Polemik Tragedi Bukit Kepong – Kembalilah Kepada Agenda Islam
MELAKA 7 Sept – Pas mempamerkan gelagat sebenar perjuangan mereka berhubung isu kemerdekaan dan anggota keselamatan negara menerusi kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Pas, mengikut kepercayaan mereka, menolak peranan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar dalam sejarah kemerdekaan negara.
“Kenyataan Mohamad Sabu itu, dia bercakap banyak, dan oleh itu, kita tahu apa yang terdapat di lubuk hati mereka, dan memang itu perjuangan sebenar mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Ilmu Wacana Pemikiran Bersama anjuran kerajaan negeri Melaka dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Kenyataan Mohamad Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas juga menyifatkan Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya, yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950, sebagai wira atas alasan mangsa yang terbunuh adalah polis penjajah British. Beliau berkata, Pas sebelum ini memperjuangkan negara Islam, namun kemudian menggugurkannya, dan tindakan sama turut dilakukan berhubung hukum hudud. “Rakyat harus tahu perjuangan sebenar Pas kerana kalau tidak, rakyat akan tertipu sepanjang masa,” katanya. – Bernama
Sumber : Utusan Online, 07/09/2011
Polemik Tragedi Bukit Kepong – Kembalilah Kepada Agenda Islam
Mat Sabu terus diserang dalam polemik Bukit Kepong. Segala jenis media UMNO terus dipergunakan untuk memainkan isu ini untuk meraih populariti di hati rakyat dengan berlagak sebagai hero. Namun begitu, sejauh manapun isu ini terus dipermainkan, ia langsung tidak memberi kebaikan kepada umat Islam. Dalam tragedi Bukit Kepong, balai polis telah diserang oleh puak komunis. Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh disangkal. Tapi, mengapa dalam keghairahan para pemerintah memaki hamun puak komunis, dalam masa yang sama mereka terus menatang ideologi kapitalis yang diwarisi dari penjajah? Apakah ideologi kapitalis itu mulia dan ideologi komunis itu hina dan berbahaya?
Dalam tragedi Bukit Kepong, kita dapati dua pihak yang bertelagah, iaitu polis di pihak British (kapitalis) bertembung dengan Parti Komunis Malaya. Pertembungan dua ideologi ini merupakan suatu yang alami kerana hakikatnya, dua ideologi ini bertentangan di antara satu sama lain. Yang jelas, kapitalis mahupun komunis, kedua-duanya merupakan malapetaka bagi umat Islam. Ini kerana, ideologi yang lahir daripada akal manusia ini adalah penuh dengan kerosakan dan kehancuran. Malahan, kehancuran dunia yang boleh kita lihat pada masa ini adalah kesan daripada penerapan kedua- dua ideologi ini di dalam kehidupan umat. Yang pasti, pihak yang diserang, mahupun pihak yang menyerang, kedua- duanya tidak membawa agenda Islam. Lebih keji lagi, sekiranya segala polemik ini sengaja dipermainkan untuk meraih undi pilihanraya.
Wahai kaum Muslimin! Janganlah kalian tertipu dengan permainan pemerintah yang berhati busuk! Bagi mereka yang menyatakan mereka adalah pejuang Islam, kembalilah ke pangkal jalan. Usahlah sejarah hitam itu pula yang menjadi sandaran, tetapi jadikanlah perjuangan Rasulullah sebagai ikutan. Perjuangan Rasulullah menentang kaum musyrikin serta membawa sinar Islam ke seluruh jazirah Arab sepatutnya menjadi ikutan, tauladan serta perjuangan. Jadikanlah pejuangan Rasulullah membawa agenda Islam sebagai suri tauladan, dan bukannya perjuangan menatang ideologi kapitalis, mahupun komunis sebagai ikutan. Wallahu a’lam.