Pesta Maksiat Dibiar Berleluasa, Natijah Tidak Diterapkan Islam
Penganjurnya (yang juga merupakan seorang Muslim) telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert ini telah dibatalkan pada hari ketiga setelah akhirnya terpaksa akur dengan arahan polis. Persoalannya, siapakah yang pada awalnya memberikan kebenaran dan permit untuk penganjuran pesta maksiat ini? Bukankah segala kebenaran untuk sebarang penganjuran konsert mahupun perhimpunan adalah di bawah kendalian pemerintah dan pihak polis?
Oleh itu, pihak pertama yang perlu bertanggungjawab dan dipersalahkan dalam isu ini adalah pemerintah negara sendiri yang telah memberikan kebenaran terhadap penganjuran konsert maksiat ini. Pembatalan konsert pada hari ketiga bukanlah suatu perkara yang perlu dipuji dan dianggap baik kerana ia sepatutnya tidak perlu diberikan kebenaran sedikitpun sejak dari awal lagi. Apakah jika tiada kematian yang berlaku di konsert tersebut, maka pihak berkuasa akan membiarkan konsert ini selesai sehingga ke hari ketiga dan masyarakat terus dirosakkan dengan budaya hedonisme melampau serta pengambilan arak dan dadah ini? Apa yang berlaku ini telah membuka pekung di dada yang selama ini cuba disembunyikan oleh pemerintah yang kononnya selama ini mendabik dada sebagai negara yang Islami. Di hadapan rakyat, mereka boleh berbicara dengan petahnya tentang betapa prihatinnya mereka terhadap nasib umat Islam di negara ini termasuklah gejala sosial yang sedang serius melanda, tetapi pada masa yang sama, merekalah yang menyuntik racun berbisa untuk membunuh rakyat mereka sendiri.
Ibarat isi dan kuku, pesta liar sekali-kali tidak akan terpisah dengan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, hubungan sejenis, arak, dadah, zina serta pakaian yang mendedahkan aurat. Wahai para pemimpin umat Islam, sampai bilakah kalian ingin bersekongkol dengan segala macam maksiat hasil daripada akibat tidak diterapkan Islam secara kaffah semasa kalian sedang berkuasa? Tidakkah kalian takut di hari akhirat nanti di mana Allah akan mempersoalkan setiap detik kuasa yang ada di tangan kalian, ke arah manakah ia telah digunakan? Adakah ia telah digunakan untuk menerapkan Islam ataupun tidak?
Segala jenis kemaksiatan yang berlaku termasuklah pesta liar ini adalah sepenuhnya berpunca daripada tidak diterapkan sistem Islam secara kaffah oleh pemerintah yang ada. Sedarlah wahai umat Muhammad, sampai bilakah kita sanggup untuk melihat pemerintah terus berkhianat membelakangkan Islam semasa mereka berkuasa? Ayuh, marilah kita bersama-sama mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan hukum Allah di bawah panji Khilafah. Semoga dengan itu, segala jenis kemaksiatan terang-terangan seperti ini tidak akan kita dengar dan lihat lagi di masa akan datang. Wallahu a’lam.
Sumber: Utusan Online, 16/03/14