Apa Ada Dengan Jumlah 1.57b Umat Islam?

Penduduk Islam dunia kini 1.57b

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.  Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.  Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.  Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.  “Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu. 

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.  Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.  Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.  Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.  Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.  Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.   Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.  Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

Sumber: Utusan Malaysia: 08/10/09

Jumlah Umat Islam 1.57 bilion Namun Keadaannya Umpama Buih…

Membaca laporan di atas menggambarkan kepada kita betapa jumlah umat Islam itu sebenarnya cukup ramai. Angka yang sebegitu besar jika disatukan di bawah kekuatan kuasa politik yang satu, Daulah Khilafah, akan menghasilkan suatu kekuatan yang cukup luar biasa. Dan kekuatan ini jika ia benar-benar muncul sudah pasti akan menggerunkan musuh-musuh Islam. Tetapi malangnya, hari ini umat Islam hanya boleh berbangga dengan kuantiti yang besar tetapi tidak pada kualitinya.  Faktanya saat ini umat Islam merupakan umat yang terus menjadi mangsa kepada kebiadaban dan kekejaman pemangsanya, kuffar Barat terutamanya AS. Umat Islam saat ini juga terus dibelenggu dengan pelbagai masalah – kemiskinan, kemunduran, penindasan, kekejaman, peperangan dan 1001 macam wajah sedih yang menghiasi diari kehidupan umat Islam hari ini. Umat Islam saat ini seumpama buih di lautan sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Dari Tsauban beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Hampir saja bangsa-bangsa mengepung kamu, seperti kelompok orang lapar siap melahap makanan”. Berkata seorang sahabat, “Apakah karena jumlah kami sedikit pada waktu itu?” Rasul SAW. menjawab, “Jumlah kamu pada saat itu ramai, tetapi kualiti kamu seperti buih ditengah lautan. Allah mencabut rasa takut dari musuh terhadap kamu, dan memasukkan kedalam hati kamu penyakit wahn”. Berkata seorang sahabat, “Wahai Rasulullah SAW., apa itu wahn?” Rasul SAW berkata, “Cinta dunia dan takut mati.” [H.R. Ahmad dan Abu Daud].

Keadaan umat Islam hari ini ternyata sungguh berbeda dengan apa yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Umat Islam dikatakan oleh Allah SWT sebagai umat yang terbaik sebagaimana firmanNya: “kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 110].

Kedudukan umat yang terbaik itu pernah dikecapi oleh umat Islam suatu ketika dulu. Islam pernah melalui zaman keemasan dan keagungannya ketika mana Negara Islam di saat itu  merupakan kuasa besar dunia selama lebih 1400 tahun. Ia merupakan zaman di mana umat Islam bersatu di bawah Khilafah yang dipimpin oleh seorang khalifah. Ketika itu sistem kehidupan Islam diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat. Kini kegemilangan itu hanya tinggal kenangan. Oleh itu sudah tiba saatnya umat Islam hari ini menyedari bahawa jumlah kaum Muslimin yang seramai 1.57b itu adalah umpama gergasi yang sedang tidur. Harus ada usaha untuk menggerakkan gergasi yang sedang enak tidur bagi memastikan gergasi ini bangkit sebagai entiti yang akan kembali digeruni!