Perjanjian Hudaibiyah (Sulh Hudaibiyah)

Perjanjian Hudaibiyah adalah suatu peristiwa yang kerap disalahtafsirkan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau diselewengkan untuk disesuaikan dengan kepentingan atau maksud tertentu. Terdapat pihak-pihak yang menggunakan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah (Sulh Hudaibiyyah) untuk melakukan kompromi terhadap Islam walau pun ia merugikan kepentingan Islam dan umat Islam seperti melakukan pakatan atau manuver politik dengan parti sekular termasuk melakukan kerjasama untuk memerintah atau menjadi pembangkang. Oleh itu perlu difahami fakta sebenar tentang Sulh Hudaibiyah sebelum kita membuat kesimpulan tentangnya.

Pertama sekali jika Sulh Hudaibiyyah hendak digunakan sebagai dalil tafsîli (terperinci) ia mestilah difahami dan digunakan menurut dengan konteksnya (manat). Penggunaan dalil tafsîli di luar konteksnya tidak boleh diterima. Ini adalah kerana ia akan mengakibatkan hukum atau pandangan yang dihasilkannya bukan lahir dari dalil tersebut. Penggunaan dalil tafsîli di luar konteksnya, yang diberi istilah syubhat ad-dalil saja tidak layak, apalagi disebut dalil. Oleh itu, hukum atau pandangan yang dihasilkannya mesti ditolak sebagai hukum dan pandangan syar’i. Oleh itu, konteks Sulh Hudaibiyyah tersebut mesti dibaca, difahami dan digunakan dengan teliti dan tepat, bersesuaian dengan manat-nya.

Perjanjian Hudaibiyah dilakukan oleh Nabi saw., enam tahun setelah Baginda berhijrah ke Madinah, dan Negara Islam berdiri di sana.1 Fakta ini menurut Ibn Katsir, tidak ada ikhtilâf (perselisihan).2 Oleh itu, dilihat dari segi manatnya, penjanjian ini jelas dilakukan oleh Nabi saw. dalam kedudukannya sebagai ketua Negara Islam dengan suku Quraish, dalam kedudukannya sebagai negara kafir harbi fi’l[an], yaitu negara yang jelas memerangi Negara Islam.

Sebagai ketua negara Nabi saw. melakukan beberapa tindakan di antaranya: Pertama, menggerakkan suatu rombongan besar sebelum berangkat ke Hudaibiyah. Ketika itu Baginda Nabi saw. bukan sahaja mengerahkan kaum Ansar dan Muhajirin, tetapi juga kabilah-kabilan Arab Badwi yang lain, sehingga jumlah mereka, sebagaimana catatan Ibn al-Atsir, mencapai 1300-1500 orang.3 Kedua, keputusan perang (harb) dan gencatan senjata (hudnah) yang diambil Nabi saw. pada saat menandatangani Sulh Hudaibiyyah ini adalah keputusan negara. Oleh itu, konteks tindakan Nabi saw. ini jelas dalam konteks negara, bukan dalam konteks kumpulan atau parti politik. Oleh itu, menggunakan dalil tafsîli dalam kes Sulh Hudaibiyyah untuk konteks parti atau kumpulan jelas tidak relevan dan tidak tepat, kerana manatnya jelas berbeza.

Oleh yang demikian, parti atau kumpulan Islam tidak boleh menggunakan dalil tafsîli dalam kes ini untuk menghalalkan tindakannya untuk membuat kerjasama dengan parti atau kumpulan sekular, sama ada untuk memerintah mahu pun menjadi pembangkang. Mereka beralasan, misalnya, bahwa Nabi saw. pun, melalui Sulh Hudaibiyyah, pernah menjalin kerjasama dengan Bani Khuza’ah, yang kafir.4

Parti atau kumpulan Islam juga tidak boleh menggunakan dalil tafsîli dalam kes ini untuk membenarkan tindakannya untuk tidak memperjuangkan syariah, kerana Nabi saw. bersetuju dengan permintaan wakil Quraish untuk menggantikan  Bismillâhi ar-Rahmâni ar-Rahîm dan Muhammad Rasûlullâh dengan Bismika Allâhumma dan Muhammad ibn ‘Abdillâh, dengan alasan melakukan strategi politik.5

Mereka juga tidak boleh menggunakan dalil tafsîli dalam kes ini untuk membenarkan kebohongan-kebohongan politik yang mereka lakukan, sama ada terhadap kawan, lawan maupun orang awam, dengan alasan Nabi saw. telah melakukannya, kerana prinsip al-Habr Hid’ah (perang penuh dengan tipu daya).6

Sebaliknya, Sulh Hudaibiyyah ini mesti dilihat secara sempurna sebagai strategi politik Nabi saw. yang cemerlang, dalam kedudukannya sebagai ketua negara. Bahkan boleh dikatakan ini merupakan kunci kemenangan terbesar yang dianugerahkan oleh Allah Swt. kepada Nabi saw. Walau pun secara kasar tindakan Nabi saw. ini awalnya dianggap merugikan kepentingan Islam dan umat Islam, akhirnya Allah membuktikan sebaliknya. Setelah peristiwa ini, Abu Bakar memberi ulasan:

لَمْ يَجْلِبْ نَصْرٌ لِلإسْلاَمِ مَا جَلَبَ صُلْحُ الْحُدَيْبِيَّةِ

Belum pernah Islam mendapatkan kemenangan, sebagaimana yang telah diperolehi melalui Sulh Hudaibiyyah. 7

Oleh itu apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nabi saw.? Apa motif dari tindakan Baginda? Apa pula hasil yang diperolehi oleh Islam dan kaum Muslim setelah peristiwa ini? Pertanyaan-pertanyaan ini penting, supaya kita boleh menempatkan peristiwa penting ini secara seimbang dan tepat.

Sejak Negara Islam berdiri di Madinah, kaum kafir memang tidak henti-hentinya berusaha menghancurkan negara yang baru berdiri itu, baik sendirian maupun dengan cara melakukan kerjasama.8 Sebelum Sulh Hudaibiyyah ini terjadi, kaum kafir Quraish di sebelah utara Madinah dan Yahudi Khaibar di sebelah selatan Madinah telah mengesahkan kerjasama ketenteraan. Jika ini dibiarkan, maka kedudukan Negara Islam di Madinah terancam, dan akhirnya boleh dihancurkan. Oleh itu, kerjasama ini mesti dihancurkan.

Untuk menghancurkan kerjasama ketenteraan ini, Nabi saw. sengaja tidak ingin berhadapan langsung, sama ada dengan kafir Quraish maupun Yahudi Khaibar, ketika kedua-dua pihak masih bekerjasama. Nabi saw. juga sengaja tidak menyerang Khaibar, walau pun kedudukannya lebih lemah, dibandingkan dengan Quraish kerana tindakan seperti ini sangat mudah dibaca musuh. Yang sukar dibaca musuh adalah ketika Nabi saw. memutuskan untuk melakukan umrah pada bulan Zulqaedah 6 H, tanpa membawa senjata, tetapi dengan jumlah rombongan yang sangat besar. Matlamat Nabi saw. yang tidak diketahui oleh Quraish sebagaimana yang dapat dilihat melalui kenyataan politik beliau sebenarnya bukanlah umrah, melainkan untuk melakukan perjanjian damai tersebut.9 Oleh itu apabila pihak Quraish enggan membenarkan umat Islam melakukan umrah pada tahun tersebut dan hanya membenarkan mereka melakukan umrah pada tahun hadapan, Nabi saw tidak membantah.

Akhirnya, perjanjian ini pun berhasil diraih oleh Nabi saw. Nabi saw. menugaskan Ali bin Abi Talib sebagai penulis. Suhail bin Amr pula mewakili  kafir Quraish. Ali menulis titah Baginda Nabi saw. “Tulislah, Bismillâhirrahmânir-rahîm.” Suhail menyampuk, “Aku tidak mengenal kalimat ini, tetapi tulislah, Bismika-Llâhumma.” Ali pun menulisnya. Setelah itu, Baginda bersabda, “Tulislah, ini adalah naskhah perjanjian yang telah disepakati oleh Muhammad utusan Allah dan Suhail bin Amr.” Suhail membantah, “Kalau aku bersaksi bahwa kamu adalah utusan Allah, pasti aku tidak akan memerangimu. Namun, tulislah nama ibu dan ayahmu.” Rasul pun bersabda, “Tulislah, ini adalah naskah perjanjian yang telah disepakati oleh Muhammad bin Abdillah dan Suhail bin Amr.”

Kedua belah pihak sepakat untuk tidak berperang selama 10 tahun. Sesiapa saja dari kalangan Quraish yang datang kepada Muhammad saw. namun tidak mendapatkan izin dari walinya, ia mesti dikembalikan kepada kaum Quraish. Namun, siapa saja pengikut Muhammad saw. yang datang kepada kaum Quraish tidak boleh dikembalikan.10 Secara zahir perkara ini seolah-olah menguntungkan Quraish dan merugikan umat Islam tetapi oleh kerana Allah telah membimbing Nabi saw maka ternyata setelah perjanjian itu dikuatkuasakan ia merugikan Quraish dan memberi kelebihan kepada umat Islam.

Perjanjian ini, sama ada dari segi susunan kalimat mahu pun isinya, sama sekali tidak ada yang melanggar ketentuan syariah, apalagi merugikan kepentingan Islam dan kaum Muslim. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi saw. ketika para Sahabat, sebagaimana yang diwakili oleh Umar, membantah tindakan Nabi saw. Ketika itu Baginda menjawab:

أَنَا عَبُدُ اللهِ وَرَسُوْلُهُ وَلَنْ أُخَالِفَ أَمْرَهُ

Aku adalah hamba dan utusan-Nya; sekali-kali aku tidak akan menyalahi perintahNya. 11

Apa yang dianggap merugikan kepentingan Islam dan kaum Muslim oleh para Sahabat itu tidak lain kerana mereka tidak tahu maksud tersembunyi di balik perjanjian tersebut. Mereka hanya menyedari hal itu setelah turun surat al-Fath: 1-2 dan 27 dalam perjalanan balik dari Hudaibiyah ke Madinah. Setelah itu, mereka dapat melihat hasilnya:

1- Kaum kafir Quraish berjaya dikawal oleh Nabi saw. melalui perjanjian ini sehingga mereka tidak berdaya, apatah lagi membela kaum Yahudi Khaibar, ketika mereka diserang oleh Negara Islam. Dengan kata lain, Nabi saw. telah berjaya melumpuhkan kerjasama ketenteraan di antara keduanya.

2- Negara Islam berhasil meraih dokongan kabilah Khuza’ah, yang sebelumnya terikat dengan kaum kafir Quraish. Ini menjadi kekuatan tambahan bagi Negara Islam dalam menghadapi ancaman kafir Quraish, bahkan boleh menjadi barisan pertahanan terdepan, apalagi kedudukan Khuza’ah yang sangat dekat dengan Makkah.

3- Dengan penghentian perang selama 10 tahun, dakwah Islam boleh disebarluaskan di kalangan kaum kafir Quraish dengan sebebas-bebasnya dan Quraish tidak dapat menghalangnya.

4- Hikmah mengembalikan kalangan suku Quraish yang datang ke Negara Islam malah menjadi corong-corong Negara Islam yang berkesan sebab mereka boleh menyaksikan sendiri bagaimana Islam dilaksanakan di Madinah, lalu mereka boleh menceritakan pengalaman mereka kepada penduduk Makkah. Ini dikuatkan lagi dengan kesepakatan tidak boleh memulangkan kaum Muslim yang datang ke Makkah. Dengan demikian, penyebaran dakwah Islam di Makkah boleh dilakukan secara serentak melalui dua arah, iaitu melalui umat Islam yang menetap di Makkah, dan suku Quraish yang terpaksa dikembalikan dari Madinah.

5- Bagi mereka yang keberatan dikembalikan ke Makkah, kerana keimanan dan kesetiaannya kepada Islam, namun tidak boleh tinggal di Madinah, sebagaimana kes Abu Basyir dan kumpulannya, mereka akan memilih tetap setia pada Negara Islam. Abu Basyir dan kumpulannya inilah yang kemudian mengganggu dan menghambat jalur perdagangan kaum kafir Quraish, sehingga menimbulkan kerugian yang sangat besar. Inilah yang mendorong Quraish untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Namun, ibarat nasi, semuanya telah menjadi bubur. Setelah semua tujuan tersebut diraih oleh Nabi saw., dan Quraish membatalkan perjanjian tersebut sepihak, tetap saja kemenangan besar berpihak kepada Nabi saw. Kemenangan itu disaksikan dengan penaklukkan kota Makkah pada tahun 8 H.

Oleh itu, kita tidak boleh menyamakan tindakan Nabi saw. sebagai ketua negara dengan tindakan kumpulan atau parti, lalu menggunakan tindakan beliau dalam kes Sulh Hudaibiyyah tersebut sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan bekerjasama dengan parti sekular? Sekali lagi, penggunaan dalil seperti ini jelas keliru, bahkan boleh dikatakan menyelewengkan dalil. Na’ûdzubillâh!

 

Rujukan:

1 Ath-Thabari, Târîkh al-Umam wa al-Mulk, Dar al-Fikr, Beirut, cet. I, 1987, III/212; Ibn Hisyam, As-Sîrah an-Nabawiyyah¸ Dar Ihya’ at-Turats al-‘Arabi, Beirut, cet. II, 1997, III/336; Ibn al-Atsir, Al-Kâmil fî at-Târîkh, Mu’assasah at-Tarikh al-‘Arabi, Beirut, cet. IV, 1994, I/582; Ibn Katsir, Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Riyadh, cet. I, 2004, I/594; Ibn Khaldun, Al-‘Ibâr wa Dîwân al-Mubtada’ wa al-Khabar îi Ayyâmi al-‘Arab wa al-‘Ajam wa al-Barbar wa Man ‘Ashârahum min Dzawi as-Sulthân al-Akbar, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Riyadh, cet. I, t.t., hlm. 509.

2 Ibn Katsir, Ibid, I/594.

3 Ibn al-Atsir, Ibid, I/582.

4 Ibn Hisyam, Ibid, III/347; Rawwas Qal’ah Jie, Qirâ’ah Siyâsiyyah li as-Sîrah an-Nabawiyyah, Dar an-Nafa’is, Beirut, cet. I, 1996, hlm. 219; Muhammad Khair Haikal, Al-Jihâd wa al-Qitâl fî as-Siyâsah as-Syar’iyyah, Dar al-Bayariq, Beirut, cet. II, 1996, III/1633.

5 Ibn Hisyam, Ibid, III/346.

6 HR al-Bukhari, Muslim, Ibn Hibban, at-Tirmidzi, al-Baihaqi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad.

7 Lihat: Syit Mahmud Khatthab, Ar-Rasûl al-Qâ’id, Mansyurat Dar Maktabah al-Hayah, Beirut, t.t., hlm. 193.

8 Usaha kaum kafir untuk menghancurkan Negara Islam ini pernah dilakukan oleh kaum kafir Quraish sendiri, sebagaimana dalam peristiwa Perang Badar, namun mereka kalah. Usaha yang sama kemudian juga mereka lakukan dengan melakukan kerjasama, yang melibatkan kaum Yahudi dan munafik, sebagaimana peristiwa Perang Khandak.

9 Dalam kenyataannya, Nabi saw. menyatakan, “Alangkah celakanya kaum kafir Quraish. Sungguh, peperangan telah membinasakannya. Kalau aku dan bangsa Arab yang lain sedang berkumpul, apa yang boleh mereka lakukan? Jika mereka boleh mengalahkanku, itulah yang sangat mereka harapkan. Jika Allah memenangkan aku atas mereka, mereka akan berbondong-bondong masuk Islam. Jika mereka tidak melakukannya maka perangilah mereka, walau pun mereka dalam keadaan yang kuat.” Lihat: Rawwas Qal’ah Jie, Ibid, hlm. 215.

10 Lihat: Rawwas Qal’ah Jie, Ibid, hlm. 215.

11 Ibn Hisyam, Ibid, III/346.