Pilihan raya serentak atau tidak, apa bezanya?

Antara isu yang kecoh dibicarakan mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini ialah keengganan enam 6 negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak.

Alasan yang diberikan ialah kerana tidak mahu menyusahkan rakyat di musim tengkujuh selain kerajaan negeri ingin fokus kepada kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Mereka juga memberi alasan untuk tidak mahu terheret dengan kemarahan rakyat terhadap UMNO yang berdegil membubarkan parlimen di musim tengkujuh.

Banyak pihak yang bercakap mengenai kos yang tinggi sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan. Menurut laporan, kos PRU kali ini dijangka mencecah lebih RM1.5 bilion iaitu kos yang tertinggi dalam sejarah PRU di Malaysia.

Untuk rekod, kerajaan telah menghanguskan RM420 juta bagi melaksanakan empat pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang lepas.

Walaupun memang benar dengan mengadakan pilihan raya serentak dapat menjimatkan kos, namun apa yang gagal difahami oleh parti-parti politik yang bertanding ialah baik dengan mengadakan pilihan raya serentak atau tidak, kos untuk mengadakan pilihan raya itu sendiri tersangatlah mahal.

Jika benar mereka ingin menumpukan kepada kesejahteraan rakyat, ingin menjaga kestabilan negeri dan sebagainya, maka mereka seharusnya menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan, kerana hanya dengan penerapan Islam secara kaffah sahajalah rakyat akan sejahtera dan negara akan stabil.

Jika benar mereka ingin mengelak kemarahan rakyat, maka penerapan hukum Allah adalah satu-satunya sebab yang akan mengelak kemarahan rakyat, dan lebih penting, kemarahan Allah, terhadap mereka. Tidak ada umat Islam yang akan marah jika hukum Allah diterapkan, malah inilah yang umat Islam mahukan.

Rakyat marah, benci dan meluat dengan ahli dan parti-parti politik yang ada kerana semuanya hanya tamakkan kuasa dan mementingkan diri sendiri. Rakyat sentiasa kena game, kena scam, kena tipu dan kena macam-macam dengan politikus demokrasi ini.

Apa yang pasti sekarang ini sudah tidak ada lagi parti dalam demokrasi yang memperjuangkan penerapan Islam, walaupun dahulunya ada sebuah parti yang lantang melaungkan slogan Islam. Kesemua parti telah hanyut dalam sistem dan pemerintahan sekular yang mencampakkan Islam daripada pemerintahan.

Justeru, sesungguhnya tidak ada bezanya sama sekali sama ada pilihan raya di adakan serentak atau tidak.

Mengadakan pilihan raya serentak atau tidak, sistem demokrasi tetap tidak akan berubah, dan politikus demokrasi juga tetap tidak berubah.

Lebih malang, nasib rakyat juga tidak akan berubah, dan rakyat tetap tidak akan pernah sejahtera selagi sistem demokrasi mendominasi. Rakyat hanya akan terus menjadi “permainan” dan “mangsa” golongan politikus demokrasi.

Itulah sistem demokrasi – sebuah sistem kufur lagi mahal yang tidak pernah menguntungkan rakyat!