Polemik Hudud: Tidak Bersedia atau Enggan Bersedia?

Buat kesekian kalinya, isu hudud kembali menjadi isu yang hangat dibicarakan oleh rakyat Malaysia. Tindakan kerajaan Kelantan mengumumkan1 rancangan untuk melaksanakan hudud dan qisas menjelang tahun 2015 mendapat pelbagai respon daripada segenap pihak termasuklah daripada barisan pembangkang sendiri.

Pihak kerajaan pula dilihat menjadikan polemik hudud ini sebagai peluang untuk mencetuskan perselisihan dalam pakatan pembangkang. Umum mengetahui bahawa pelaksanaan hudud tidak pernah disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Malah,  DAP dengan tegas menyatakan tentangannya terhadap sebarang usaha untuk menerapkan hudud oleh kerajaan negeri Kelantan. Hal ini jelas dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan DAP2 dalam memberikan respon terhadap hasrat PAS tersebut.

Dalam satu kenyataan, Tun Dr. Mahathir mengatakan bahawa umat Islam di Malaysia masih belum bersedia untuk menerima hudud4. Persoalannya, sejauh manakah kesungguhan daripada pihak penguasa sendiri dalam menyiapkan umat Islam ke arah pelaksanaan hudud, apatah lagi untuk menerapkan Islam secara syumul? Atau sekadar menggunakan polemik hudud demi kepentingan parti politik semata-mata?  

Dalam perkembangan yang sama, isu hudud turut mendapat respon negatif daripada segelintir pihak yang melihat bahawa hudud tidak lagi sesuai untuk diterapkan pada zaman mutakhir ini dengan alasan hukum tersebut mengabaikan aspek sains sosial dan ekonomi3. Kedangkalan sebegini timbul kerana individu-individu tersebut gagal memahami hakikat bahawa sistem Islam hadir dengan pakej yang lengkap/syumul dalam mengatur kehidupan manusia, bukan sekadar menghukum tanpa mencegah dan mendidik.

Hudud dalam kerangka Perlembagaan dan Demokrasi

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan memilih sesi yang sesuai di Parlimen untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan hukuman itu sebagaimana diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan hudud dalam sistem demokrasi akan meletakkan hukum Allah di bawah hukum buatan manusia, di mana hukum Allah ini boleh dibahaskan dan dipertikaikan serta memerlukan “kebenaran” daripada Dewan Parlimen untuk diterapkan. Walhal pada hakikatnya hudud adalah hukum Allah dan ia merupakan sebahagian daripada kewajipan yang wajib untuk diterapkan oleh pemerintah ke atas rakyat biar pun majoriti suara menolaknya.
Khatimah

Sedarlah wahai umat Islam bahawa hudud dan juga sistem-sistem Islam yang lain tidak akan dapat diterapkan secara tadarruj (berperingkat-peringkat). Sebaliknya umat Islam wajib berusaha menerapkan Islam secara taghyir (perubahan yang mendasar) dengan cara meninggalkan sistem yang rosak pada hari ini serta mengembalikan semula Khilafah atas manhaj kenabian sepertimana yang disyariatkan. Khilafah sahaja yang akan dapat melaksanakan syariat Islam secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan serta menjamin keadilan dan keamanan kepada umat yang bernaung di bawahnya. Wallahua’lam.

Sumber:
1) “Kelantan mahu laksana Hudud, Qisas tahun depan” – Astro Awani , akses pada 26 April 2014

2) “HUDUD: DAP syor PAS keluar Pakatan Rakyat” Astro Awani, akses pada 26 April 2014
3) “Opposing Hudud does not mean Opposing Islam” – The Malay  Mail Online, akses pada 26 April 2014
4) “Umat Islam di Malaysia belum bersedia laksana hudud – Dr Mahathir” – Berita Harian, diakses pada 26 April 2014.