Perlembagaan yang melemahkan jabatan agama Islam

Berita:

SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Bercakap kepada mStar Online, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan  Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, pihaknya dalam fasa untuk merungkai persoalan yang ditimbulkan masyarakat mengenai Sajat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk penyelesaian yang akan digunapakai untuk menangani isu ini.

Sumber: mstar.com.my


Komentar:

Lemahnya bidang kuasa jabatan agama Islam di negara ini dalam membanteras maksiat baik pada peringkat negeri mahupun persekutuan sudah menjadi bualan umum. Terkadang mereka begitu ‘ekstrem’ menyekat pendakwah daripada menyampaikan ceramah tetapi lemah bahkan tidak mengambil sebarang tindakan pun kepada pelaku maksiat. Sebagai contoh sikap yang mereka tunjukkan terhadap para pelaku LGBT. Ia memperlihatkan betapa lemahnya bidang kuasa jabatan agama Islam di negara ini yang tidak mampu bertindak tegas kepada para pelaku maksiat LGBT. Contoh yang lebih klasik lagi ialah sikap dan tindakan mereka kepada syarikat pengeluar serta pemprosesan arak Selangor yang terbesar di Asia Tenggara, yang keberadaannya sudah puluhan tahun. Sedangkan dua perkara ini merupakan satu keharaman yang sangat jelas dalam syari’at Islam.

Dari Abu Rafi’, dari Hammad ibnu Zaid, dari Ayyub, dari Nafi’, dari Ibnu Umar yang menceritakan bahwa Rasulullah saw pernah bersabda:

 كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ ، وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا ، فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمِنُهَا لَمْ يَتُبْ لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ

“Semua yang memabukkan itu disebut khamar (arak). Dan semua khamr itu haram. Barangsiapa meminum khamar di dunia lalu mati dalam keadaan ketagihan khamar dan belum bertaubat darinya, nescaya ia tidak akan meminumnya di akhirat. [HR Muslim].

Dari Ibnu Abbas ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

“Sesiapa yang kamu dapatinya mengamalkan maksiat kaum Nabi Luth, maka bunuhlah peliwat dan yang diliwat.” [HR Bukhari dan Muslim].

Faktanya, bahawa bidang kuasa jabatan agama Islam berada di bawah kuasa perlembagaan negara dan dengan kata lain jabatan agama Islam sebenarnya tidak menjadikan Islam yang sesuai dengan al-Quran as-Sunnah sebagai asas kepada gerak kerjanya. Apa pun yang bertentangan dengan perlembagaan negara sedangkan Islam memerintahkannya maka perlembagaanlah yang diutamakan, begitu juga sebaliknya apa pun yang bertentangan dengan Islam sedangkan perlembagaan negara membenarkannya maka tetap sahaja perlembagaanlah yang diutamakan.

Jadi tidak hairan bidang kuasa jabatan agama Islam hanya sebatas mengurus urusan nikah, cerai, pewarisan harta, penetapan puasa/hari raya, hak penjagaan anak, menyerbu pusat maksiat dan menyekat penceramah tanpa tauliah daripada berceramah. Kerana itulah antara bidang kuasa dan batas yang ditetapkan oleh perlembagaan ke atas jabatan agama Islam. Maka hakikatnya, kemuliaan, ketinggian dan keagungan Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah swt untuk mengatur seluruh kehidupan manusia telah direndahkan martabatnya dalam sistem sekular hari ini dan diletakkan di bawah perlembagaan. Walhal sudah jelas bahawa Rasulullah SAW bersabda

الاسلام يعلو ولا يعلى

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” [HR Ad-Daruquthni]

Sesungguhnya kemuliaan sesebuah negara, juga secara tidak langsung kemuliaan jabatan agama Islam hanya akan terangkat dan berada di tempat yang tinggi ketika ia menjadikan syari’at Islam yang bersumberkan daripada al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar perlembagaan, bukannya menjadikan perlembagaan yang diasaskan oleh Lord Reid sebagai ketetapan undang-undang yang jelas bercanggah dengan Islam.

Abu Irin
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia