PRK Permatang Pauh, parti Islam terbelit atau berbelit?
Sungguh sedih menyaksikan umat Islam terus bergelumang dengan demokrasi walaupun kekotoran dan kekufuran yang dibawa oleh sistem buatan manusia itu sudah terang lagi bersuluh. Harapan demi harapan yang diletakkan oleh parti Islam dengan pelbagai alasan dan nas yang digunakan untuk “menghalalkan” perbuatan mereka demi mencapai kemenangan dalam sistem demokrasi buatan kuffar Barat ini, sesungguhnya semakin rapuh dan berpusing-pusing tanpa arah.
Jika dulu hujahnya adalah kita perlu masuk pilihan raya dan demokrasi bagi memastikan Islam menang dan memerintah. Kita perlu masuk pilihan raya agar tidak memberi kemenangan mudah kepada puak sekular dan kafir. Kita perlu masuk pilihan raya agar negara ini tidak diperintah oleh golongan sekular dan kafir dan bermacam-macam lagi.
Kemudian, setelah terjadinya tahaluf, siapakah yang menyokong dan mengundi orang-orang (calon) kafir daripada parti kafir? Siapakah yang mengundi calon daripada parti sekular? Siapakah yang berjuang bermati-matian memberikan undi dan kemenangan kepada calon kafir dan sekular?
Kemudian jawapannya dipusing lagi. Lebih baik kita mengundi orang kafir dan sekular yang menyokong kita, berbanding dengan orang Islam yang tidak menyokong kita.
Kemudian ternyata orang-orang yang diundi daripada parti kafir dan sekular tidak menyokong Islam, khususnya usaha-usaha untuk menerapkan hudud. Malah mereka menentang penerapan hudud habis-habisan dan secara terang-terangan. Maka akhirnya jawapannya adalah tidak mengapa, kita tetap boleh menyokong dan mengundi mereka asalkan kita tidak menggadai prinsip, kita bersetuju untuk tidak bersetuju, yang penting kita kalahkan parti pemerintah…dan macam-macam alasan lagi.
Ahli-ahli parti yang ikhlas dan sayangkan Islam telah lama bersungut, namun persoalan wala’ (kesetiaan) mengikat mereka dengan cukup kuat. Biasalah tak sependapat dengan pemimpin tetapi wala’ mesti dijaga, kata mereka. Kalau kita berpendapat haram mengundi calon kafir dan sekular yang menolak hudud, namun apabila pemimpin mengarahkan kita berbuat demikian, maka wala’ kepada pemimpin mesti diutamakan. Ini pendapat ahli parti yang sayangkan Islam dan dalam masa yang sama sayangkan pemimpin. Sungguh sayang, kerana mereka gagal memahami di antara hukum syarak dan arahan pemimpin, yang mana wajib diikuti.
Inilah konflik terbuka yang dapat kita saksikan di Permatang Pauh, tanpa kita perlu pergi lebih jauh dengan konflik dalaman yang berlaku dalam parti-parti yang bertanding. Kita sebagai pemerhati cukuplah sekadar melihat bagaimana parti Islam terus berubah pendapat dan pendirian, lepas satu, satu, manakala parti kafir dan sekular terus teguh dengan pendapat dan pendirian masing-masing. Sungguh sedih melihat keadaan ini, apatah lagi memikirkan para anggota parti Islam yang ikhlas berjuang untuk memenangkan Islam, tetapi telah tersasar dari landasan semata-mata kerana berpegang kepada wala’, lebih kuat daripada berpegang kepada hukum syarak.
Jika dulu kita merasa yang parti Islam yang bertanding dalam pilihan raya sebenarnya telah terbelit, kini kita melihat mereka sebenarnya berbelit-belit. Bukan kita sahaja yang merasakan demikian, malah ahli parti Islam itu sendiri merasakan hal yang sama dengan lebih kuat lagi. Namun sekali lagi, persoalan wala’ mengikat mereka, walhal wala’ itu boleh dicabut apabila bertentangan dengan syarak.
Apa pun, kita sentiasa mendoakan agar para anggota parti Islam yang masih ada keikhlasan, agar diberi petunjuk dan kefahaman yang benar oleh Allah SWT, agar mereka memperjuangkan agama Allah ini sesuai dengan jalan yang Allah perintahkan, bukannya mengikut “perintah” Lord Reid yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita sentiasa mendoakan agar mereka keluar daripada keburukan, kerosakan dan penipuan pilihan raya dan demokrasi ini, menuju kepada perjuangan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ameen ya Rabbal Alamin.