Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Umat Bakal Diracuni Lagi Dengan Buah Kapitalis

Perdebatan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kini semakin hangat diperkatakan. Ini kerana, kerajaan bakal menandatangani perjanjian ini dengan Amerika pada bulan Oktober nanti sempena lawatan Barack Obama ke Malaysia. Penjanjian ini telah mewujudkan beberapa kelompok dalam masyarakat di mana ada yang menentang dan ada juga yang menerimanya. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, perkara itu (TPPA) sewajarnya dilihat dari sudut kepentingan negara dan suasana global [1].

Bagi yang menentang, ia dipandang dari sudut diskiminasi terhadap rakyat dengan meningkatnya kos perubatan, faktor kebolehsaingan rakyat dengan syarikat asing serta beberapa perkara lain yang membuatkan mereka menentang perjanjian tersebut. Malah yang lebih menyedihkan, sandaran kepada penentangan mereka ini bukannya didasarkan kepada hukum syarak, tetapi di pandang dari segi saranan badan luar seperti International Labour Office Geneva [2]. Segala kandungan perjanjian TPPA ini tidak akan dihebahkan dan dirahsiakan daripada rakyat. Ia  hanya akan diketahui umum selepas 4 tahun pelaksanaannya kelak. Perjanjian ini tidak lain sudah pasti bertunjangkan kepada sistem ekonomi kapitalis yang mendominasi dunia ketika ini. Ia bakal memberi peluang penguasaan kaum kuffar yang lebih luas ke atas umat Islam di mana ini juga salah satu bentuk penjajahan yang dilakukan oleh puak kapitalis.

Antara kesan yang bakal dihadapi oleh rakyat ialah seperti peningkatan kos perubatan kerana perjanjian ini akan memaksa rakyat untuk membeli kebanyakan ubat daripada Amerika. Ubat-ubatan generik kepada jenama asal yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan selama ini yang mana harganya jauh lebih murah bakal dihadkan atau mungkin dihapuskan sama sekali.  Walhal khidmat perubatan termasuklah ubat-ubatan sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah dan dinikmati secara percuma oleh rakyat, tidak kira sama ada rakyat itu berkhidmat dalam jawatan negara ataupun swasta, Muslim dan juga bukan Muslim. Ini berbeza dalam sistem kapitalis di mana keuntungan bagi syarikat-syarikat perubatan dan negara mengatasi segala-galanya termasuklah rakyat. Perkara yang paling utama yang perlu dilihat dalam isu ini adalah hukum berdagang antara negara umat Islam dengan negara kafir harbi fi’lan seperti Amerika Syarikat yang merupakan suatu keharaman mutlak, di samping keharaman dalam pelbagai jenis transaksi ribawi yang bakal berlaku nanti. Amerika adalah merupakan negara yang sedang memerangi umat Islam dan segala hubungan diplomatik dengan mereka wajib diputuskan. Umat Islam tidak sepatutnya terus mengamalkan dasar pintu terbuka dan menghulur berjabat tangan dengan musuh-musuh Islam dalam apa jua muamalah terutamanya dalam perkara-perkara yang boleh memberi mereka peluang untuk menguasai umat Islam.

Perjanjian TPPA ini pastinya akan mengukuhkan lagi pasaran bebas sepertimana yang dicanang-canangkan oleh golongan kapitalis. Dalam kitab Nizhamul Iqtisad fil Islam (Sistem Ekonomi Dalam Islam) karangan Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani menyebut :

“Perdagangan  luar negeri merupakan salah satu bentuk hubungan antara negara, bangsa dan umat. Hubungan-hubungan ini semuanya harus tunduk pada kekuasaan negara (Khilafah) sehingga negaralah yang harus mengatur dan mengarahkan perdagangan tersebut secara langsung, baik perdagangan tersebut merupakan hubungan antara individu, hubungan ekonomi mahupun perdagangan. Oleh kerana itu, secara mutlak teori pertukaran bebas tersebut tidak boleh diambil. Sebab Negara Islam akan melarang pengeluaran beberapa komoditi yang lain serta akan masuk campur tangan terhadap peniaga kafir harbi dan mu’ahid.”

Isu ini sepatutnya dipandang oleh umat Islam bukan dari sudut kepentingan masyarakat bumiputera ataupun kerisauan sama ada kebolehan kita untuk bersaing di peringkat global. Sebaliknya ia harus dipandang dari sudut pandangan Islam yang mengharamkan perjanjian seperti ini. Sebagai umat Islam yang merindui diterapkan Sistem Ekonomi Islam (serta sistem-sistem Islam yang lain) secara kaffah (menyeluruh), kita harus sedar bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik   ini merupakan buah kepada sistem kapitalis yang rosak. Sekiranya buah ini dipetik dan dimakan oleh umat Islam, ia pasti akan meracuni tubuh badan kita sendiri. Wallahu a’lam.

Sumber :
[1]Utusan Online, 31/07/13
[2] Harakah Daily