Pesta Tanglung : Acara Tahunan Sekular 1Malaysia
KUALA LUMPUR: Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur akan dijadikan acara tahunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM250,000 kepada Kementerian Pelancongan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menganjurkan pesta tersebut. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur 2009 di Pasar Seni di sini pada malam Sabtu. “Saya berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan yang boleh memperkukuhkan konsep 1Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian Pesta Tanglung 1Malaysia.
Sumber: mStar Online 26/09/09
Dalil 1Malaysia Digunapakai Untuk Kembali Kepada Fitrah Sekular
Baru seminggu umat Islam melaungkan takbir, tahmid, tahlil dan segala bentuk ucapan pengagungan kepada Allah SWT,tiba-tiba Najib menggunakan “dalil” 1Malaysia nya untuk sama-sama merayakan upacara Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur. Rupa-rupanya para pemimpin sekular in bukannya kembali kepada fitrah Islam tetapi sebaliknya mereka kembali kepada fitrah sekular.
Wahai Najib! Wahai umat Islam! Pesta Tanglung itu adalah satu bentuk hadharah yang terkait dengan akidah kufur dan tidak selayaknya kita sebagai seorang Muslim bersama merayakannya apatah lagi mempromosikannya. SubhanaAllah! Ketahuilah bahawa umat Islam hanya diperbolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam isu yang berhubungan dengan masalah keduniaan, itupun dengan syarat ianya dilakukan dalam aturan yang dibenarkan oleh syara’. Ini adala berdasarkan al-Quran surah al-Hujurat ayat 13:
“Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” [TMQ. al-Hujurat (49): 13)
Juga berdasar al-Quran surah Mumtahanah ayat 8:
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” [TMQ. Mumtahanah (60): 8).
Ketahuilah bahawa umat Islam tidak boleh mencampuradukkan aqidah dan peribadatan agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain, berdasarkan firman Allah SWT :
“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku.” [TMQ. al-Kafirun (109): 1-6]
Juga berdasar al-Quran surah al-Baqarah ayat 42:
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” [TMQ. al-Baqarah (2): 42].
Justeru itu, wahai umat Islam! Tuntutan wajibnya menegakkan Daulah Islam saat ini adalah sesuatu yang amat mendesak kerana dengan berdirinya Khilafah itu maka warganegara Islam mahupun yang bukan Islam akan diatur dengan peraturan Islam yang mulia. Di dalam Daulah Islam inilah negara akan memperjelaskan kepada orang-orang kafir akan kedudukan mereka sebagai warganegara zimmi yang perlu terikat dengan peraturan negara. Islam tidak menghalang kafir zimmi untuk mengamalkan dan meraikan perayaan agama mereka dalam batasan yang dibenarkan oleh syara’. Berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini, hanya dengan “dalil” 1Malaysia maka umat Islam kembali semula kepada fitrah sekular.
Wahai Najib kemuliaan kamu hanya akan terserlah apabila kamu kembali fitrah Islam!