Petronas Merompak Harta Milik Umum Berbilion-bilion Ringgit.

altUntung sebelum cukai Q3 Petronas melonjak kepada RM30.149 bilion
KUALA LUMPUR 2 Mac — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM30.149 bilion dalam tempoh suku ketiga berakhir 31 Disember 2010 berbanding RM20.528 bilion pada suku yang sama pada 2009. 

Perolehan meningkat 12.4 peratus kepada RM60.041 bilion berbanding RM53.436 bilion sebelumnya berikutan jumlah serta harga minyak mentah yang lebih tinggi.  Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2010, syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM69.746 bilion berbanding RM51.733 bilion pada tempoh yang sama pada 2009.  Perolehan syarikat meningkat 15.8 peratus kepada RM175.586 bilion berbanding RM151.612 bilion sebelumnya.  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, syarikat itu terus mencatat prestasi asas yang kukuh pada suku ketiga meskipun kos semakin meningkat dan impak pengukuhan ringgi berbanding dollar Amerika Syarikat (AS).  “Prestasi keseluruhannya meningkat yang ditunjukkan menerusi peningkatan pulangan ke atas purata modal yang digunakan (ROACE) daripada 25 peratus kepada 28.2 peratus,” katanya pada sidang akhbar untuk mengumumkan keputusan syarikat di sini hari ini. 

Jumlah aset meningkat kepada RM430.5 bilion berbanding RM410.9 bilion sehingga 31 Mac 2010, terutamanya disumbangkan oleh keuntungan tunai daripada penawaran awam permulaan (IPO) PCGB dan MHB.  Jumlah hutang kepada nisbah jumlah aset berkurangan kepada 0.11 kali setakat 31 Disember 2010 berbanding 0.13 kali pada 31 Mac, 2010 hasil daripada pinjaman yang lebih rendah hasil pengukuhan ringgit serta jumlah aset yang lebih tinggi.  Shamsul Azhar berkata, Petronas akan membelanjakan RM50-RM55 bilion setahun dalam tempoh lima tahun untuk menggantikan aset yang sudah lama bagi meneruskan pertumbuhan mampan pada masa depan.  Beliau berkata, pada puratanya lebih 60 peratus medan pengeluaran utama minyak di Malaysia berusia 26 tahun.  “Perbelanjaan modal yang ketara diperlukan untuk mengekalkan integriti masa depan aset-aset lama ini,” katanya.  Sementara itu, Shamsul berkata, Petronas juga akan mengubah tahun kewangannya daripada Mac kepada Disember berkuat kuasa 1 April, 2011.  Beliau berkata perubahan tahun kewangan itu adalah sebahagian daripada transformasi semasa. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 02/03/11

 

Petronas Merompak Harta Milik Umum Berbilion-bilion Ringgit.


Saban tahun perolehan Petronas menunjukkan peningkatan.  Ini bererti bahawa pendapatan dari hasil minyak yang diperolehi nampaknya semakin lama semakin banyak. Namun malangnya rakyat tidak dapat merasa keuntungan dan nikmat dari hasil minyak yang dipunggah oleh Petronas saban tahun itu. Faktanya, dengan penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang dijalankan oleh kebanyakan negeri kaum Muslimin hari ini, termasuklah di Malaysia, kita dapat menyaksikan bagaimana kekayaan yang menjadi milik umat telah dirampas dan dirompak oleh pihak tertentu yang diberikan lesen merompak oleh negara. Pihak pemerintah sekular umat Islam di Malaysia telah merompak minyak yang menjadi milik umat atas nama Petronas. Kini hasil minyak di Malaysia bukannya milik umat tetapi dimiliki oleh Petronas sejak ianya di tubuhkan pada 1 Oktober 1974.

Mengikut pandangan Islam minyak yang merupakan salah satu bahan tenaga/api adalah terkatogeri sebagai harta yang menjadi milik umum. Haram hukumnya pemilikan minyak itu diberikan kepada individu atau syarikat sepertimana yang dilakukan oleh pemerintah sekular umat Islam hari ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api”
[HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (dan harganya adalah haram).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api”
[HR Ibnu Majah].

Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah SAW benarkan bagi semua orang untuk berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan sesuatu aset yang Allah SWT telah berikan kepada umum.

Lihat: Gubal Undang-undang Petroleum – Nik Aziz Keliru.