Peranan Dan Fungsi Pilihan Raya Dalam Sistem Demokrasi Dan Sistem Pemerintahan Islam

Pilihan Raya Umum ke-14 bakal berlangsung dalam tempoh waktu yang dekat. Bagi negara yang mengamalkan sistem federal – demokrasi dan monarki berperlembagaan, pilihan raya adalah mekanisma yang mesti dilalui ketika situasi normal. Malah, mungkin pilihan raya merupakan kaedah paling popular diamalkan, merentasi pelbagai sistem dan bentuk negara masa kini, tidak terhad kepada negara yang menisbahkan diri pada demokrasi semata-mata. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, pilihan raya merupakan pemilihan umum yg diadakan untuk memilih wakil di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dsb (carian di http://prpm.dbp.gov.my/ dengan kata kunci ‘pilihan raya’). Ini merupakan definisi jika dikhususkan kepada negara Malaysia. Umumnya, pilihan raya itu adalah proses memilih wakil rakyat untuk menyandang jawatan dan menjalankan fungsi tertentu dalam pemerintahan.

Persoalan asas, wujudkah pilihan raya dalam Islam sebagaimana dalam demokrasi? Jawapan mudahnya adalah ya, wujud. Kaedah ini bukan sekadar amal semasa yang ditaraf hukumkan sebagai harus, tetapi memang telah dipraktikkan konsepnya sejak zaman para sahabat. Dalam sistem pemerintahan Islam, salah satu prinsipnya adalah kekuasaan di tangan umat (al-Sulthan li al-Ummah). Umat berhak memilih dan menentukan siapa pemimpin mereka yang hendak dibai’at. Seseorang tidak akan dilantik menjadi khalifah tanpa kerelaan umat (Muqaddimah al-Dustur, hal 111-112). Jadi, pilihan raya memang boleh menjadi mekanisme memilih jawatan tertentu. Cuma, persoalan berikutnya adalah, adakah sama pilihan raya dalam Islam dan pilihan raya yang biasa dilihat pada masa kini?

Kedudukan dan peranan pilihan raya

Dalam sistem demokrasi, pilihan raya adalah metod utama (thariqah)  yang wajib dijalankan sebagai manifestasi kekuasaan rakyat untuk mewujudkan kedaulatan rakyat dengan suara majoriti. Maksudnya, tidak kira negara republik, federal, bahkan monarki berperlembagaan, sekiranya negara tersebut memilih sistem demokrasi dalam sistem pemerintahannya, pilihan raya adalah mekanisma baku dan wajib dijalankan. Melalui suara majoriti, wakil rakyat akan dipilih untuk didudukkan dalam sesebuah dewan legislatif ataupun parlimen. Kemudian, daripada kalangan mereka akan dibentuk kuasa eksekutif bagi menjalankan pentadbiran negara (jemaah menteri). Kita ambil contoh mudah seperti di Malaysia, perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Rakyat semuanya memerlukan warganegara untuk keluar mengundi di kawasan masing-masing dan keputusan majoriti akan menentukan wakil rakyat yang terpilih. Proses ini akan berlaku secara alami selagi negara tidak berada dalam keadaan darurat. Proses pilihan raya sendiri melambangkan kestabilan politik sesebuah negara.

Berbeza dengan demokrasi, Islam memandang pilihan raya sebagai uslub, iaitu salah satu kaedah daripada beberapa kaedah yang ada untuk mengetahui pilihan rakyat dalam menentukan pemimpin (khalifah) atau wakil rakyat dalam Majlis Umat (Majlis Syura). Kaedah ini boleh diguna pakai sekiranya keadaan memerlukannya seperti pemilihan wakil bagi menduduki Majlis Wilayah ataupun Majlis Umat. Hal ini kerana Majlis Umat adalah wakil umat, dipilih daripada masyarakat oleh warganegara sendiri, bukan dilantik oleh khalifah atau wakilnya. Dalam pemilihan khalifah sebagai ketua negara pula, pilihan raya boleh dibuat di kalangan ahlul halli wal aqdi atau pada tempat yang dikira mewakili suara umat Islam. Contohnya seperti peristiwa pemilihan Saidina Uthman bin Affan r.a. Ketika itu, Abdurrahman bin Auf r.a hanya mengutip undi daripada penduduk Madinah walaupun wilayah umat Islam sudah melebar sehingga Mesir, Syam dan Parsi. Namun, kaedah ini tidak berlaku pada zaman Saidina Ali r.a bahkan tidak berlaku sebelum zaman Saidina Uthman r.a. Oleh yang demikian, pilihan raya bersifat harus pada hukum asalnya.

Tujuan pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah untuk memilih dan melantik wakil rakyat yang akan menjalankan fungsi tertentu. Antara fungsi terbesarnya adalah menggubal undang-undang di dalam dewan legislatif. Ahli Dewan adalah pemilik kedaulatan yang berhak menerbitkan hukum untuk diaplikasikan kepada masyarakat. Ini bertentangan dengan Islam di mana tujuan pilihan raya adalah untuk melantik anggota Majlis Umat dan menunjukkan kehendak umat dalam menentukan calon khalifah yang layak sebelum dibai’at untuk melaksanakan Islam. Fungsi Majlis Umat adalah menyampaikan kepentingan suara masyarakat kepada khalifah atau tempat rujukan khalifah bagi menunaikan tanggungjawab dan aspirasi umat. Selain itu, Majlis Umat mewakili umat dalam melakukan muhasabah terhadap pemerintah dan pegawai negara. Mereka tidak menjalankan fungsi legislatif sebagaimana wakil rakyat dalam sistem demokrasi. Majlis Umat juga bukanlah badan pemerintah atau al-Hukkam sehingga mereka tidak ada kuasa khusus terhadap warganegara selain menjalankan fungsi yang telah disebutkan.

Penglibatan rakyat, kriteria umum calon dan tempoh

Undang- undang negara yang mengamalkan demokrasi biasanya menjamin hak dan kelayakan rakyat dalam mengundi. Kita ambil ambil contoh di Malaysia, setiap warganegara yang berumur 21 tahun ke atas layak mendaftar dan berhak untuk keluar mengundi, tidak kira bangsa dan agama, lelaki ataupun wanita. Tidak ada segmen dan kategori yang berbeza dalam isu yang melibatkan pengundi. Bagi seseorang yang hendak mencalonkan diri untuk menjadi wakil rakyat, syarat-syarat kelayakan juga ditentukan oleh undang-undang negara. Dengan kata lain, sumber bagi segala syarat dan kelayakan calon dan pengundi adalah akal manusia. Jadi, setiap negara mempunyai kriteria dan syarat yang bervariasi mengikut perlembagaan masing-masing. Inilah yang berlaku dalam sistem demokrasi.

Ini berbeza dengan Islam, di mana walaupun hak dan kelayakan diberikan kepada pemilih, para pengundi perlu berada dalam segmen masing-masing. Umat Islam berhak dan layak mengundi calon Majlis Umat sesama Muslim dan ahlu zimmah (warganegara bukan Islam) juga berhak dan layak mengundi calon mereka sesama non-Muslim. Hal ini kerana wujudnya perbezaan taklif (tanggungjawab hukum) bagi warganegara Muslim dan ahlu zimmah. Untuk calon khalifah pula, cuma kaum Muslimin yang berhak dan berkewajipan memilih dan melantiknya. Jawatan-jawatan yang dibenarkan untuk berlakunya pilihan raya adalah Anggota Majlis Umat/ Majlis Wilayah dan Khalifah. Ia tidak terbuka pada jawatan pemerintah selain khalifah seperti Muawwin, Wali dan Amil kerana perlantikan mereka berada di bawah kuasa Khalifah. Syarat-syarat calon diambil daripada al-Kitab dan al-Sunnah, melalui istinbat hukum yang benar. Wakil bagi umat Islam mestilah Muslim dan wakil bagi kalangan kafir zimmi juga terdiri daripada non-Muslim. Untuk menjadi calon Khalifah pula, seseorang mesti memenuhi syarat-syarat in’iqad (kelayakan) iaitu Muslim, laki-laki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Syarat- syarat keutamaan yang tidak wajib pula (afdhaliyah) adalah seperti daripada suku Quraisy, Mujtahid dan lain-lain (Ajhizah Daulah al-Khilafah, hal. 22-25).

Selain pengundi dan calon, pilihan raya dalam demokrasi ditetapkan mengikut penggal-penggal tertentu. Hal ini bermaksud tempoh pilihan raya adalah tetap dan berkala dan berlaku juga dalam keadaan tertentu (seperti ketika kerusi kawasan kosong atau dikosongkan). Seseorang pemimpin negara tidak semestinya dapat memimpin sehingga akhir hayatnya walaupun masih memenuhi syarat-syarat penguasa (dalam Islam). Secara umum, parti pemerintah perlu menang setiap kali pilihan raya sekiranya masih mahu menduduki posisi kepimpinan negara. Ada juga yang mengenakan syarat khusus bagi tempoh jawatan yang disandang. Amerika Syarikat contohnya, menetapkan jawatan Presiden cuma boleh disandang selama dua penggal penuh sahaja di mana calon yang sama cuma layak bertanding dua kali.

Bagi negara Islam, Khalifah layak dan berhak memegang jawatan selagi syarat-syarat in’iqad terdapat padanya. Oleh itu, tidak perlu diadakan pilihan raya umum atau khusus yang tertakluk pada penggal-penggal tertentu. Khalifah boleh memegang kekuasaan selama syarat- syarat ini masih wujud padanya. Sedangkan bagi anggota Majlis Umat, tempohnya ditetapkan pada penggal-penggal tertentu memandangkan praktik para sahabat adalah demikian. Sahabat seperti Abu Bakar  Al-Siddiq r.a tidak mengikat diri untuk merujuk ahli syura semasa zaman Rasulullah ﷺ. Umar al-Khattab r.a juga tidak terikat dengan anggota majlis syura zaman Abu Bakar r.a bahkan merujuk pada orang yang berbeza ketika awal dan akhir pemerintahannya (Ajhizah Daulah al-Khilafah, hal. 155). Oleh yang demikian, pilihan raya boleh berlaku mengikut penggal-penggal tertentu bagi jawatan Majlis Umat sahaja, tidak pada jawatan Khalifah.

Kesimpulan

Sekalipun Islam membolehkan pilihan raya bagi memilih Khalifah dan anggota Majlis Umat (syura), tidak semestinya posisi pilihan raya antara kedua-dua sistem iaitu demokrasi dan Islam itu serupa. Secara teknikalnya ada persamaan, namun dari sudut fundamental, terdapat perbezaan yang ketara. Sekiranya fungsi jawatan yang dipertandingkan diambil kira, pilihan raya dalam Islam tidak digunakan untuk memilih pemimpin yang akan menduduki badan legislatif sehingga melakukan keharaman membuat hukum tasyri’i yang menjadi hak mutlak Allah SWT sebagaimana demokrasi. Khalifah menjalankan fungsi pelaksana syariah, bukan penggubalnya. Manakala Majlis Umat menjalankan fungsi syura dan muhasabah. Jawatan-jawatan ini tidak mempunyai kaitan dalam penggubalan undang-undang, kecuali yang termasuk qanun ijra’i (undang-undang yang dilahirkan daripada perkara-perkara di bawah hukum mubah atau harus). Demikianlah, beberapa perbezaan ini diharap dapat memberikan kerangka pemikiran yang benar dalam memandang konsep pilihan raya dalam kedua-dua sistem ini. Wallahu muwafiq ila aqwam al-thariq.

Budiman Abu Miqdad

Lujnah Tsaqafiyyah

Rujukan:

  1. Forster, Katie. (2016, November 8). Why can’t a president serve three terms? Here’s why Obama can’t stay on instead of Hillary Clinton or Donald Trump. Diakses pada 5 April 2018, daripada http:// independent.co.uk.
  2. Hizbut Tahrir (2005). Ajhizah Daulah al-Khilafah fi al-Hukmi wa al-Idarah. Beirut, Lubnan: Dar al-Ummah.
  3. Hizbut Tahrir (2008). Struktur Negara Khilafah. Terj. Yahya A.R. Cet. 3. Jakarta: HTI-Press.
  4. Hizbut Tahrir (2009). Muqaddimah al-Dustur aw al-Asbabu al-Mujibatu Lahu. Jil. 1. Edisi ke-2. Beirut, Lubnan: Dar al-Ummah.
  5. Hizbut Tahrir (2010). The Draft Constitution or The Necessary Evidences for It. 1. Beirut, Lebanon: Dar al-Ummah Publishing House.
  6. http://prpm.dbp.gov.my