Ekonomi, senjata ampuh Kapitalis memerangi umat Islam

Pertumbuhan Ekonomi KapitalisDagangan dengan AS berkembang 70%
WASHINGTON 14 Jan. – Nilai perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat melebihi 70 peratus selepas menjadi rakan kerjasama Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP). Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan itu adalah kerana Malaysia mengadakan perdagangan dengan lapan buah negara dan bukan hanya dengan AS sahaja.

Katanya, setakat ini nilai perdagangan Malaysia-AS menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sekitar 20 peratus atau RM15.79 bilion kerana ia hanya membabitkan sebuah negara iaitu AS. “Dengan lapan buah negara yang merupakan rakan dagang kita, nilainya dijangka meningkat melebihi 70 peratus daripada apa yang ada sekarang,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan rundingan meja bulat dengan Majlis Perniagaan AS-ASEAN di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia di AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan Presiden Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Alex Feldman. Beliau yang dalam rangka lawatan kerja enam hari di Boston dan Washington sejak Isnin lalu berkata, TPP adalah kerjasama yang dilihat satu tahap lebih tinggi daripada FTA. Menurut beliau, FTA kelihatan beku dan sudah tidak berjalan sejak sekian lama kerana AS mungkin mahu menumpukan perhatian ke atas beberapa dasar baru.

Sumber : Utusan Online, 15/01/2011

Ekonomi, senjata ampuh Kapitalis memerangi umat Islam

Ekonomi memang merupakan nadi ideologi kapitalis. Oleh itu, yang paling utama untuk di ketengahkan oleh mereka ialah pertumbuhan ekonomi (dalam acuan Kapitalis), tanpa memandang hubungan itu dengan pandangan Islam. Malahan, ekonomi merupakan senjata mereka yang paling ampuh dalam memerangi umat Islam, tanpa perlu mereka melepaskan sebutir peluru pun. Pada masa Amerika semakin memperhebatkan tekanan ke atas umat Islam, masih ada pemimpin umat Islam yang berbangga dengan pelbagai hubungan dan kerjasama antara negara dengan Amerika. Tidakkah mereka ingat akan firman Allah :

“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agama kamu (kepada kekafiran) seandainya mereka mampu”
[TMQ al-Baqarah (2):217].

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain pula, kenapa tidak diperhebatkan hubungan dengan negeri-negeri umat Islam yang lain? Tidak kiralah sama ada hubungan dari segi ekonomi, pendidikan, sosial, ketenteraan mahupun teknologi dengan mereka. Bahkan, hubungan untuk menyatukan seluruh negeri umat Islam dalam satu pemerintahan (Khilafah) adalah satu kewajipan! Inilah yang sepatutnya diberi perhatian utama oleh para pemimpin umat Islam pada masa sekarang dan bukannya semakin memperhebatkan hubungan dengan negara kafir harbi seperti Amerika. Mereka sepatutnya merasa malu atas kelalaian mereka dalam mempersatukan dan mempertahankan umat Islam yang terus di “ganyang” oleh Amerika.

Dalam pada masa pemimpin umat Islam terus berbangga akan perkembangan dagangan dengan negara pengganas Amerika ini, Barat tidak henti- henti memecahbelahkan umat Islam agar menjadi semakin terpisah antara satu sama lain. Sebagai contoh di Sudan. Konspirasi Barat nampaknya hampir berada di penghujung dengan adanya pengundian pemisahan selatan Sudan.

Al-Quran juga telah memberikan kepada kita petunjuk bagaimana berinteraksi dengan orang-orang kafir, melalui ayat-ayat yang sangat jelas, agar kita tidak terperosok ke dalam perangkap dan propaganda negara-negara kafir. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil musuh-Ku dan musuh kamu sebagai teman-teman setia” [TMQ al-Mumtahanah (60):1].

Oleh itu, wahai para pemimpin, sedarlah tanggungjawab sebenar kalian. Hubungan yang seharusnya kalian tekankan adalah hubungan antara negeri kaum Muslimin dalam pelbagai aspek sebagai wadah bagi penyatuan seluruh umat Islam di bawah payung kekhilafahan.