Polis mahu ikut jejak Abu Jahal, Abu Lahab?

altPKS bidas polis mahu pantau ceramah agama

JAKARTA 24 Ogos – Parti Keadilan Sejahtera (PKS) membidas keputusan polis untuk meningkatkan pengawasan terhadap kegiatan dakwah dan ceramah agama.

Jurucakap PKS, Mutammimul Ula memberi amaran, tindakan polis tersebut boleh menjadi punca ketegangan baru antara umat Islam dengan kerajaan Indonesia.

“Kita tidak boleh menjadi sebuah negara polis kerana ini sama bahayanya seperti sebuah negara yang diperintah oleh tentera,” tegas Mutammimul, lapor agensi berita Antara semalam.

Beliau yang menganggotai Suruhanjaya I Dewan Perwakilan berkata, pendirian partinya berhubung isu tersebut adalah jelas iaitu menentang keputusan berkenaan.

“Seperti yang saya katakan tadi, keputusan itu akan menimbulkan ketegangan baru antara umat Islam dengan kerajaan dan dalam kes ini masyarakat Islam akan menjadi pihak yang disyaki,” katanya.

Menyentuh tentang ungkapan yang digunakan sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar itu seperti ‘dakwah yang bersifat provokasi dan menyalahi undang-undang’, Mutammimul berkata, ungkapan sedemikian boleh digunakan untuk tujuan politik dan ditafsirkan secara longgar.

Beliau berpendapat polis tidak sepatutnya panik dalam berdepan dengan pengganas yang bilangan mereka sebenarnya sangat kecil.

“Polis tidak boleh menumpukan perhatian mereka terhadap kelompok majoriti dalam menangani bilangan pengganas yang sangat kecil. Langkah ini akan memerlukan banyak tenaga,” katanya.

Mutammimul berkata, polis juga memikul tugas untuk menghapuskan jenayah lain selain keganasan seperti penyalahgunaan dadah yang mendatangkan banyak kerosakan kepada masyarakat.

Beliau menyeru pasukan polis supaya bersikap bijaksana dan rasional.

“Jangan biarkan negara demokrasi bertukar menjadi sebuah negara polis. Ini sama bahayanya seperti negara tentera,” tegas beliau. – Agensi

Sumber: Utusan Malaysia 25/08/09

Ulasan:

Polis mahu ikut jejak Abu Jahal, Abu Lahab?

Nampaknya polis Indonesia telah mula mengikut jejak polis Malaysia. Pihak polis kini dikatakan mahu memantau ceramah dan kelas-kelas agama yang diadakan. Kalau di Malaysia, perangai polis cawangan khas (SB) memantau ceramah dan kelas-kelas agama sudah menjadi hal yang ’maklum min ad-deen bi dharurah’. Siapa tidak tahu yang Malaysia adalah sebuah negara polis? Siapa tidak tahu yang SB-SB sering menyelinap ke setiap ceramah agama yang diadakan baik di masjid mahupun di surau, malah di mana-mana sekalipun. Mereka sanggup berbohong dan berdusta dengan pelbagai pembohongan di ceramah-ceramah agama yang mereka hadiri untuk mengelak dari identiti mereka terdedah. Berapa ramai dari kalangan pendakwah yang ikhlas yang menyampaikan ceramah agama sudah bosan dengan perangai SB-SB yang mereka sifatkan sebagai amat hina ini.

Apa tidak hina, di saat kadar jenayah meningkat naik dari masa ke semasa, SB-SB ini masih tetap memfokuskan perhatian mereka kepada penceramah-ceramah agama. Mereka (SB) menjadi golongan yang menghalang agama Allah dari ditegakkan. Inilah yang menjadi kebencian pendakwah, dan juga umat Islam terhadap SB-SB.

Jika di zaman Rasulullah dahulu, Abu Jahal dan Abu Lahab adalah orang yang sering mengikuti majlis Rasulullah untuk memastikan agama Allah tidak tersebar, kini perangai tersebut nampaknya diwarisi pula oleh polis-polis dari cawangan khas. Bilalah agaknya mereka akan bertaubat dari dosa-dosa mereka ini? Atas alasan ‘ini adalah arahan dari atas’ mereka (SB) menyangka bahawa dosa mereka akan ditanggung oleh orang atasan mereka, walhal merekalah yang akan menanggungnya sendiri. Malah di padang Mahsyar nanti, orang atasan mereka akan berlepas diri dari mereka. Dan jadilah mereka dan orang atasan mereka sebagai golongan yang amat menyesal yang tiada gunanya lagi. Firman Allah SWT,

”…dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. orang-orang Yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): “Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman”. Orang-orang yang sombong takbur (ketuanya) itu menjawab kepada orang-orang (pengikutnya) yang ditindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah (petunjuk) sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan Kami Yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”. Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur (ketuanya) itu: “Tidak! bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu baginya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab;  [TMQ Saba’ (34):31-33]

FirmanNya yang lain,

“Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka Adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? ” Mereka (pemimpin) menjawab: “Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)”. [TMQ Ibrahim (14):21]

Semoga polis-polis yang taat membabi buta kepada ketua mereka dan memaksiati Allah akan segera bertaubat dari dosa-dosa mereka, dan mereka berubah menjadi orang-orang yang memperjuangkan agama Allah. Jika tidak, maka kepada Allahlah kita serahkan segala urusan di mana Dia Maha Berkuasa untuk membalas segala perbuatan SB-SB ini.