Perjuangan Yang Keliru
JAKARTA – Sebanyak tiga mahasiswa Universiti Nasional menjahit mulut mereka bagi menyambut 100 hari pemerintahan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan naibnya, Boediono, lapor akhbar detikNews semalam. Mereka melakukan perbuatan itu semalam di kampus universiti tersebut. “Kami melakukan aksi ini sehingga jangka waktu yang tidak ditetapkan,” kata jurucakap kumpulan yang menjahit mulut mahasiswa itu. “Aksi itu dilakukan bagi menunjukkan bahawa pemerintahan SBY selama lima tahun dan tambahan 100 hari telah gagal terutamanya kebijaksanaan yang tidak berpihak kepada rakyat,” kata jurucakap tersebut. – Agensi
Sumber: Kosmo Online 25/01/10
Perjuangan Yang Keliru
Dunia umat Islam termasuklah di Indonesia sememangnya secara jelas telah menyaksikan kerosakan yang dihasilkan dari akibat penerapan sistem sekular oleh para pemimpin mereka. Faktanya, Indonesia adalah sebuah negara yang majoritinya adalah umat Islam dan diperintah oleh orang Islam serta didokong oleh kekuatan tentera dan polis dari kalangan umat Islam itu sendiri. Malangnya, sistem yang dipakai dan digunakan oleh umat Islam Indonesia pada hari ini sama seperti di kawasan umat Islam yang lain – sistem kehidupan Kapitalisme berasaskan aqidah sekular. Kerosakan dan musibah akibat dari penerapan sistem yang rosak ini dapat kita lihat di mana-mana Penderitaan, penindasan, kesengsaraan dan sebagainya mewarnai kehidupan umat Islam di sana. Sudah terlampau lama sebenarnya umat Islam di Indonesia hidup dalam keadaan yang sebegitu hasil dari penerapan sistem sekular yang dijalankan oleh pemerintah sekular di sana.
Lihatlah sahaja protes yang dilakukan golongan mahasiswa seperti yang dilaporkan. Mereka sanggup melakukan sesuatu yang begitu bodoh demi memancing perhatian masyarakat. Mereka sanggup menjahit mulut mereka semata-mata untuk menyatakan protes kepada cara kepimpinan SBY yang dikatakan tidak berpihak kepada rakyat. Hakikatnya, adalah merupakan lumrah bagi para pemimpin sekular yang berkuasa di serata belahan dunia ini menjaga dan memelihara kepentingan golongan yang menaikkan mereka sahaja – siapa lagi jika tidak para pemilik modal dan para kapitalis – dan bukannya rakyat jelata. Ya, kita percaya bahawa SBY selamanya tidak akan pernah mampu menyelesaikan masalah umat Islam di Indonesia selagi dia tidak menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Tetapi sebagai seorang muslim, Islam, yang merupakan sebuah mabda yang bersumberkan wahyu Allah SWT, telah menjelaskan kewajiban memuhasabah para pemerintah untuk membetulkan mereka. Salah satu dari jalan muhasabah adalah dengan menggunakan suara. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Penghulu syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berkata di hadapan seorang penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkannya (pada kemakrufan) dan melarangnya (terhadap kemunkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya.” [Riwayat: al-Hakim].
Inilah sebenarnya politik Islam dan inilah jalan untuk memuhasabah para pemerintah yang melakukan kezaliman. Jadi amat malanglah apa yang dilakukan oleh para mahasiswa di atas yang menyatakan protes mereka dengan menggunakan cara yang salah. Seharusnya mereka bersuara dengan suara Islam, selantang-lantangnya mengkritik dan memuhasabah pemerintahan SBY, bukannya menjahit mulut-mulut mereka! Alangkah baiknya jika seluruh umat Islam berlumba-lumba untuk meraih pahala dan keredhaanNya dengan memastikan seluruh perbuatan mereka itu terikat kepada hukum syara’ dan bukannya emosi semata-mata.