Projek make-up sang Kapitalis
“Ini adalah langkah untuk memperkasakan pendidikan sedia ada dan dijangka program ini dapat diperluaskan ke peringkat sekolah menengah suatu hari nanti,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Khatam al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ketiga di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas di sini semalam. Di samping peningkatan jumlah guru j-Qaf dari 3,567 pada 2005 kepada 13,470 guru, tahun ini ia juga mensasarkan supaya lebih ramai generasi muda celik al-Quran terutama pelajar peringkat rendah. Sejumlah belanjawan yang cukup besar untuk program itu iaitu RM146.2 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
RM146.2 juta untuk projek celik al-Quran memanglah satu jumlah yang begitu besar. Namun siapa yang akan cek sama ada jumlah tersebut benar-benar akan digunakan untuk projek tersebut atau hanya sebahagian kecil sahaja, manakala bahagian yang besarnya akan mengalir ke lain? Hanya Allah, Hishamuddin dan mereka yang terlibat sahaja akan mengetahui.
Baguslah dengan adanya projek seumpama ini, cuma yang tak kenanya adalah projek ini hanya ditumpukan untuk melahirkan pelajar yang celik al-Quran. Dapat membaca al-Quran adalah satu hal, mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah satu hal lagi. Tidak ada guna melahirkan insan yang pandai membaca al-Quran, namun meninggalkan isi/ajarannya. Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan sebagai panduan hidup bagi seluruh umat manusia. Ramai cerdik pandai Al-Quran yang ada di dunia termasuk di Malaysia memahami hal ini, namun berapa ramaikah generasi yang lahir dari projek ini yang akan berjuang untuk menerapkan hukum-hukum al-Quran? Kemungkinan tidak seorang pun, kerana fokus projek adalah hanya mencelikkan pelajar kepada ‘pembacaan’, bukannya kepada penerapan terhadap apa yang dibaca. Justeru, dengan projek sebesar ini, nampaknya kalam hanya tinggal kalam. Kenapa? Kerana inilah yang dimahukan oleh ‘pengarah’ projek. Pengarah projek bukannya ingin melahirkan insan yang mengamalkan syariat yang ada di dalam al-Quran, ia cuma ingin melahirkan insan yang sekadar boleh mengenal huruf dan membaca al-Quran.
Siapa tidak tahu bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah bertunjangkan sekular. Kata-kata Hishamuddin untuk ‘memperkasa pendidikan sedia ada’ adalah bermaksud mengukuhkan lagi pendidikan sekular yang segar berjalan!
Projek j-Qaf hanyalah ‘make-up’ untuk mencantikkan sekularisme yang sememangnya hodoh dan buruk. Ia hanya dijadikan projek agar anak-anak kaum Muslimin tahu membaca dan mungkin mendapat sedikit pemahaman, namun tidak boleh sama sekali melaksanakan apa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan sekularisme itu sendiri.
Lihat saja betapa banyak masalah kehidupan di sekeliling kita yang menimbulkan huru-hara yang tidak pernah diselesaikan dengan Al-Quran, walhal kita mempunyai berapa ramai golongan tahfiz dan celik Al-Quran?
Al-Quran juga hanya dibaca oleh para pemimpin (yang tahu membaca) apabila ada majlis bacaan yassin, tahlil dan seumpamanya, itupun sekiranya ada lensa kamera yang fokus terhadap mereka. Di masa selainnya, Al-Quran tinggal sebagai kitab suci yang disimpan rapi dalam rak khas, tanpa pernah golongan pemerintah ini melaksanakan isinya. Inilah realiti pemerintah yang kononnya ingin memartabatkan Al-Quran, walhal tidak pernah memikul tanggungjawab yang Allah taklifkan ke atas mereka di dalam al-Quran. Firman Alah swt,
“Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang dipikulkan ke atas mereka (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul bebanan kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Begitulah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” [TMQ Al-Jumu’ah (62):5]