Poligami (Bahagian 2) – Tiada Penetapan ‘Illat Atau Syarat Mengenai Kebolehan Berpoligami
Penulis: Farisha Aris
Perbezaan antara Penetapan ‘Illat Hukum dengan Penjelasan Fakta
Berdasarkan kajian pada sumber-sumber yang berkaitan, termasuk pemahaman secara bahasa dan syariat, jelas bahawa Allah SWT telah membenarkan poligami secara umum tanpa ada pembatasan (qayd) atau syarat. Nas-nas yang berkaitan dengannya tidak mengandungi ‘illat apa pun. Allah SWT menjelaskannya dengan ungkapan yang menunjukkan penafian terhadap usaha menetapkan ‘illat. Allah SWT berfirman: “…wanita-wanita yang kamu senangi” [TMQ an-Nisâ’ (4): 3].
Oleh itu, kita perlu merujuk sepenuhnya pada batasan hukum syariat yang diperoleh daripada nas-nas tersebut. Kita tidak boleh menetapkan ‘illat untuk hukum ini dengan sebarang ‘illat. Sebenarnya, ‘illat hukum mesti berdasarkan ‘illat syar’iyyah di mana terdapat nas yang menyatakan ‘illat tersebut sehingga hukum yang diperoleh menggunakan ‘illat itu dianggap sebagai hukum syariat. Jika kita mengambil contoh dari nas yang telah disebut di atas, tidak ada ‘illat hukum yang dinyatakan dan tidak ada nas yang menyebut ‘illat untuk hukum itu. Jadi, jelas bahawa tidak boleh sama sekali menetapkan ‘illat untuk hukum kebolehan berpoligami. Hal ini disebabkan tidak ada ‘illat dalam seruan Allah SWT untuk hukum tersebut. Selain itu, tidak ada ‘illat apa pun yang memiliki nilai dalam proses menetapkan suatu hukum sebagai hukum syariat kecuali jika ‘illat itu memang disebut dalam seruan Allah SWT.
Walaupun telah dijelaskan bahawa tidak boleh mencari atau menetapkan ‘illat hukum syariat, tetapi boleh menjelaskan fakta yang berlaku, contohnya implikasi daripada hukum syariat tersebut dan fakta masalah yang diselesaikan. Walaupun begitu, penting untuk difahami bahawa ini hanya merupakan penjelasan fakta bukan penetapan ‘illat untuk hukum. Sebab terdapat perbezaan antara penjelasan fakta dan penetapan ‘illat hukum. Penetapan ‘illat hukum dengan ‘illat tertentu memerlukan kehadiran ‘illat itu secara konsisten dan setiap hukum lain yang memiliki ‘illat itu boleh dijadikan analogi (qiyas) dengan hukum yang berkenaan. Sebaliknya, penjelasan fakta adalah penjelasan mengenai apa yang mesti berlaku berdasarkan fakta itu. Apa yang semestinya berlaku tidak ada secara konsisten dalam fakta itu dan hal lain tidak boleh dijadikan analogi (qiyas) dengan fakta itu.
Poligami adalah Penyelesaian bagi Masalah yang Timbul dalam Masyarakat Manusia
Berdasarkan pencerahan di atas, poligami memiliki implikasi dalam masyarakat, contohnya adalah amalan memiliki wanita simpanan oleh lelaki dalam masyarakat yang melarang poligami berbanding masyarakat yang memperakuinya di mana tidak akan ditemui ramai wanita simpanan. Selain itu, poligami ternyata dapat mengatasi pelbagai masalah yang timbul dalam masyarakat manusia, antaranya:
1. Terdapat segelintir lelaki yang mempunyai dorongan seksual yang tinggi sehingga tidak dapat puas dengan seorang isteri. Oleh itu, kecenderungan lelaki seperti ini memungkinkan mereka untuk melakukan perkahwinan yang kedua, ketiga, dan keempat. Jika peluang untuk berpoligami tidak ada, maka akan timbul berbagai kerosakan (dharar), seperti penyebaran perzinaan di tengah masyarakat. Selain itu, akan timbul pelbagai prasangka dan kecurigaan di antara anggota masyarakat. Oleh itu, alternatif bagi mereka adalah memenuhi keperluan seksual mereka yang tinggi dengan cara yang halal seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
2. Adakalanya terdapat wanita (isteri) yang mandul dan tidak boleh memiliki anak. Namun, suami dan isteri tersebut masih ingin mempertahankan perkahwinan mereka. Namun, suami memiliki keinginan untuk memiliki keturunan. Dalam situasi ini, keinginan suami untuk merasai peranan ayah, yang merupakan sebahagian dari naluri gharîzah an-naw’, akan terhambat. Oleh itu, suami dalam situasi ini perlu diberi peluang yang terbuka untuk menikahi wanita lain demi mendapatkan keturunan yang diinginkannya.
3. Terkadang, terdapat isteri yang sakit dan tidak boleh melakukan hubungan suami isteri atau mengurus rumah tangga termasuk suami dan anak-anaknya. Namun, suami enggan menceraikan isterinya kerana sangat mencintainya. Tetapi suami merasa tidak sanggup lagi hidup bersama isterinya yang sedang sakit tanpa adanya isteri lain. Oleh itu, suami seharusnya diberi peluang untuk menikahi lebih dari satu isteri.
4. Selain itu, terkadang terjadi perang atau pergolakan fizikal yang mengakibatkan banyak kematian lelaki. Akibatnya, tidak ada keseimbangan antara jumlah lelaki dan wanita. Jika lelaki tidak diizinkan menikahi lebih dari satu wanita, apa yang akan terjadi pada sejumlah besar wanita tersebut? Mereka akan hidup tanpa dapat merasakan kebahagiaan hidup berkeluarga dan ketenangan hidup sebagai suami isteri. Selain itu, keadaan seperti ini dapat membahayakan nilai-nilai akhlak kerana munculnya dorongan seksual yang tidak dapat dibendung.
5. Seringkali, terjadi ketidakseimbangan jumlah kelahiran antara lelaki dan perempuan di kelompok masyarakat, bangsa atau wilayah tertentu. Kadang-kadang jumlah perempuan lebih banyak daripada jumlah lelaki. Akibatnya, tidak ada keseimbangan antara populasi lelaki dan populasi perempuan. Realiti seperti ini hampir terjadi pada sebahagian besar bangsa dan umat di dunia. Dalam situasi seperti ini, tidak ada penyelesaian untuk mengatasi masalah ini selain dengan memperbolehkan poligami.
Inilah beberapa masalah yang terjadi dalam masyarakat dan menimpa pelbagai bangsa atau umat. Jika poligami dilarang, masalah-masalah ini akan tetap ada tanpa penyelesaian. Hal ini kerana tidak ada penyelesaian bagi masalah-masalah ini selain dengan poligami. Oleh itu, poligami mesti dibenarkan supaya masalah yang dihadapi oleh manusia dapat diatasi.