Boikot pilihan raya akan memberi kemenangan kepada orang kafir?

Persoalan 1

Jika semua orang Islam mendengar atau mengikuti Hizbut Tahrir lalu memboikot pilihanraya, ini akan memberi kemenangan kepada orang kafir, dan orang kafir nanti akan menguasai pemerintahan.

Jawapan:

Islam mengharamkan orang kafir berada di pemerintahan, dan sebagai Muslim, haram ke atas kita untuk melakukan sesuatu, termasuk mengundi dalam pilihan raya, sehingga menyebabkan orang kafir boleh menguasai orang Islam, apatah lagi dalam bidang pemerintahan. Ini ialah pegangan Hizbut Tahrir berdasarkan nas yang jelas.

Persoalannya, siapakah yang meletakkan calon kafir dalam pilihan raya? Bukankah calon kafir tersebut diletakkan oleh parti-parti yang bertanding itu sendiri? Baik parti kerajaan mahupun pembangkang, kesemuanya meletakkan calon kafir dari parti yang bersekutu dengan mereka. BN sebagai contoh meletakkan calon kafir dari MCA, PN meletakkan calon kafir dari Gerakan, PH meletakkan calon kafir dari DAP dan PKR.

Jika anda adalah ahli UMNO atau ahli PAS, ketahuilah bahawa parti anda sendirilah yang bersetuju untuk meletakkan calon kafir. Ketahuilah bahawa parti anda sendirilah yang berkempen untuk kemenangan calon kafir tersebut, malah parti andalah yang mengeluarkan “fatwa” supaya mengundi calon kafir. Sedangkan Hizbut Tahrir tidak pernah meletakkan calon kafir, dan tidak pernah bersetuju dengan mana-mana calon kafir.

Jika anda bukan merupakan ahli mana-mana parti, maka ketahuilah bahawa parti-parti yang bertanding itulah yang meletakkan calon kafir, bukannya Hizbut Tahrir. Justeru, jika anda marah dan kecewa, luahkanlah kemarahan dan kekecewaan anda itu kepada parti anda sendiri, atau kepada parti yang meletakkan calon kafir, kerana merekalah yang hakikatnya memberi jalan untuk kemenangan orang kafir, bukannya Hizbut Tahrir.

Persoalan seterusnya, jika calon kafir tersebut menang dalam pilihan raya, siapakah yang sebenarnya memberi kemenangan kepada mereka? Ya sudah pasti Muslim mana pun yang mengundi calon kafir, Muslim itulah yang telah menyumbang kepada kemenangan calon kafir tersebut walaupun dengan hanya satu undi.

Terdapat banyak kawasan di mana majoriti pengundi adalah kaum Melayu-Muslim, tetapi ternyata calon kafir tetap menang. Apa yang pasti, bukannya Hizbut Tahrir yang mengundi mereka atau memberikan kemenangan kepada mereka, dan bukan juga orang yang memboikot pilihan raya yang memberikan kemenangan kepada mereka, tetapi pengundi Melayu-Muslim itu sendirilah yang telah memberikan kemenangan kepada calon kafir tersebut.

Persoalan seterusnya, siapakah yang sebenar-benarnya meletakkan orang kafir di kerusi pemerintahan? Jika UMNO-BN yang memenangi pilihan raya, maka UMNO-BN-lah yang membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri serta semua menteri. Dengan kata lain, jika ada orang kafir yang memegang kerusi pemerintahan, maka UMNO-BN-lah yang telah mengangkat orang kafir tersebut ke kerusi pemerintahan.

Sama juga sekiranya PH atau PN atau MN yang memenangi pilihan raya, merekalah yang membentuk kerajaan dan jika ada orang kafir memegang kerusi pemerintahan, merekalah yang sebenar-benarnya telah meletakkan orang kafir tersebut di kerusi pemerintahan, bukannya Hizbut Tahrir, dan bukan juga orang yang memboikot pilihan yang mengangkat orang kafir tersebut.

Apa yang lebih penting daripada semua itu ialah, setiap Muslim perlu memahami bagaimanakah orang kafir boleh menjadi calon dan boleh menjawat jawatan pemerintahan dalam sesebuah negara? Ia adalah kerana sistem demokrasi itu sendirilah yang membenarkannya. Sistem demokrasi tidak pernah menghalang orang kafir menjadi Perdana Menteri atau memegang apa-apa jawatan menteri sekalipun. Perlembagaan Malaysia pun tidak pernah menghalangnya.

Jadi, bagi mana-mana Muslim yang tidak mahukan orang kafir menang dalam pilihan raya, mereka haruslah sedar bahawa sistem demokrasilah yang merupakan punca yang membolehkan orang-orang kafir bertanding, menang dan seterusnya berada di kerusi pemerintahan, dan sistem demokrasi inilah yang wajib ditolak.

Atas dasar itulah Hizbut Tahrir menyatakan dengan jelas bahawa sistem demokrasi adalah sistem kufur yang haram untuk diambil, diamalkan atau disebarluaskan. Sistem demokrasi yang kufur inilah yang sebenarnya telah memberikan keizinan dan kemenangan kepada orang kafir untuk berada di pemerintahan, bukannya Hizbut Tahrir, dan bukannya orang-orang yang memboikot pilihan raya.

Akhir sekali, kita juga perlu memahami bahawa, jika orang Islam menang dalam pilihan raya sekalipun, kemudian mereka tidak menerapkan Islam, maka tiada gunanya sedikit pun. Malah setiap orang yang mengundi calon Muslim tersebut dalam keadaan mengetahui bahawa mereka akan pergi ke Parlimen atau DUN untuk membuat undang-undang yang bertentangan dengan hukum Allah, atau dalam keadaan mengetahui bahawa calon tersebut tidak akan menerapkan Islam, maka semua pengundi akan bertanggungjawab dan akan disoal oleh Allah (swt) di akhirat kelak.

Ringkasnya memboikot pilihan raya sama sekali tidak membawa kepada kemenangan orang kafir, tetapi parti-parti yang bertanding dan sistem demokrasi itu sendirilah yang sebenarnya telah memberi ruang kepada orang kafir untuk memerintah.