Pluralisme – Keliru Atau Mengelirukan?

Mufti Negeri Perak baru-baru ini telah mengeluarkan pandangannya tentang bahaya pluralisme kepada umat Islam di dalam salah sebuah akhbar tempatan. Pendapat beliau itu telah mendapat pelbagai reaksi. Di antara reaksi tersebut adalah daripada Dr Chandra Muzaffar, Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat, JUST. Dr Chandra di dalam akhbar tempatan mempersoalkan apakah yang dimaksudkan dengan ancaman pluralisme oleh Mufti Perak itu.


Dr Chandra menerangkan dengan panjang lebar di dalam ruangan yang sama sambil menyatakan bahawa pluralisme adalah bidang sains sosial merujuk kepada ‘kewujudan kepelbagaian jenis manusia yang mempunyai berbagai kepercayaan dan pendapat dalam sesuatu masyarakat.’ Dan dia menyatakan juga terdapat beberapa dimensi yang berbeza mengenai pluralisme.

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai dimensi bagi fahaman Pluralisme. Tetapi di dalam konteks Malaysia ketika ini, Pluralisme agama mula menjadi perdebatan selepas sebuah memorandum yang memuatkan usul penubuhan IFC dari Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh bertarikh 21Ogos 2001 diketengahkan. Reaksinya, timbul kempen dari dua pihak yang bertentangan antara satu sama lain, penyokong dan pembangkang. Kemuncak pergelutan politik penubuhan IFC adalah selepas keputusan Pak Lah menangguhkan tempoh penubuhan organisasi tersebut. Isu ini tenggelam timbul rentetan kemelut kes kematian Abdullah Moorthy (alias S.Moorthy) dan isu memorandum tuntutan 9 Menteri bukan Islam terhadap pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Jadi, istilah pluralisme di dalam kes ini merujuk kepada Transcendent unity of religions ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Rene Guenon, Titus Burckhardt, Fritjhof Schuon, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr dan lainlain lagi
Tetapi, pergerakan MCCBCHS tidak terhenti disitu sahaja. Mereka mula mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh korporat tanahair yang sealiran. Dengan sokongan material ada, tidak mustahil untuk mereka mencapai matlamat yang mereka idamkan.
Pluralisme mestilah dibezakan dengan hak untuk beragama. Di dalam sebuah Negara Islam, orang-orang kafir ( kaffir zimmi)* dibenarkan untuk terus menganut agama masing-masing. Tetapi, mereka tidak dibenarkan untuk menzahirkan amalan ritual secara terang-terangan. Pegangan mereka tetap dianggap salah tetapi hak sebagai seorang manusia tidak akan diabaikan oleh Negara Islam.
Pengiktirafan yang Rasulullah SAW berikan kepada orang-orang bukan Islam ( kafir zimmi) di Madinah bukan kerana kepercayaan mereka, tetapi kerana hak mereka untuk hidup sebagai seorang manusia. Ini adalah kerana, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda,
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka mengucapkan La ilahailallah” [HR Ahmad]

Manakala di dalam Hadis yang lain,

“ Barang siapa yang menyakiti zimmi, dia juga menyakitiku” [Al Hadith]

Firman Allah SWT :

Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkanNya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi. [TMQ Al Fath (48) ; 28]
*kaffir zimmi adalah orang kaffir yang sanggup untuk hidup dibawah naungan pemerintahan system khilafah. Mereka sanggup diadili dibawah system penghukuman Islam kecuali di dalam hal-hal ibadat, perkahwinan, makanan dan pakaian.

Sumber : mykhilafah.com