Antara Adil dan Hudud

mahathirMantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya menegaskan bahawa cara pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan oleh Pas tidak mampu untuk dilaksanakan dengan adil. Ketidakadilan yang dimaksudkan oleh Mahathir di dalam ucapannya adalah merujuk kepada pelaksanaan hudud yang dibawa oleh Pas hanya dikenakan terhadap orang yang beragama Islam sahaja manakala orang bukan Islam tidak dihukum dengan hudud. Ini merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkannya bahawa, “Jadi apabila dua orang, Islam dan bukan Islam berpakat melakukan jenayah, yang Islam kena potong tangan, yang bukan Islam hanya kena penjara dua bulan, itu sudah tidak adil,” [1]

Memang benar, jika dilihat daripada dalil-dalil Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Sahabat serta pendapat jumhur ulamak silam yang muktabar, kesemuanya menunjukkan bahawa penerapan hukum-hakam Islam itu terkena kepada seluruh warganegara Negara Islam, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim. Ini adalah kerana Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah deen yang mengandungi konsep tentang bagaimana untuk mengatur urusan manusia dengan Allah, urusan manusia dengan dirinya sendiri dan urusan manusia dengan  manusia yang lain. (An-Nabhani, Nizham al-Islam, m/s 129).

Seluruh manusia diperintahkan untuk terikat dengan kesemua konsep Islam serta peraturan-peraturannya, baik yang berkaitan masalah ushul (pokok) yakni akidah Islam, mahupun masalah furu’ (cabang) yakni hukum-hakam syariah Islam (An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustûr, hlm. 29). Dengan kata lain, seluruh manusia terkena khithab da’wah (seruan dakwah) yakni seruan untuk memeluk Islam dan khithab taklif (seruan tanggungjawab) iaitu kewajipan-kewajipan manusia untuk mengamalkan hukum-hakam Islam (An-Nabhani, Ad-Dawlah al-Islamiyah, m/s. 140). Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT, antaranya:
 

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا كَافَّةً لِلنَّاسِ
“Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan kepada seluruh umat manusia” [TMQ Saba’ [34] : 28].

Berkenaan ayat di atas, Ar-Razi berkata, “Kaffatan bermakna bahawa risalah (Islam) itu untuk semua, yakni umum untuk seluruh manusia, sehingga mereka dilarang keluar (ingkar) daripada ketundukan terhadap risalah tersebut.” (Ar-Razi, Mafatih al-Ghaib, XXV/207).

Rasulullah saw juga bersabda:

بُعِثْتُ إِلَى كُلِّ أَحْمَرَ وَ أَسْوَدَ
“Aku diutuskan untuk semua, yang berkulit merah mahupun hitam”. (HR Muslim).

mahathir-hududKedua-dua dalil di atas dan dalil-dalil yang lain menunjukkan dengan jelas bahawa yang diseru dengan syariah Islam adalah seluruh umat manusia, tidak kira sama ada ia Muslim ataupun kafir. Risalah (Islam) itu umum meliputi seruan keimanan (akidah) sekaligus seruan pelaksanaan hukum furu’ (cabang) (An-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islâmiyah, III/29).

Walaupun Mahathir menyanggah pendapat Pas yang ingin menerapkan hudud yang hanya terkena kepada orang-orang Muslim sahaja, tetapi pada masa yang sama Mahathir sendiri bukanlah individu yang benar-benar menginginkan agar hudud itu dilaksanakan di Malaysia. Mahathir seolah-olah berdolak-dalih dalam hal ini (penerapan hudud) dengan mengatakan bahawa hudud itu akan mendatangkan ketidakadilan jika diterapkan dalam negara ini, sepertimana dalam ucapannya, “kalau tiada saksi yang cukup, adakah kita nak kata bahawa seseorang itu tak kena rogol? Padahal kita tahu apa terjadi pada dia.” [2]

Daripada ucapannya, kita dapat lihat bahawa Mahathir dan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah sekali lagi telah mempersendakan hukum hudud Allah SWT. Sehingga kini, BN yang merupakan parti pemerintah di Malaysia tidak pernah mahu sama sekali untuk menerapkan hukum hudud, apatah lagi syariah Islam secara kaffah yang hanya dapat ditegakkan melalui institusi Khilafah Islamiyyah. Mahathir sering mempertikaikan soal keadilan, padahal dia sendiri tidak pernah berlaku adil kerana tidak menerapkan hukum-hakam Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45].

Sumber:
[1] http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130219/po_02/Hudud-Pas-ditolak-kerana-tidak-ikut-tuntutan-Islam
[2] http://www.sinarharian.com.my/nasional/mahathir-pas-tak-mampu-laksana-hudud-dengan-adil-1.132418