Politikkanlah isu banjir
Antara ungkapan biasa daripada pemerintah tatkala berlaku sesuatu isu yang boleh mencalar imej mereka ialah “jangan politikkan isu ini”. Isu bencana alam tidak terkecuali dari hal ini. Dulu, semasa isu tsunami pun kita terdengar ungkapan ini. Semasa tanah runtuh, semasa banjir kilat, semasa Lahad Datu “diserang”, semasa rakyat protes penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik, semasa stadium runtuh dan lain-lain, pendek kata semuanya “jangan dipolitikkan”.
Selain hal di atas, kita biasa mendengar orang politik berkata, jangan politikkan isu agama, jangan politikkan isu Bible, jangan politikkan isu kerajaan campuran, jangan politikkan isu perdana menteri buat lawatan peribadi ke luar negeri dan banyak lagi. Pendek kata, jangan politikkan semua isu hatta isu politik sekalipun jangan dipolitikkan!!!
Bukan sekadar pemerintah, malah pembangkang dan sebahagian dari umat Islam juga turut mengeluarkan ungkapan yang sama. Justeru, tidak hairanlah isu banjir besar yang melanda Kelantan dan dua lagi negeri di Pantai Timur ini pun turut menerima “wabak politik” yang sama – “jangan politikkan isu ini”. Menariknya semasa banjir kali ini, kita juga turut mendengar kisah agar tidak mempolitikkan isu pembelian bas dua alam “amphicoach” oleh Menteri Besar Terengganu.
Pemerintah yang zalim sudah tentu mahu menutup mulut rakyat dan menyembunyikan kezaliman mereka. Apabila rakyat bercakap tentang keburukan kerajaan dalam mengurus hal-ehwal rakyat, maka terserlahlah segala kurap dan panau kerajaan. Ini membahayakan kerajaan kerana tiada siapa yang inginkan kerajaan yang dipenuhi segala kudis dan bisul. Ini dari satu sisi.
Di sisi yang lain, banyak pihak yang berpandangan bahawa politik adalah sesuatu yang kotor. Manakala hal-hal lain yang tidak kotor atau tidak ada kena-mengena tidak seharusnya dicampur dengan politik. Jadi, timbullah ungkapan “jangan politikkan isu agama” kerana agama adalah suci dan politik adalah kotor. Jangan politikkan isu banjir kerana banjir adalah bencana alam dan tidak ada kena mengena dengan politik dan begitulah seterusnya.
Hal ini terjadi hasil dari ketidakfahaman atau kesalahfahaman maksud “politik” oleh orang yang mengungkapkannya. “Politik” (atau dalam bahasa Arab “siyasah”) bermaksud r’iayah al-shu’un al-ummah (menguruskan urusan umat). Ia bermaksud bagaimana urusan rakyat itu diuruskan oleh pemerintah (atas ke bawah) dan bagaimana rakyat memuhasabah pemerintah (bawah ke atas), dalam aspek pengurusan, baik dalam mahupun luar negeri.
Jadi, persoalan baik atau buruknya pengurusan pemerintah terhadap rakyatnya adalah urusan politik, tidak kira dalam bidang pemerintahan, pendidikan, pergaulan, ekonomi, bencana alam dan lain-lain, semuanya adalah urusan politik. Begitu juga dengan penerapan hukum untuk mengatur rakyat, apakah rakyat diatur dengan hukum Islam atau diatur dengan hukum demokrasi, semua ini adalah politik.
Justeru, buruknya ri’ayah (pengurusan) kerajaan dalam isu banjir ini mencerminkan buruknya politik yang diamalkan oleh pemerintah! Dan kerajaan akan bertanggungjawab dan dihisab oleh Allah di atas keburukan ini. Manakala rakyat, baik secara individu mahupun gerakan, wajib memuhasabah kerajaan di atas keburukan dan kemaksiatan yang dilakukan kerajaan ini.
Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa isu banjir dan apa jua isu yang melibatkan pengurusan/pengaturan negara ke atas rakyatnya adalah isu politik. Maka poltikkanlah isu banjir ini dan apa sahaja isu sebagai salah satu usaha amar makruf nahi mungkar yang dituntut oleh Islam. Dalam masa yang sama, sedarlah bahawa kerajaan yang mengabaikan dan menzalimi rakyat ini perlu diganti dengan pemerintah yang menjaga rakyat dan mengatur rakyatnya menurut hukum Allah yakni pemerintahan Khilafah ala minhaj nubuwwah.