PTPTN – Masalah Pendidikan Sekular

altPTPTN: 26,000 dilarang ke luar negara

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Satu senarai mengandungi lebih 26,000 nama peminjam degil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mereka ke luar negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, mereka bukan sahaja tidak membayar balik pinjaman lebih daripada lima tahun malah tidak mengendahkan surat peringatan PTPTN.

“Peminjam degil ini sudah bekerja sama ada di dalam mahu pun di luar negara tetapi enggan menjelaskan pinjaman.

“Saya ingin memberi amaran bahawa mereka akan mengalami masalah semasa mahu balik ke Malaysia atau semasa mahu ke luar negara jika pinjaman tidak dijelaskan,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 2/10/09

PTPTN – Riba Yang Menyusahkan

Membicarakan tentang PTPTN, kita akan terfokus dengan 2 perkara. Pertama, hukum bunga yang jelas keharamannya di sisi Islam, yang dikenakan ke atas peminjam. Kedua, tanggungjawab pemerintah yang sepatutnya wajib menyediakan pendidikan secara percuma kepada warganegaranya baik Muslim mahupun yang non-Muslim (kafir dzimmi).

Seperti yang kita ketahui, sejak diwujudkannya PTPTN sehingga sekarang, isu ini tidak pernah lekang dari pelbagai permasalahan dan polemik. Bermula dari kadar bunga yang sering diputar belit dengan justifikasi upah oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) sehinggalah masalah pembayaran oleh para peminjam. Isu ini nampaknya tidak akan kunjung selesai. Mengapa sampai jadi begini?

Sebab utama isu ini terus diperbincangkan dan tidak akan pernah sirna adalah kerana Islam tidak pernah dijadikan rujukan dengan sebenar-benarnya dalam masalah ini. Halal dan haram sering dipermainkan oleh kelompok-kelompok sekular dan para ulama’ yang sering membuat penafsiran yang keliru ke atas ayat-ayat Allah. Jadi, tidak hairanlah jika ramai peminjam yang mengambil pinjaman PTPTN menggunakan hujah kelompok yang tidak bertanggungjawab ini sedangkan adalah jelas pinjaman seperti ini merupakan transaksi yang haram kerana ia mengandungi unsur riba. Walhasil, para peminjam akan terhimpit dengan kadar bunga yang dikenakan manakala di satu sisi lain pula si penghutang (PTPTN) mengalami kerugian kerana wang yang telah dipinjamkannya (baca: diniagakan) tidak dikembalikan oleh sejumlah para peminjam. Dan lebih berat adalah dosa yang perlu ditanggung oleh peminjam dan yang meminjamkan wang kerana terlibat dengan transasksi yang haram.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, seharusnya kita kembalikan segala permasalahan hanya kepada Allah dan RasulNya. Pemerintah seharusnya sedar bahawa mereka wajib memberikan pendidikan yang percuma dan berkualiti kepada rakyatnya pada setiap peringkat. Kos utama pendidikan bagi warganegara adalah tanggungjawab negara kepada rakyatnya, bukan tanggungjawab ibubapa penuntut ilmu dan bukan pula harus datang dari duit kocek para penuntut ilmu. Di sisi lain, para penuntut ilmu yang ingin belajar haruslah sedar bahawa transaksi pinjaman PTPTN adalah jelas haram kerana mengandungi unsur riba, berdasarkan nas-nas yang qati’e.

Wahai kaum Muslimin, sesungguhnya transaksi PTPTN adalah transaksi yang jelas  haram. Masalah yang terus melanda kita, umat Islam khususnya, seperti masalah untuk mendapatkan dana pendidikan, adalah natijah diterapkannya sistem sekular, yang menganggap pendidikan sebagai cabang untuk mengaut keuntungan. Asas manfaat sistem kapitalis-sekular ini akan terus membiakkan masalah yang tidak akan pernah sirna bagi umat manusia!

Wahai umat Islam! Marilah kita bersegera menuju kemuliaan di sisi Allah SWT, dengan berusaha untuk menegakkan semula institusi Khilafah Islamiyyah yang akan menjamin kesejahteraan manusia dalam segala aspek. Bukankah itu yang kita harapkan sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini? Kita akan kembali kepada Allah kelak dengan bekal amalan yang telah kita kerjakan di dunia ini. Ayuhlah, sambut perjuangan yang mulia ini, dengan meninggalkan segala bentuk kekufuran dan kembali menegakkan kalimah Allah SWT.

Bacalah artikel yang berkaitan:

www.mykhilafah.com/dalam-negara/875-riba-ptptn-1-peratus-kadar-baru-bebankan-sejuta-pelajar-dengan-dosa

www.mykhilafah.com/fikih/856-caj-perkhidmatan-ptptn-halal-atau-haram

www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/306-sn108-pembiayaan-pendidikan–tanggungjawab-siapa