Perang ke atas Iran telah Mendedahkan Mitos Kekuatan Luar Biasa Amerika dan Membuktikan apa yang Kurang pada Tentera Kita ialah Kemahuan Politik, Bukannya Kemampuan Ketenteraan

Kenyataan Akhbar

Perang ke atas Iran telah Mendedahkan Mitos Kekuatan Luar Biasa Amerika dan Membuktikan apa yang Kurang pada Tentera Kita ialah Kemahuan Politik, Bukannya Kemampuan Ketenteraan

(Terjemahan)

Selama lebih daripada 20 hari, Amerika Syarikat dan entiti Yahudi telah melancarkan perang ke atas Iran, selepas Amerika menggerakkan ke rantau tersebut kapal-kapal pengangkut pesawat, kapal pemusnah, kapal penyapu periuk api, dan lebih daripada 160 jet pejuang – sama ada jenis halimunan (stealth) mahupun bukan halimunan, yang diklasifikasikan antara yang paling canggih di dunia, sehinggalah pengerahannya mencapai lebih satu pertiga daripada armada tentera lautnya, yang mana ia bersamaan dengan keseluruhan armada laut Perancis.

Entiti Yahudi turut bersama Amerika dalam peperangan ini dengan pengerahan lebih daripada 200 pesawat, dipermudah oleh pangkalan-pangkalan tentera Amerika yang tersebar di seluruh Timur Tengah dan kawasan Teluk, yang melebihi 20 pangkalan dan kemudahan utama, di samping berpuluh-puluh tapak dan pusat pelancaran kecil.

Amerika juga dipermudah oleh pangkalan-pangkalan British di rantau itu dan di United Kingdom sendiri, serta pangkalan-pangkalan Perancis, dan tidak ketinggalan juga oleh para penguasa umat Islam di rantau itu yang telah menyerahkan tanah air, ruang udara dan keupayaan ketenteraan mereka untuk berkhidmat kepada Amerika dalam perangnya ke atas Iran.

Walaupun dengan semua itu, Amerika masih belum berjaya mencapai apa yang diimpikannya, iaitu menundukkan rejim Iran dan memaksanya tunduk secara hina kepada syarat-syarat penjajahannya dalam sekelip mata.

Selepas presidennya Donald Trump berserta tulang belakang pentadbirannya berbangga, dan masih terus berbangga, kononnya memiliki tentera yang terkuat dan tercanggih di dunia, serta selepas keterujaan menguasai mereka berikutan operasi menculik presiden Venezuela dalam tempoh satu malam, dan mereka menyangka yang mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka inginkan, mengarahkan siapa sahaja yang mereka mahu dan akan dipatuhi, lalu mereka melancarkan perang ke atas Iran dengan penuh keyakinan bahawa mereka akan dapat menyelesaikan misi tersebut dan memenangi peperangan dengan mudah.

Donald Trump kemudian terkejut dengan keengganan Iran untuk menyerah sebaik sahaja melihat tentera Amerika di rantau tersebut! Jangkaan Amerika meleset dan perhitungan mereka telah silap. Tentera Iran berjaya bertahan sehingga kini, malah memberikan pukulan yang menyakitkan kepada Amerika di rantau tersebut dengan menyasarkan anak didiknya, entiti Yahudi, menyasarkan pangkalan-pangkalan tentera Amerika yang tersebar di seluruh rantau, serta sistem-sistem radar dan amaran awal. Iran berjaya melumpuhkan sebahagian atau banyak daripadanya, di samping turut menyasarkan kapal-kapal Amerika dan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Hal ini telah memberi satu tamparan hebat kepada Amerika, yang jelas terlihat pada wajah dan kenyataan-kenyataan mereka, di mana sikap keras kepala lebih menonjol berbanding sikap berpijak di bumi nyata. Peperangan masih berkecamuk, dengan ancaman dan ancaman balas yang berterusan, sementara tentera Iran terus mempamerkan keazaman dan ketabahan dalam mendepani percubaan Amerika dan entiti Yahudi untuk memaksa mereka menerima kekalahan.

Amerika, dengan segala keangkuhannya, memiliki lebih daripada 3,700 peledak nuklear dan peluru berpandu balistik, yang bukan sahaja mengancam jiran-jirannya, malah ia memiliki peluru berpandu antara benua yang mengancam seluruh dunia – serta mempunyai agen, proksi dan lebih 128 pangkalan tentera di seluruh dunia. Dengannya, ia mengancam dunia, bahkan mengancam sekutu-sekutunya yang lepas, dan ia menyerang di mana sahaja ia mahu.

Pada masa yang sama, ia melihat bahawa Iran tidak berhak memiliki senjata nuklear atau peluru berpandu balistik, bersandarkan pada logik kuasa dan keangkuhan, iaitu logik yang sama seperti Firaun dahulu. Allah (swt) berfirman:

﴿قَالَ فِرْعَوْنُ مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَى وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ﴾

Firaun berkata: “Aku tidak mengemukakan kepadamu melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tidak menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar” [Ghafir (40): 29].

Telah jelas bagi siapa sahaja yang mempunyai penglihatan bahawa Amerika, dengan segala kekuatannya, sekutu-sekutunya dan anak didiknya entiti Yahudi, bukanlah sekuat mana dan bukanlah penghasil mukjizat, dan bahawa tentera umat Islam sebenarnya memiliki keupayaan untuk bangkit menentang Amerika, keangkuhannya dan penjajahannya.

Satu-satunya perkara yang kurang pada tentera umat Islam ialah kemahuan politik (political will), yang telah disia-siakan oleh penguasa yang khianat, yang mana, sekiranya mereka tidak mengekang pasukan tentera dan tidak memberikan kuasa kepada orang kafir penjajah ke atas umat Islam menerusi perjanjian khianat dan pakatan yang memalukan, serta tidak menggadaikan tekad mereka kepada orang kafir penjajah, nescaya tentera umat Islam ini sudah pasti mampu mengalahkan Amerika dan sekutu-sekutunya serta menimpakan kehinaan ke atas mereka.

Peristiwa-peristiwa yang sedang terjadi ini mengesahkan keperluan umat yang sangat mendesak dan kritikal untuk membebaskan diri daripada para penguasanya dan mengambil alih urusan mereka sendiri, lalu meletakkannya di tangan orang-orang ikhlas yang mampu memimpinnya ke arah kemuliaan, pembebasan, dan kekuatan, serta meletakkan titik noktah kepada keangkuhan Amerika, kezaliman Yahudi dan cita-cita penjajahan mereka di rantau ini. Allah (swt) berfirman:

﴿إِلاَّ تَنفِرُواْ يُعَذِّبْكُمْ عَذَاباً أَلِيماً وَيَسْتَبْدِلْ قَوْماً غَيْرَكُمْ وَلاَ تَضُرُّوهُ شَيْئاً وَاللّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ﴾

“Jika kalian tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah akan menyeksa kalian dengan seksa yang pedih dan akan diganti kalian dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [At-Taubah (9): 39].

Pejabat Media Pusat

Hizbut Tahrir

https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/pressreleases/markazy/cmo/108551.html

https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/press-releases/central-media-office/29337.html