Pertemuan antara JAWI dan HTM
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Buat julung kalinya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjemput Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan pertemuan secara rasmi bagi mendapatkan penjelasan dan pendirian Hizbut Tahrir berhubung beberapa isu, di samping membina persefahaman dan hubungan baik antara kedua-dua pihak.
HTM diwakili oleh Jurucakapnya, Ust Abdul Hakim Othman, Mu’adz Abu Thalhah dan Yusuf Muhammad manakala JAWI diwakili oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Tn Hj Yaakob Abdul Rahim dan beberapa pegawai yang lain. JAWI juga turut mengundang wakil dari PDRM dan lain-lain badan kerajaan serta beberapa orang ahli akademik dalam pertemuan ini. Antara tokoh akademik yang hadir ialah Prof. Dr. Badlihisham Mohd. Nasir dan Tuan Nur Hamimah Tuan Ibrahim.
Pertemuan dipengerusikan oleh Dr. Azmil Zainal Abidin dengan dibantu oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Ahmad El-Muhammady. Selain mengenai perjuangan Hizbut Tahrir itu sendiri, antara isu yang dibincangkan meliputi persoalan sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di Malaysia, isu Negara Islam, siasah (politik), pendidikan dan turut disentuh mengenai isu fatwa Selangor terhadap Hizbut Tahrir.
Pertemuan yang berlangsung lebih kurang dua setengah jam itu berjalan dengan baik dan harmoni walaupun wujud perbezaan pendapat. Oleh kerana masa yang terhad dan banyak persoalan yang masih ingin dibincangkan, masing-masing bersetuju untuk meneruskan lagi perbincangan di masa hadapan memandangkan banyak isu yang perlu dibincangkan secara mendalam bagi mencapai titik persefahaman dengan cara yang baik sebagaimana dituntut oleh Islam, jauh dari sifat prasangka dan fitnah sesama Muslim.
HTM dengan ini merakamkan terima kasih dan mengucapkan jazakumullahu khairan kepada JAWI dan semua pihak yang terlibat dalam pertemuan tersebut dan mengalu-alukan pertemuan yang seumpamanya di masa akan datang. HTM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan siapa sahaja asalkan ia dilakukan semata-mata kerana Allah dan untuk kepentingan Islam, tanpa apa-apa niat lain yang terselindung. Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya kita berlindung.