Percaya Tidak Sama Dengan Beriman

KUALA LUMPUR 23 Mac – Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan tidak perlu dipinda kerana ia sudah dihayati dan dipegang oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, penggunaan perkataan tuhan atau Allah telah dibincangkan oleh jawatankuasa yang merangka Rukun Negara dan ia tidak memerlukan sebarang pindaan lagi.

“Rukun Negara dipegang bersama rakyat Malaysia tanpa menetapkan mereka perlu menganuti mana-mana agama tertentu. Tujuan baris pertama itu cuma untuk menunjukkan rakyat kita beragama dan percaya kepada tuhan.

“Oleh itu, tidak perlu sebarang pindaan dibuat bagi mengelak polemik baru yang boleh menggugat perpaduan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangkitan Gerakan Islah di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Rukun Negara yang pertama dipinda menjadi Kepercayaan Kepada Allah ekoran penerimaan bukan Islam terhadap kalimah Allah.

Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang semalam membuat cadangan tersebut atas alasan menerima secara positif apa yang ditunjukkan golongan bukan Islam dan sebagai tanggungjawab menerangkan kekeliruan yang timbul tentang Islam.

Sumber : Utusan 24/03/10

Bagi pemilik akal yang sihat, mereka tidak akan pernah merasa tenang berfikir apabila hanya sekadar mempercayai kewujudan tuhan-tuhan. Pluraliti tuhan mahupun ketuhanan adalah suatu yang bertentangan dengan naluri mempertuhankan sesuatu. Tidak mungkin akal yang sihat mengiktiraf kewujudan tuhan yang pelbagai melainkan yang wujud hanya satu. Bahkan akal juga tidak mampu menafikan peranan tuhan dalam kehidupan kerana kewujudan dirinya merupakan manifestasi dari ciptaan Tuhan. Maka itulah ciri-ciri akal yang sihat – tidak mungkin berkompromi kepada slogan ‘percaya kepada tuhan’ kerana percaya tidak mempunyai maksud yang sama seperti iman.

Soal nama ‘tuhan’ di dalam Rukun Negara yang pertama bukanlah persoalan pokok yang perlu dibahas, tetapi rukun itu sendiri, apakah ianya patut diwujudkan atau sebaliknya. ‘Percaya kepada tuhan’ tidak mempunyai maksud dan nilai apa-apa kepada akal yang sihat melainkan sekadar slogan yang menjadi formaliti pembentukan pemikiran masyarakat Malaysia sekaligus memperkenalkan kepada dunia bahawa Malaysia mengiktiraf pluraliti tuhan dan agama. Inilah salah satu bentuk pluralisme yang sangat diagung-agungkan oleh demokrasi dan Baratyang kufur. Mereka sentiasa mencari peluang untuk melakukan penyesatan dan merosakkan akal manusia yang sihat.

Sekalipun nama tuhan dalam Rukun Negara itu diubah kepada Allah, maka apakah parlimen akan membubarkan fungsi legislatifnya? Hakikatnya, Allah mengharamkan sebarang bentuk usaha mahupun majlis yang meletakkan manusia sebagai musyarri’! Dan apakah sesudah itu hukum Allah akan berjalan sesuai dengannya? Sudah pasti pembahasan itu hanyalah sekadar omong-omong kosong yang tak bernilai sebesar zarah sekalipun di sisi keimanan kepada Allah. Rukun Negara hanyalah slogan pluralisme yang diiktiraf dan diperjuangkan oleh pemuka-pemuka sekular dan kaum kuffar sahaja. Ia adalah suatu bentuk pernyataan hipokritik yang cuba membendung kesihatan akal dan merosakkan iman.

“Bukanlah iman itu (suatu) khayalan mahupun (pada) pakaian, tetapi (ianya) terhunjam dilubuk hati dan dibenarkan melalui amal”