Politik berteraskan demokrasi punca lahirnya amalan politik kebencian

Berita:

PEKAN 7 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara ini tidak memerlukan pemimpin yang mengamalkan politik kebencian atau sering menghamburkan kata-kata kesat kerana amalan sedemikian tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat. Perdana Menteri berkata, apa yang diperlukan adalah politik yang menjaga hak dan kebajikan rakyat serta kepentingan negara secara keseluruhan seperti dinikmati di bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Berita penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tolak-politik-kebencian-1.586420


Komentar:

Adakah amalan politik sekarang dalam kalangan pemimpin-pemimpin, parti politik, ahli dan penyokong baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, benar-benar terlepas daripada sikap dan amalan politik kebencian? Rakyat dan masyarakat sepatutnya boleh melihat dan sedar akan perkara ini. Apatah lagi, dalam keadaan musim pilihanraya semakin mendekati kita, apa sahaja akan dilakukan oleh parti-parti politik yang bertanding untuk memastikan survival politik masing-masing dapat diteruskan. Persoalannya, benarkah parti-parti politik yang ada ketika ini terutamanya pihak kerajaan benar-benar terlepas daripada unsur-unsur politik sebegini?

Umum mengetahui, perbuatan fitnah memfitnah, saling mengaibkan antara satu sama lain sentiasa mewarnai pentas politik tanah air. Malah, ketika musim pilihanraya yang lalu seperti PRU13, saban hari rakyat telah dihidangkan dalam akhbar, berita elektronik mahupun di internet berkenaan kempen-kempen politik yang penuh dengan caci maki, kebencian dan penghinaan daripada ahli politik kerana keghairahan mereka untuk berkuasa menjatuhkan pihak lawan. Malangnya, perbuatan ini diikuti pula oleh golongan akar umbi masing-masing yang saling serang menyerang sesama mereka termasuk di media-media sosial, yang melambangkan perpecahan ketara dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam oleh kerana mempertahankan parti politik masing-masing.

Jika diteliti dengan secara mendalam, inilah antara bahana yang  berlaku akibat mengamalkan dan melaksanakan sistem politik yang berteraskan demokrasi. Sistem politik demokrasi yang lahir daripada ideologi kapitalisme/sekularisme ini, telah menyebabkan masyarakat menjadikan manfaat sebagai asas dalam melakukan sesuatu perkara termasuklah dalam urusan politik. Oleh sebab itu, maka lahirlah konsep matlamat menghalalkan cara yang akhirnya membuat kebanyakan manusia melihat politik itu sesuatu yang penuh dengan keburukan dan kekejian.

Sedangkan dalam Islam, sistem politik ialah suatu urusan yang tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Islam dan perlu dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ketentuan al-Quran dan as-Sunnah. Dengan kata lain, tidak ada pemisahan antara Islam dan politik. Politik dalam Islam hakikatnya ialah “mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Sesungguhnya Islam amat mementingkan kesatuan dan penyatuan persaudaraan sesama umat Islam, bukannya politik pemecah belah seperti yang diamalkan sekarang.

Allah SWT berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” [TMQ Ali Imran (3):103]

Wallahua’lam.

Zulfadli