SN422 – Hudud: Antara Impian, Kesalahfahaman Dan Tentangan

PDF

SN keluaran 27 Mac 2015

[SN422] Gegak gempita seluruh negara kali ini setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 atau lebih dikenali dengan “hudud” secara sebulat suara. Apa yang menarik kali ini ialah apabila Ahli DUN daripada UMNO turut menyokong kelulusannya, berbeza dengan pembentangan hudud di Terengganu di bawah pemerintahan PAS satu ketika dulu yang ditolak sepenuhnya oleh UMNO. Rentetan dari kelulusan hudud di DUN Kelantan ini, PAS telah dikecam hebat oleh rakan tahalufnya, DAP dan turut mengundang kritikan dari PKR yang kesal dengan sikap PAS yang dikatakan telah membelakangi pendirian bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui selama ini. Lim Kit Siang telah mengambil keputusan tegas untuk tidak lagi bekerjasama dengan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, yang (keputusan itu) telah meletakkan rumah tangga yang mereka bina sejak 2008 dalam keadaan retak menanti belah. Walaupun  hakikatnya hudud masih belum dan mungkin tidak akan berjaya diterapkan oleh Kelantan, namun kelulusannya telah menerima pelbagai kritikan dan tentangan, khususnya dari kelompok sekular dan liberal. UMNO pula sehingga kini masih belum mengeluarkan pendirian rasmi, walaupun Menteri Pelancongan, yang juga bekas Menteri Undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz berpendapat undang-undang hudud tidak akan dapat dilaksanakan di negara ini dan menyifatkan orang yang membincangkannya sebagai bodoh.

Penentangan Puak Liberal, Sekular Dan Kuffar

Banyak pihak, termasuk PAS sendiri mengakui bahawa halangan utama untuk menerapkan hudud ialah dari segi perundangan iaitu Parlimen, Perlembagaan dan secara spesifiknya Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah. Sifir mudahnya, kalau Parlimen meluluskan, maka selesailah masalah. Parlimen cuma perlu meminda Perlembagaan dan Akta 355 sebelum membolehkan hudud dilaksanakan. Semua itu boleh dilakukan dengan mudah jika majoriti ahli Parlimen bersetuju untuk berbuat demikian. Masalahnya ialah tidak semua ahli Parlimen bersetuju, khususnya yang sekular dan non-Muslim. Jadi, kesimpulannya adalah, halangan utama sebenarnya terletak kepada setiap ahli Parlimen (manusia)! Inilah masalah utama sebenarnya apabila manusia diberi kuasa (dalam demokrasi) untuk membuat undang-undang yang menjadikan kuasa mereka “lebih besar” dari kuasa Allah dalam hal ini sehingga hukum Allah perlu diluluskan oleh mereka sebelum dapat dilaksanakan! Inilah realiti sistem demokrasi!!!

Demokrasi yang lahir dari akidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) mengajar manusia untuk tidak menjadikan agama sebagai peraturan dalam kehidupan, sebaliknya meletakkan akal sebagai penentu standard betul atau salah, baik atau buruk. Dalam sekularisme, agama itu diakui kewujudannya, tetapi tidak boleh masuk campur dalam urusan seharian apatah lagi pemerintahan. Pemerintahan dan undang-undang hendaklah ditentukan oleh kebijakan akal manusia semata-mata tanpa campur tangan dari agama. Inilah cara berfikir yang lahir dari akidah sekularisme yang berasal dari Barat yang mendominasi cara berfikir sebahagian besar umat Islam sejak era penjajahan Barat, baik secara fizikal mahupun pemikiran, ke atas negeri umat Islam. Kerana itulah apabila hudud dicadang untuk dilaksanakan, maka golongan non-Muslim, sekular dan liberal yang sudah sebati dengan cara berfikir memisahkan agama dari kehidupan ini, menentangnya habis-habisan.

Cara berfikir ini tidak ubah seperti yang ada di pihak pemerintah itu sendiri. Kerana itulah, sejak dulu, bukan sahaja hudud, malah apa sahaja sistem Islam baik pemerintahan, ekonomi, pergaulan (sosial), uqubat dan lain-lain, tidak diterapkan oleh pemerintah hingga kini. Lebih buruk, hukum Allah sering direndah-rendahkan dan dipertikaikan penerapannya, malah hingga ke tahap dipermainkan dan dihina, sebagaimana yang terjadi ke atas hudud sekarang. Pemerintah pula hanya membiarkan atau mendiamkan hal ini kerana mereka sebenarnya berkongsi pemikiran yang sama. Akhirnya, hukum Allah hanya menjadi bahan sepak terajang dalam gelanggang demokrasi!

Kita semua tahu yang kemunculan kelompok liberal tidak boleh dipisahkan dari kuffar Barat, malah Barat tidak segan silu dan tanpa sembunyi menyatakan sokongan atau mendanai kelompok ini. Barat mengangkat kelompok ini sebagai kelompok moderat (sederhana) yang paling demokratik dan perlu dicontohi. Puak kuffar dengan mudah dan senang sekali berselindung di sebalik kelompok liberal yang menentang pelaksanaan hukum Allah ini dengan menyebarkan pendapat umum bahawa, sedangkan orang Islam sendiri menolak pelaksanaan hudud, lagikan pula mereka (kaum kuffar), yang akhirnya menatijahkan perbalahan dan persengketaan sesama Muslim. Kelompok liberal ini sering menafsirkan Islam dengan pemahaman songsang mereka, walhal perkara asas seperti menutup aurat pun mereka tidak patuhi. Inilah kelompok yang diangkat Barat sebagai kelompok yang tidak ekstrem (moderat), tidak sebagaimana kelompok Muslim lainnya yang mahukan penerapan Islam secara kaffah yang dilabel ekstrem dan merbahaya.

Kebencian golongan kuffar terhadap Islam bukanlah suatu yang pelik kerana sudah pun dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran,

“Telah nyata kebencian dari mulut-mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami) jika kamu memahaminya” [TMQ Ali Imran (3):118].

Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah kemunculan kelompok liberal yang sepemikiran dengan golongan kafir yang menolak hukum Islam dan menjadikan hudud (dan hukum Islam yang lain) sebagai target serangan mereka. Malah dalam banyak keadaan kelompok liberal ini menyerang hukum Islam jauh melebihi serangan oleh golongan kafir itu sendiri.

Selain sudah teracun dengan pemikiran Barat, kecetekan dan kesalahfahaman golongan liberal terhadap hukum Islam menjadi penyebab kepada penentangan mereka. Malangnya mereka tidak berusaha untuk mempelajari dan mengkajinya dengan mendalam, sebaliknya memilih untuk “menghentam” pelaksanaannya. Mungkin juga golongan liberal ini sebenarnya amat takut kepada hudud (dan hukum uqubat yang lain) kerana jika hukum Allah ini dilaksanakan, perbuatan mereka yang mempermainkan, merendah-rendahkan dan menghina hukum Allah akan pasti dihukum (ta’zir). Jika seseorang itu tidak melakukan apa-apa kesalahan dan patuh kepada segala perintah dan larangan Pencipta mereka, sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan oleh mereka kerana suatu “hukuman” itu hanya dikenakan ke atas orang-orang yang jahat (melakukan kesalahan) sahaja, bukan kepada orang yang baik-baik.

Islam Bukan Hanya Hudud Atau Uqubat

Islam adalah agama yang diturunkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri dan dengan manusia lain. Hubungan manusia dengan Penciptanya merangkumi hal-hal (hukum-hakam) yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya sendiri merangkumi hal akhlak, makanan dan pakaian. Hubungan manusia dengan manusia yang lain merangkumi hal muamalah dan uqubat. Muamalah sesama manusia termasuklah seluruh hukum yang menyentuh sistem pemerintahan, ekonomi, pergaulan (sosial), polisi pendidikan dan polisi luar negara. Manakala uqubat pula terdiri daripada empat kategori iaitu hudud, jinayat/qisas, ta’zir dan mukhalafat. Inilah kesempurnaan Islam sebagai sebuah ideologi yang merangkumi semua aspek kehidupan atau way of life.

Hudud hanyalah sebahagian dari hukum Islam dan ia wajib dilaksanakan secara serentak dengan kesemua hukum Allah yang lain, sebagaimana yang disebut di atas. Adapun taklif (bebanan) untuk melaksanakan hudud terletak kepada ketua negara (pemerintah), bukannya kepada ketua kampung, ketua daerah mahupun ketua negeri (menteri besar). Hudud (berserta hukum Allah lainnya) wajib dilaksanakan tanpa perlu melalui proses perundangan, baik di DUN mahupun Parlimen. Mengundi untuk meluluskan dan melaksanakan hudud bermakna telah menundukkan hukum Allah di bawah proses demokrasi dan meletakkannya sebagai tertakluk kepada kelulusan manusia dan hal ini merupakan sebuah keharaman yang nyata.

Keinginan untuk melihat hudud dan kesemua hukum Allah dilaksanakan secara kaffah merupakan cita-cita setiap Mukmin dan usaha ke arah tersebut bukan sahaja wajar disokong, malah wajib dibantu. Namun usaha tersebut hendaklah dilakukan dengan jalan yang syari’e, bukan dengan jalan demokrasi yang diajar oleh Barat yang penuh dengan tipu daya dan keharaman. Demokrasi sejak sekian lama bukan sahaja terbukti telah gagal membawa kesejahteraan kerana menjadikan manusia sebagai pembuat hukum (law maker), malah demokrasilah yang menjadi penghalang kepada penegakan hukum Allah kerana demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukannya di tangan syarak.

Sesungguhnya hukum Allah tidak akan tegak dalam sistem demokrasi kerana demokrasi bukan di “design” untuk tujuan itu. Bagaimana mungkin sistem ekonomi Islam yang bebas riba, bebas cukai, bebas spekulasi, bebas insurans, bebas campur tangan kerajaan, mengembalikan hasil minyak kepada umat dan banyak lagi, boleh dilaksanakan dalam sistem yang dikuasai oleh para Kapitalis ini?  Bagaimana mungkin polisi luar negeri Islam iaitu dakwah dan jihad dapat dilaksanakan oleh negara demokrasi yang menafikan hukum jihad, malah menganggap jihad tidak ubah seperti keganasan? Justeru, bagaimana mungkin uqubat Islam boleh dilaksanakan apabila negara diperintah oleh orang yang tidak menginginkannya?

Pelaksanaan uqubatsemata-mata (jika berlaku sekalipun), tanpa disertai dengan pelaksanaan sistem Islam yang lain secara kaffah, hanya akan berfungsi sebagai tindak balas terhadap kerosakan sistem yang ada dan bukannya bertindak sebagai pelengkap kepada keperluan dan kesejahteraan manusia. Itu belum lagi mengambil kira kepincangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah tersebut yang mengenakan hudud hanya ke atas Muslim dengan mengecualikan non-Muslim dan mengekalkan dualisme perundangan (mahkamah sivil dan mahkamah syariah) serta beberapa kepincangan lain lagi. Sesungguhnya keadilan dan keindahan hudud (dan sistem Islam lainnya) hanya dapat disaksikan dan dirasai apabila kesemuanya diterapkan secara serentak dan menyeluruh. Setitis madu tidak akan dirasai manisnya, apatah lagi untuk menjadi ubat, apabila dicampur dengan segelas racun. Begitulah apabila hudud dilaksanakan dalam sistem demokrasi yang penuh kekufuran ini.

Islam Kaffah Hanya Dengan Khilafah

Sesungguhnya tidak ada sebab lain kenapa umat Islam ditimpa pelbagai masalah kecuali kerana hukum Islam tidak diterapkan secara kaffah (keseluruhan), baik dalam kehidupan individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Demokrasi yang diamalkan di negeri kaum Muslimin ternyata telah menghasilkan way of life yang tidak ubah seperti di Barat. Demokrasi menjadikan sistem kehidupan sekularistik, ekonomi kapitalistik, politik opportunistik, pendidikan materialistik, budaya hedonistik, tingkah laku individualistik yang kesemuanya membawa kepada perpecahan negeri kaum Muslimin, perbalahan sesama umat Islam, penindasan dan kezaliman oleh pemimpin, kemiskinan, kerosakan akhlak, peningkatan kadar jenayah, murtad dan banyak lagi.

Kerana itulah, pandangan dan usaha umat Islam haruslah terfokus kepada masalah utama, iaitu tiadanya penerapan sistem Islam secara kaffah dalam kehidupan dan bagaimana untuk mengembalikannya semula. Hukum Islam harus dipandang secara holistik yang mencakupi seluruh peraturan hidup dan bukan terbatas pada sistem uqubat (hukuman) semata-mata. Melaksanakan uqubat semata-mata, di samping tidak akan menyelesaikan masalah, adalah menyalahi perintah Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Sesungguhnya demokrasi itu sendiri  bukan dari Islam, malah bertentangan dengan Islam. Justeru, penerapan Islam yang holistik tidak akan berlaku selagi sistem demokrasi yang menjadi punca kepada segala permasalahan ini, tidak dicabut dari akarnya. Sistem pemerintahan Islam ialah Khilafah, bukannya demokrasi. Khilafah merupakan sistem pemerintahan yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua, manakala demokrasi adalah sistem yang diwariskan oleh kuffar penjajah ke atas kita. Khilafah telah terbukti menjadi institusi politik dan peradaban agung yang telah membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seantero dunia, selama lebih 13 abad. Maka, tidak ada cara lain untuk menerapkan Islam secara kaffah kecuali dengan menggantikan sistem demokrasi yang penuh kebusukan ini dengan sistem Khilafah di atas jalan kenabian yang Insya Allah akan menerapkan keseluruhan Kitabullah dan Sunnah RasulNya dalam kehidupan.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Percayalah bahawa demokrasi ini sebenarnya telah dibentuk oleh kuffar Barat untuk menghalang pelaksanaan Islam. Barat kemudian menggunakan tali barutnya dari kalangan penguasa Muslim dan kelompok Muslim sekular dan liberal agar memastikan demokrasi terus hidup dan dipertahankan. Barat telah menutupi segala kudis dan kurap demokrasi dengan pelbagai perhiasan dan bau-bauan sehingga tidak sedikit daripada gerakan Islam yang terpesona dengannya lalu mengambil demokrasi dengan harapan dapat menegakkan Islam dengannya. Impian setiap Mukmin yang ingin melihat keseluruhan hukum Allah diterapkan di muka bumi ini tidak pernah terlaksana di bawah demokrasi, malah sebaliknya Islam dan umatnya sering menjadi “mangsa” kepada sistem kufur ini. Sesungguhnya tidak ada yang dibawa oleh demokrasi kecuali kebatilan sedangkan Islam adalah hak dan sesungguhnya hak dengan batil pasti tidak akan bersatu.Maka, apa yang wajib dilakukan oleh setiap Mukmin ialah meninggalkan demokrasi dan berusaha menegakkan kembali Khilafah ala minhaj nubuwwah. Hanya dengan Khilafah sahajalah, impian umat Islam untuk menyaksikan terlaksananya keseluruhan hukum Allah dapat direalisasikan dan sekali gus seluruh dunia dapat menikmati keharuman dan keindahannya. Wallahua’lam.