SN530 – Perubahan Melalui Pilihanraya Demokrasi: Sejauh Mana?

Bil: SN530 – 04 Syaaban 1439 / 20 April 2018

SN529 - Perbezaan Antara Politik Islam Dan Barat

Sebahagian besar negara-negara yang men­capai ‘kemerdekaan’ setelah dijajah meyakini dan memilih pilihanraya dalam demokrasi se­bagai jalan membawa perubahan. Di ke­banyak­an negara di dunia termasuk Malaysia, pilihan­raya dapat menentukan parti yang akan mendiri­kan ke­rajaan, tetapi di sebahagian negara lain pilihan­raya hanya menghasilkan kerajaan otokratik terutamanya di Asia Barat. Pilihanraya menjadi medan penting bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mempamer­kan idea-idea perubahan untuk  men­corakkan kerajaan yang bakal dibentuk. Walaubagaimana­pun, realiti pilihanraya demokrasi tidak dapat lari daripada pelbagai bentuk manipulasi, penipuan, fitnah, dan pengaruh asing seperti politik wang, gerrymandering, rasuah dan tekanan negara kuasa besar.

Realiti Pilihanraya Demokrasi

            Di Malaysia, disebalik pelbagai skandal dan kritikan, pencapaian UMNO dalam Barisan Nasional (BN) pada PRU 2013 dilihat meningkat apabila berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi pada 2008. Parti pemerintah gagal dikalahkan dalam pilihanraya sejak penubuhannya sekalipun berhadapan dengan pelbagai pakatan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan Rakyat (PR) termasuk parti-parti bekas pimpinan tertinggi UMNO sendiri seperti Parti Semangat 46, Parti Ke­merdekaan Malaya (IMP), dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Timbul persoalan, adakah parti-parti pembangkang mampu memenangi PRU akan datang se­mentara undi orang Melayu dan pengundi luar bandar kepada BN dilihat meningkat pa­da PRU 2013, parti-parti pembangkang terus berpecah, dan kita bakal menyaksikan pengaruh politik wang dan per­tembungan tiga penjuru memberi kelebihan kepada parti pemerintah. Ini belum mengambil kira proses PRU yang menelan belanja ratusan juta ringgit.

            Kaum Muslimin yang membawa agenda Islam sering menjadi mangsa kepada percaturan politik pihak yang berkepentingan dan mempunyai pengaruh seperti para politikus sekular, pemilik modal dan Barat khususnya. Ini kerana Islam pada dasarnya sangat bertentangan dengan doktrin Barat seperti liberalisme, kapitalisme, dan demokrasi. Barat akan sentiasa me­mastikan supaya tidak ada ruang bagi pencabarnya (Islam) untuk berkuasa dan melakukan perubahan. Hal ini dapat dilihat daripada apa yang menimpa beberapa gerakan Islam.

            Di Mesir, Muhammad Mursi yang mewakili Ikhwanul Muslimin (IM) memenangi pilihanraya presiden pada tahun 2012 dengan undi majoriti sebanyak 51.7% mengalahkan pencabarnya, Ahmed Shafiq. Namun setahun kemudian, Mursi di­tumbangkan melalui kudeta pada Julai 2013 oleh junta tentera Mesir walaupun beliau adalah pemerintah yang sah disisi undang-undang kerana terpilih melalui proses pilihan­raya yang sah. Malah lebih buruk lagi, pimpinan IM juga ditangkap dan dipenjara. Di Palestin, parti Hamas telah me­menangi pilihanraya dengan jumlah kerusi melebihi 57% pada tahun 2006 mengalahkan Parti Fatah. Namun, Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak mengiktiraf kemenangan Hamas, yang akhirnya menyaksikan Hamas berjaya di­jinakkan AS agar cenderung ke jalan rundingan dengan Israel dan mem­bentuk kerajaan gabungan bersama Fatah. Di Algeria, Front Islamic Salvation (FIS) yang dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional telah memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 81% kerusi parlimen dalam pilihanraya pusingan per­tama pada Disember 1991. Namun pada pusingan kedua tahun berikutnya, ketika FIS berada diambang kemenangan, ia berakhir dengan pembatalan dan kudeta oleh junta tentera Algeria dengan dukungan dari Perancis. Pimpinan dan anggota FIS ditangkap, diseksa dan dibunuh dengan kejam sehingga berkuburlah FIS. Ber­beza di Turki, sekalipun Parti Keadilan dan Pem­bangunan (AKP) pimpinan Erdogan yang membawa imej Islam telah memenangi pilihan raya umum pada tahun 2002 sehingga 2015  dan me­merintah sehingga kini, namun pada hakikatnya AKP terpaksa berkompromi dengan parti sekular supaya kekal relevan dan mendapat mandat daripada AS selaku negara kuasa besar dan sekutu rapat Turki.

            Di Barat pula, terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya AS dan British membuka kertas siasatan ke atas syarikat perkhidmatan digital British Cambridge Analytica dengan tuduhan menggunakan teknik profil psikologi untuk mempengaruhi pengundi dalam pemilihan presiden AS dan referendum Kesatuan Eropah. Campur tangan golongan elit dari kalangan politikus dan pemilik modal dalam pilihanraya serta penentuan polisi-polisi negara bukan­lah perkara yang baru di Barat. Negara-negara Barat yang kononnya melindungi, mengamal­kan dan mengembangkan demokrasi sering diperalat oleh pihak yang berkepentingan sehingga presiden AS Rutherford B. Hayes pernah menyatakan bahawa realiti demokrasi di AS bukan­lah “dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat”, namun sebaliknya

from corporation, by corporation, and for corpora­tion” (dari korporat, oleh korporat dan untuk korporat).

Agenda Barat Terhadap Negara Umat Islam

            Permusuhan Barat terhadap dunia Islam telah berlangsung lama sejak Perang Salib kurun ke-11 se­hingga British dan Perancis berhasil meruntuhkan Negara Khilafah Uthmaniyyah dan telah berjaya melantik beberapa pemimpin boneka di kalangan pemimpin Arab demi mencapai tujuannya iaitu me­mecah-belahkan umat Islam di atas dasar ke­bangsaan dan kesukuan. Hal ini diteruskan oleh AS apabila menyedari potensi semenanjung Arab ketika menemui telaga minyak pada awal kurun ke-20. Sejak tamatnya perang dunia kedua, AS telah sedaya upaya cuba untuk  merampas tali ketaatan para pemimpin negara Arab daripada British. Maka bermulalah pakatan-pakatan sulit yang dilakukan oleh agensi rahsia AS iaitu CIA yang beroperasi di negara Arab untuk menjatuhkan para pemerintah boneka British dan menggantikannya dengan pemerintah Arab yang berkiblatkan AS. AS memberikan bantuan kepada pelbagai gerakan ter­masuk parti Sosialis Baath untuk meruntuhkan pemerintahan beraja yang merupakan boneka kepada British seperti yang berlaku di Mesir dan Iraq meskipun ketika itu AS adalah negara yang berideologi Kapitalis dan sedang berhadapan dengan Soviet Union yang berideologi Sosialis/Komunis. Sekalipun AS merupakan negara yang menyerukan dengan lantang pemerintahan demokrasi liberal, tetapi sikap hipokrit AS semakin terserlah apabila AS sentiasa memberikan ban­tuan dan mandat kepada negara Arab yang diperintah oleh diktator mahupun monarki mutlak demi memastikan mereka sentiasa di bawah pengaruh AS. Hal ini berterusan sehingga ke kurun ke-21 di mana majoriti pemerintah Arab merupakan pemimpin yang tunduk dan taat kepada AS dan hanya sebahagian kecil sahaja yang masih berkiblatkan British.

            Memang benar bahawa demokrasi memberi ruang kepada seseorang atau sebuah parti politik untuk memegang tampuk kekuasaan. Namun, Barat melalui AS dan sekutunya tidak akan pernah membiarkan Islam sampai pada kekuasaan melalui jalan demokrasi. Seharusnya semua ini menjadi pelajaran berharga bahawa pilihanraya dalam demokrasi bukanlah cara yang tepat untuk mewujudkan perubahan. Sebenarnya, proses intikhab (pemilihan) pemimpin dalam Islam tidak hanya terhad kepada suara majoriti (pilihanraya). Selain daripada itu Islam juga mem­benarkan pemilihan melalui hasil musyawarah (Abu Bakar RA), pencalonan oleh Khalifah sebelumnya (Umar al-Khattab RA), dan calon tunggal (Ali bin Abi Talib RA). Namun proses perlantikan pemerintah (Khalifah) dalam Islam iaitu akad bai’ah merupakan se­buah akad untuk melaksanakan syariat Allah SWT bukan selainnya.  Sesungguhnya, siapapun yang memimpin, jika sistem pemerintahannya masih sama, maka tidak akan ada perubahan kepada kehidupan yang lebih baik. Akhirnya, persoalan yang timbul, sejauh manakah realiti pilihanraya dalam gelanggang demokrasi saat ini mampu mengubah ke arah landskap politik Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam?


KOLUM SEJARAH ISLAM

PERANAN AMERIKA DI MESIR

Rampasan kuasa terhadap pemerintahan Presiden Dr. Muhammad Mursi di Mesir pada Julai 2013 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1000 nyawa (Human Right Watch) merupakan detik hitam buat umat Islam. Ia sekali lagi mengungkapkan peranan pihak tentera yang cukup berpengaruh di negara itu. Mursi dan Ikhwanul Muslimin (IM) tidak berdaya ketika Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengumumkan penggulingan pemerintahan yang sebelum ini dipilih secara demokratik melalui pilihanraya.

            AS yang pada awalnya dilihat menyokong pemerintahan Mursi  seperti berkenaan resolusi perlembagaan dan pemecatan  Ketua Tentera, Hussein Tantawi, namun pada hakikatnya Mursi te­lah tertipu dengan sokongan yang diberikan terhadap­nya sekalipun Mursi memberi jaminan kepada AS bahawa dia akan mematuhi perjanjian dan konvensyen yang telah dibuat oleh bekas rejim, terutamanya perjanjian Camp David, satu perjanjian yang sangat penting untuk AS. Bahkan pendedahan kewujudan puluhan dokumen ke­rajaan AS sekaligus mengesahkan bahawa Washington membiayai pembangkang untuk menyokong aktiviti penggulingan Presiden Mursi melalui program yang dilaksanakan oleh Jabatan Luar Negara AS iaitu  program promosi demokrasi di Timur Tengah. Demonstrasi dan tunjuk perasaan antara penyokong Mursi dan penentangnya adalah kejayaan program ini bagi membolehkan tindakan ketenteran dilaksanakan atas alasan ancaman kepada keselamatan negara.  Selain itu AS sendiri tidak pernah menyatakan pemecatan Mursi se­bagai, kudeta sebaliknya menegaskan akan tetap menjalinkan perhubungan dengan pemerintah baru pasca Mursi yang dibentuk pihak tentera.

Tentera Mesir mula berperanan dalam mengambil alih kekuasaan di negara itu pada Julai 1952 melalui sebuah rampasan kuasa yang didukung oleh AS untuk menggulingkan Raja Farooq, yang merupakan boneka British. Projek CIA ini telah digambarkan oleh Miles Copeland, salah seorang agen CIA, pada tahun 1970 dalam bukunya ‘The Game of Nations’ dan kemudian dalam memoirnya pada tahun 1989, ‘The Game of Player’. Gerakan Free Officers Movement yang terdiri daripada sekelompok pegawai tentera yang rata-ratanya masih muda, membentuk sistem politik baru yang menjadikan tentera sebagai institusi paling tersusun dan paling penting di negara tersebut sehingga hari ini. Selain pemimpin tertinggi mereka mendapat pen­didikan di AS, AS juga menjinakkan tentera Mesir melalui program bantuan kenteraan purata $1.3 billion setiap tahun.

Download PDF