zaman Jahiliyah di mana kecantikan dan tubuh badan mereka dijadikan sebagai satu komoditi.
Kedua,
Bahayanya pertandingan Miss World ini bukan sekadar soal pemakaian bikini atau pendedahan aurat wanita. Apapun namanya, pertandingan kecantikan ini matlamatnya hanya satu iaitu mencari wanita yang mempunyai tubuh badan tercantik untuk diperagakan dan dieksploitasi. Itulah hakikat pertandingan ratu cantik sejak dulu lagi. Sejarah awal Miss World pula memang untuk mencari model pakaian renang/bikini.
Pertandingan yang menjijikkan ini hanyalah topeng bagi melegalisasi eksploitasi tubuh wanita untuk manfaat duniawi. Ia menjadikan kecantikan wanita dan tubuhnya sebagai barang dagangan di atas pentas, catwalk, majalah, surat khabar dan televisyen. Selain itu, ia turut menjadikan kecantikan dan tubuh wanita sebagai alat promosi industri kosmetik dan industri fesyen.
Wahai Kaum muslimin rahimakumullah
Yang Ketiga,
Konsep 3B dalam pertandingan kecantikan iaitu Brain, Beauty dan Behaviour atau kecerdasan, kecantikan dan keperibadiaan adalah konsep yang menipu untuk memastikan pertandingan semacam ini diterima masyarakat. Aspek yang dinilai hanyalah 1 konsep saja iaitu kecantikan.
Maka, membiarkan dan menyokong pertandingan diadakan sama sahaja dengan mensahkan pameran dan penjualan tubuh wanita yang jelas-jelas haram di sisi Islam.
Keempat,
Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah penganut Islam mendapat perhatian daripada masyarakat dunia kerana imej Islam yang ditonjolkan. Namun, penerimaan Malaysia atas pertandingan ini akan meneguhkan lagi hipokrasi yang ada, di samping menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara yang menghalalkan majlis maksiat dan penyertaan wanita dalam pertandingan kecantikan.
Apakah Malaysia ingin membuktikan dan menjadi model bahawa ia adalah negeri yang toleran terhadap maksiat dan ingin menjadi kiblat liberalisme untuk negeri Muslim lainnya? Na’uzu billah.
Wahai Kaum muslimin rahimakumullah
Oleh yang demikian, kami menggesa pihak yang berkuasa untuk membatalkan pertandingan ini serta-merta bagi mengelak kemaksiatan dan membendung segala keburukan yang akan terhasil darinya serta menjamin kesejahteraan masyarakat.
Jika pihak yang berkuasa tidak bertindak, hal ini sesungguhnya membuktikan betapa jauhnya mereka daripada Islam. Sekiranya semua pihak yang terlibat dan pihak kerajaan khususnya tetap meneruskan penganjuran majlis maksiat ini, mereka sebenarnya telah mengundang murka Allah Azza wa Jalla. Maka tunggulah azab yang akan menimpa mereka baik di dunia mahupun akhirat.
Sungguh, umat ini memerlukan seorang Khalifah dan sistem Khilafah yang akan menerapkan dan menjaga hukum Allah, bagi menggantikan pemerintah dan sistem yang bertentangan dengan Islam yang ada sekarang ini.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh