Perjuangan Fatamorgana
Inilah budaya yang ditanamkan setiap kali musim pilihanraya hampir tiba. Suasana seolah-olah menjadi medan untuk menghamburkan segala kata-kata nista, fitnah, cerca-mencerca, kegiatan mengaibkan musuh masing-masing sudah tidak dapat dikawal oleh sesiapa manakala pelbagai ‘umpan’ di dalam pelbagai bentuk dihulurkan kepada rakyat. Kain pelekat, kain batik dan wang tunai serta macam-macam lagi turut diberikan kepada rakyat dan ada yang diberikan sebelum musim pilihanraya pun (BRIM, TRIM, KRIM dsb). Ini semua dilakukan semata-mata untuk menarik undi rakyat dan mencapai kemenangan tanpa mengira samada ia haram atau tidak.
BN adalah sebuah pakatan yang terdiri daripada gabungan parti-parti asshobiyyah dan yang berfahaman sekular. Kesemuanya mempunyai matlamat untuk memperjuangkan nasib bangsa masing-masing. Bahkan setiap parti komponen di dalam BN itu sendiri tidak menjadikan akidah Islam sebagai dasar perjuangannya. Mereka bermati-matian untuk mengekalkan sistem sekuler ciptaan barat. Padahal, sistem sekuler-Demokrasi yang selama ini diterapkan telah terbukti gagal dalam mensejahterakan hidup rakyat.
Justeru, perjuangan melalui Sistem Demokrasi telah terlalu lama menghampakan rakyat khususnya umat Islam. Sudah tiba masanya untuk umat Islam mencari alternatif lain selain daripada menggunakan pilihanraya di dalam Sistem Demokrasi sebagai wadah perjuangan kerana tidak ada maknanya berjuang melalui pilihanraya dan menang tetapi Syariat Islam masih tidak atau gagal dilaksanakan secara menyeluruh.
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal-amal perbuatannya?'(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan” (TMQ al-Kahfi [18] : 103-104).
Rujukan : Utusan Malaysia 27/12/2012