Kerajaan Kapitalis: Pendidikan adalah perniagaan

pendidikan-kapitalisSebanyak RM240 juta dianggarkan dapat dijimatkan setahun apabila kerajaan membatalkan 744 biasiswa kepada pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Itulah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat sambil mengesahkan jumlah pelajar yang kini sedang menuntut di luar negara di bawah tanggungan kerajaan adalah seramai 7,736 orang.

Alasan penjimatan tu baguslah, tetapi persoalannya kenapa rakyat yang sering menjadi mangsa? Kenapa pak-pak menteri dan ahli-ahli Parlimen dinaikkan gaji berganda-ganda? Kenapa perbelanjaan perdana menteri dan isteri ke luar negara mencecah hingga jutaan ringgit? Itu belum mengambil kira pembelian jet peribadi dan lain-lain pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan, tak timbul pula isu penjimatan!

Begitulah sifat kerajaan Kapitalis. Apa yang mereka pentingkan hanyalah keuntungan dan manfaat untuk diri sendiri dan mereka tidak ada perasaan bersalah, malu mahupun maruah sedikit pun untuk menindas dan menghisap darah rakyat demi menjaga perut mereka.

Di saat rakyat menderita akibat tindakan mereka dan di saat rakyat disuruh berjimat cermat, kehidupan pak-pak menteri tetap diselimuti kemewahan yang luar biasa. Malah di saat ekonomi sesebuah negara sedang runtuh sekalipun, ekonomi pak-pak menteri tetap utuh. Inilah perbezaan di antara rakyat dan pemerintah dalam sebuah negara Kapitalis.

Setiap komplen, keluhan dan rintihan rakyat tak pernah dipedulikan. Selagi rakyat ada walau 10 sen di dalam poket, selagi itulah pemerintah Kapitalis ini akan berikhtiar untuk mengambilnya. Bukan sekadar merampas setiap ringgit dan sen yang ada pada rakyat, malah apa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka untuk disediakan kepada rakyat, mereka perdagangkan, seperti pendidikan, kesihatan, keamanan, air, elektrik, minyak, gas dan sebagainya. Pendek kata, jika udara ini boleh mereka ambil dan jual, nescaya mereka akan jual kepada rakyat!

Tahun lepas, mereka dengan bangganya mengumumkan kutipan GST sebanyak RM39 bilion, yang mereka berjaya rampas daripada rakyat. Jumlah tersebut melebihi RM12 bilion daripada sasaran asal sebanyak RM27 bilion. Itu pun mereka masih belum puas dan mereka ingin memberhentikan lagi biasiswa kepada seramai 744 pelajar ke luar negara atas alasan mereka dapatkan jimatkan (baca: kaut) sebanyak RM240 juta.

Memanglah tidak mengapa jika kerajaan menarik balik biasiswa ke luar negara, tetapi tetap memberikan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam negara. Tetapi semua itu hendaklah dilakukan dalam rangka tanggungjawab mengatur dan menjaga rakyat, bukannya dalam rangka berdagang dengan rakyat sehingga menyekat hak rakyat untuk mendapat pendidikan dan dalam masa yang sama mereka memasukkan segala keuntungan ke dalam poket mereka.

Islam sebagai sebuah ideologi yang sempurna telah meletakkan “taklif” (bebanan) ke atas pemerintah untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Malangnya, dengan penerapan sistem kapitalisme, sifir yang mudah untuk difahami ialah, jika rakyat ingin pandai (mendapat pendidikan), maka rakyat mesti membayarnya, kerana dalam sistem kufur ini, pendidikan (dan lain-lain) adalah sebuah perniagaan!

Semoga rakyat, khususnya golongan pelajar dan ibubapa, menyedari hakikat ini dan bukan sahaja sedar, malah berjuang untuk menghapuskan sistem ini dan menggantikannya dengan sistem Islam yang merupakan rahmatan lil alamin.