PETRONAS Umum Jumlah Rompakan

altPETRONAS untung RM90.49b

Keuntungan meningkat 34.5 peratus daripada RM67.3b dicatat tahun lalu

PETRONAS meraih keuntungan sebelum cukai RM90.49 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, meningkat 34.5 peratus daripada RM67.3 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Ia didorong peningkatan pendapatan sebanyak 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion berbanding RM210.8 bilion tahun sebelumnya.
Dalam tempoh kajian, firma minyak negara itu mencatat keuntungan bersih RM63.01 bilion, meningkat 38.5 peratus daripada RM45.49 bilion yang diraih pada tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata prestasi memberangsangkan itu disumbangkan terutama oleh kenaikan harga serta peningkatan jumlah dagangan bagi produk utamanya.

Ia, kata beliau, dicapai di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh meskipun dalam persekitaran nilai ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Berikutan prestasi kewangan memberangsangkan itu, Petronas mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan dikaji.

“Prestasi keseluruhan kumpulan meningkat, dicerminkan daripada kenaikan pulangan ke atas modal purata daripada 15.9 peratus kepada 17.5 peratus,” katanya mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam tahun kajian, keuntungan itu turut disumbang oleh pendapatan diraih sekali saja iaitu menerusi penyenaraian dua unitnya pada suku ketiga lalu iaitu Petronas Chemicals Group Bhd pada November dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) pada Oktober, yang mana keseluruhannya bernilai RM9.2 bilion.

Sementara itu, Shamsul Azhar berkata, PETRONAS akan memperuntukkan RM300 bilion bagi perbelanjaan modalnya dalam tempoh lima tahun ini, yang mana sebahagian besarnya akan digunakan untuk mengukuhkan kedudukan firma itu pada peringkat antarabangsa.

Beliau menambah, PETRONAS akan terus meninjau beberapa peluang penerokaan baru di peringkat antarabangsa selepas mengambil langkah untuk keluar dari pasaran Ethiopia dan Timor Leste yang disifatkan satu keputusan komersial.

“Perniagaan di pasaran terbabit tidak memberi pulangan yang wajar kepada kumpulan walaupun ia dilihat seperti kami mengurangkan kehadiran pada peringkat global. Kami akan tetap meneruskan penerokaan bagi kawasan laut dalam dan lapangan minyak baru,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, sejumlah besar peruntukan perbelanjaan modal berkenaan akan digunakannya dalam perniagaan hiliran untuk meningkatkan rantaian nilai bersepadu kumpulan itu.

Beliau menjelaskan, peruntukan yang adalah lebih tinggi daripada RM250 bilion yang diumumkan sebelumnya itu dibuat selepas mengambil kira rancangan projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (RAPID) bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion) yang diumumkannya bulan lalu.

“Jumlah perbelanjaan modal ditingkatkan untuk melepasi kenaikan kos, meningkatkan integriti aset, meningkatkan aset sedia ada, memacu pertumbuhan serta meneroka lapangan minyak baru di kawasan lebih mencabar,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, peruntukan itu juga tidak termasuk kegiatan penggabungan dan pembelian yang bakal dilaksanakannya dalam usaha meningkatkan kedudukan Petronas pada peringkat global.
 
Sumber : Berita Harian Online, 09/06/2011

PETRONAS Umum Jumlah Rompakan

Saban tahun, keuntungan syarikat minyak dan gas ini semakin meningkat. Peningkatan ini bermakna semakin banyaklah hak rakyat yang dirampas oleh pemerintah yang telah memperkudakan Petronas untuk merompak hak rakyat ini. Pada waktu yang sama, kebergantungan umat terhadap sumber bahan bakar ini adalah sangat kritital. Ia bukan sahaja merupakan bahan bakar untuk kenderaan semata- mata, malah ia juga digunakan untuk penjanaan elektrik yang menjadi asas kepada pelbagai keperluan tenaga rakyat. Meskipun Petronas merasa gah mengumumkan keuntungan (baca : hasil rompakan) serta dividen yang bakal dibayar kepada kerajaan, rakyat hanya sekadar mendengar dengan penuh kekecewaan. Kecewa kerana hak mereka dipertaruhkan dan mereka tidak dapat menikmati hak yang sepatutnya mereka perolehi.  Dalam Islam, negara hanyalah merupakan pengelola hak milik umum ini bukan mengaut keuntungan darinya. Ini kerana, petroleum merupakan sebahagian daripada kepemilikan umum, di mana negara wajib mengelolakannya secara syar’i serta memulangkan semula hak tersebut kepada umat.

“Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud & Ahmad]

Namun, apa yang berlaku ialah, hak umum ini telah diperdagangkan kepada umat. Akibatnya umat terpaksa membayar untuk mendapatkan hak mereka!! Secara kasar, sekiranya keuntungan PETRONAS ini dibahagikan kepada setiap individu rakyat, setiap orang bakal mendapat hak mereka sebanyak lebih RM3400.  Ini sekadar pengiraan kasar dan sekiranya pengurusan yang lebih cekap dilaksanakan ke atas hak umat ini, pastinya pelbagai projek yang membawa kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan sempurna. Umat perlu sedar akan hakikat ini. Umat perlu kepada perubahan pemikiran. Umat perlu kembali kepada pemikiran Islam yang ideologis dan mengatur seluruh aspek kehidupan dengan aturan Islam!