Rakan Sebaya : Jati Diri Dan Keperibadian Remaja Islam Kini Semakin Hilang

 
Natijah dari kehilangan Islam sebagai sebuah Sistem Pemerintahan yang diterapkan keatas umat manusia pada hari ini, semakin ketara terlihat didalam seluruh aspek kehidupan.  Kepincangan sistem sosial yang tidak berlandaskan Islam didalam kehidupan masyarakat dapat dirasai samada kita hidup di negara-negara yang dipimpin oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam.  Sudah tentunya, tiada yang lebih menyedihkan apabila kita terpaksa menyaksikan bagaimana hinanya anak-anak remaja kita dibesarkan didalam sistem Sekular Kapitalis yang penuh dengan kekufuran, malahan lebih buruk apabila sebahagian dari mereka seperti telah kehilangan nilai-nilai keperibadian Islam, tidak kurang juga yang terpesong pegangan akidahnya.
Apabila kita mengkaji apakah punca keruntuhan akhlak dan nilai-nilai keperibadian Islam para remaja masa kini, satu fakta ringkas namun mengerikan telah ditemui iaitu – pengaruh rakan sebaya disekeliling mereka. Oleh yang demikian, peranan remaja dalam memilih rakan-rakan mereka adalah amat penting dalam memastikan pemeliharaan syakhsiah dan jati diri keperibadian Islam.  Persahabatan yang dijalin dengan rakan-rakan yang sentiasa menjaga keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap Allah SWT adalah prasyarat terbaik dalam memastikan para remaja akan tetap berpegang teguh dengan paksi ajaran Islam dan seterusnya sentiasa diredhai Allah SWT.

Walaupun kebanyakkan daripada kita, sebagai umat Islam akan sentiasa berikhtiar untuk mengekalkan dan memelihara identiti keperibadian Islam didalam keluarga masing-masing, namun kadangkala kita terlepas pandang tentang pergaulan anak remaja diluar rumah malah tatkala mereka menghadap skrin komputer untuk melayari internet.  Islam telah menyediakan satu pakej lengkap bagi setiap penganutnya untuk dijadikan sebagai panduan dalam melayari kehidupan bagi menempa kejayaan didunia dan akhirat.  Para remaja mestilah sentiasa terikat dengan hukum syarak dalam segala aspek kehidupan termasuklah dalam memilih rakan-rakan mereka.

Suasana kehidupan yang beriman
Memastikan suasana kehidupan sentiasa berada didalam suasana yang beriman adalah amat penting bagi seseorang Muslim, dalam rangka mengelakkan diri dari terpesong ke jalan yang salah.  Namun malangnya, suasana kehidupan bagi sebahagian besar para remaja Islam pada hari ini sangatlah mendukacitakan.  Perkara-perkara yang menjadi asas kepada perbincangan para remaja sentiasa berlegar tentang keseronokan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita serta menunjuk lagak diantara satu sama lain untuk berbangga dengan kehebatan mereka di mata dunia.  Situasi sebegini sudah pasti hanya akan menaikkan nafsu manusia sama ada dari segi seksual mahupun kebendaan duniawi yang seterusnya akan menjauhkan mereka dari ajaran Islam yang sebenar.

Diriwayatkan drpd Abu Musa Radhiallahu Anhu katanya:
Daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok.”  [HR Bukhari & Muslim]

Islam amat menitikberatkan peri pentingnya pengaruh rakan-rakan terhadap seseorang mukmin dalam
menentukan pengukuhan hubungan antara manusia dengan Allah SWT serta menuruti segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Rasullullah SAW bersabda “Seseorang itu mengikuti Deen (cara hidup) sahabat karibnya, oleh yang demikian berwaspadalah/ bersikap bijaksana dalam memilih sahabat.” [HR Tarmidzi]

Seorang Muslim mestilah memilih sahabat yang akan menasihati dan mengingatkan beliau untuk terikat dengan syariat Allah didalam kehidupan.  Sebaliknya, seorang muslim tidak sepatutnya memilih rakan dikalangan orang yang akan menyesatkan beliau dengan menuruti langkah-langkah syaitan.  Oleh yang demikian, pemilihan rakan daripada kalangan mereka yang bertakwa dan beriman terhadap Allah SWT adalah satu perkara yang sangat penting bagi seorang remaja Islam. Kasih-sayang yang terwujud di antara dua orang Muslim yang bersahabat itu akan menyebabkan mereka sentiasa saling nasihat-menasihati, tolong-menolong dimasa susah mahupun senang serta berusaha meningkatkan ketaatan dan komitmen mereka terhadap Deen Islam yang tercinta.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk menunjukkan kasih-sayang diantara satu sama lain sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari telah bersabda Rasulullah SAW:
  “Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka khabarkanlah bahawa dia mencintainya.”  [HR Bukhari]

Peranan Ibubapa
Ibubapa sebenarnya memainkan peranan yang penting sebahagiannya untuk memastikan anak-anak remaja mereka baik lelaki mahupun perempuan, berada didalam suasana kehidupan yang soleh. Ibubapa bertanggungjawab menentukan pergaulan dan siapakah rakan-rakan yang mengelilingi anak-anak mereka di luar rumah. Setiap ibubapa sepatutnya berusaha untuk mengenali dan mendekati anak-anak remaja mereka dengan melibatkan diri secara langsung didalam kehidupan anak-anak supaya kepercayaan penuh diletakkan oleh anak-anak ini terhadap ibubapa mereka.  Ibubapa juga harus menggalakkan anak-anak mereka untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar kurikulum yang sihat supaya anak-anak mereka boleh berjumpa dengan rakan sebaya yang soleh. Rakan-rakan yang seperti ini, sudah pasti akan sentiasa menanamkan benih-benih identiti Islam yang sebenar kedalam jiwa anak-anak remaja kita dan seterusnya dapat mengekalkan jatidiri seorang Muslim dalam bermasyarakat dan menjadi remaja muslim yang sejati.

Ibu-bapa juga mesti sentiasa berusaha untuk menggalakkan anak-anak berpegang teguh kepada syariat Islam serta menjadikan halal dan haram menurut syarak sebagai asas kepada setiap perbuatan didalam kehidupan mereka.  Ramai ibu-bapa yang melakukan kesilapan dengan menganggap dan menghadkan  tanggung-jawab mereka terhadap keluarga hanya sebagai pencari nafkah semata-mata.  Ini menyebabkan ramai anak-anak remaja merasakan seperti tidak dipedulikan oleh ibubapa dan lebih percaya pada ajakan songsang rakan-rakan sebaya mereka, seterusnya menyebabkan mereka ini akan lebih mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar.

Sifat-sifat Persahabatan dalam Islam
Islam telah memberikan definasi persahabatan yang amat berlainan daripada cara persahabatan Barat. Islam menyatakan bahawa persahabatan bukanlah atas dasar untuk mendapat keuntungan materi mahupun manfaat daripada satu sama lain tetapi persahabatan adalah atas dasar untuk menggapai kejayaan di akhirat dengan meraih keredhaan Allah di dunia ini. Konsep persahabatan sebegini amat penting didalam Islam dan Islam telah menggariskan panduan bagaimana untuk kita meraih dan mengekalkannya.

Cinta kerana Allah – maksudnya ialah kita mesti melakukan sesuatu perkara itu seperti menolong seseorang rakan hanya ikhlas kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaanNya walaupun ianya melanggar kehendak kita sendiri. Sabda Rasullullah SAW: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah dan orang yang tidak suka kembali kepada kekufuran , sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka”.  [HR Ahmad]

Pemurah dan Budiman – Islam menggalakkan kita bermurah hati antara satu sama lain. Bermurah hati boleh jadi dari segi harta, barang-barang materi ataupun masa, ilmu, nasihat dan senyuman. Ini akan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain. Malangnya, adalah sesuatu yang sukar bagi umat Islam yang terlalu terpengaruh dengan cara hidup Barat untuk memahami konsep ini. Mereka amat terpengaruh dengan konsep ala barat yang mementingkan diri sendiri(individualistik) dan tidak bertanggung-jawab terhadap orang lain.  Pemberian tanpa mengharapkan balasan ataupun manfaat, walaupun dikalangan sahabat sendiri adalah satu konsep yang amat asing di dalam pemahaman Barat.  Namun Islam menggalakkan kita untuk memberikan harta, tenaga atau masa kita tanpa mengharapkan apa-apa sekali pun selain daripada keredhaan dan kasih-sayang Allah. Dari Abi Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu anhu dari Nabi SAW sabdanya: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya.”  [HR Bukhari dan Muslim]

Memberi hadiah adalah suatu tabiat yang digalakkan oleh Rasullullah SAW dan baginda menyatakan bahawa ianya akan mengeratkan lagi hubungan di antara dua pihak.  Sabda Rasulullah SAW: “Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian saling mencintai.”  [HR al-Bukhari, al-Baihaqi, Abu Ya’la]

Berbudi-bahasa, tolong-menolong di antara satu sama lain dan bertolak-ansur
adalah ciri-ciri keperibadian Islam yang harus menjadi kebiasaan di kalangan umat Islam. Kita sepatutnya menjadi tempat mengadu dikala sedih dan juga tempat untuk berkongsi kegembiraan.   Apabila seseorang itu mendapat kebaikan dan berasa seronok, alangkah bahagianya jika dia dapat menyambut kegembiraannya itu dengan rakannya yang amat dikasihi.

Menyembunyikan keaiban rakan – adalah amat penting bagi kita menyembunyikan keaiban dan kesilapan  rakan-rakan kita.  Ini tidak bererti bahawa kita tidak mempedulikan mereka tetapi wajiblah kita memberikan nasihat yang baik di antara satu sama lain. Namun, jangan pula kita memaparkan kesilapan atau keburukan mereka kepada orang ramai. Ini akan memalukan mereka dan menyedihkan hati mereka. Rasulullah  SAW bersabda:
Sesiapa yang merungkaikan dari seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” [HR Muslim]
 
Larangan untuk mengumpat, cemburu, khianat dan dengki – persahabatan di antara Muslim adalah berlandaskan amanah dan kepercayaan. Seorang Muslim tidak boleh mengkhianati atau mengumpat rakannya.  Persahabatan Islam yang berlandaskan amanah dan saling hormat-menghormati akan merapat dan mengukuhkan lagi ikatan yang terjalin.  Manakala persahabatan cara Barat hanya akan mengakibatkan kegelisahan dan kecurigaan kerana seseorang itu akan sentiasa risau sama ada dia akan di khianati oleh sahabatnya ataupun sebaliknya. 

Firman Allah SWT: “ Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing(mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al Hujaraat(49): 12]

Islam juga melarang perasaan dengki dan khianat di antara rakan-rakan.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah  SAW bersabda: “Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.” [HR Bukhari & Muslim]

Hubungan dengan rakan bukan Islam
Umat Islam perlu hidup bermasyarakat. Di mana sahaja kita berada, kita akan pasti berjumpa dan bergaul dengan orang yang bukan Islam. Adalah tidak patut bagi kita untuk menyembunyikan diri daripada mereka dan tinggal seperti ‘katak dibawah tempurung’.  Sebaliknya kita perlu menjalinkan hubungan dengan orang bukan Islam sebagai satu langkah dakwah Islamiyah. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk berdakwah demi menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia supaya Islam menjadi rahmatan lil ‘alamin(rahmat bagi sekalian alam) iaitu membebaskan umat daripada hukum-hukum buatan tangan manusia dan sekaligus menghapuskan sistem yang merosakkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. 

Oleh kerana itu, kita perlu bergaul dengan orang ramai bagi berinteraksi dengan mereka dan menceritakan kepada mereka tentang sistem Islam. Walau bagaimanapun janganlah kita pula yang terpengaruh terhadap konsep atau cara hidup mereka, disamping hendaklah kita sentiasa ingat akan tujuan hidup kita yang sebenar adalah untuk meraih keredhaan Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran: “ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu, kerana mereka tidak henti-hentinya menimbulkan kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat Kami, jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali Imran(3):118]

Sememangnya manusia diciptakan oleh Allah dalam keadaan yang lemah maka, memilih rakan-rakan yang tidak beriman dan tidak berakhlak mulia akan menjadikan remaja lebih mudah tergelincir dan terperusuk ke lembah kemaksiatan. Pengaruh daripada rakan sebaya adalah lebih kuat impaknya daripada pengaruh keluarga.  Seseorang remaja yang tidak kuat pegangan akidah Islam dan memiliki ilmu pengetahuan Islam yang cetek akan berasa amat sukar dan tertekan untuk mematuhi perintah dan larangan Allah SWT.  Mereka akan merasa lebih selesa untuk berkompromi ataupun menyembunyikan keIslamannya di hadapan rakan-rakan yang membenci ajaran Islam. Sebaliknya, mereka pula akan menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang mengajak kepada Islam kerana perasaan khuatir akan kelihatan tidak cool apabila bersama dikalangan rakan-rakan pilihan mereka. 

Apabila situasi sebegini berlaku, maka seseorang itu akan terjebak ke lembah kemaksiatan, di mana tidak ada beza hidupnya daripada rakannya yang tidak beriman.  Akibat memilih rakan yang salah, maka rosaklah kehidupan seseorang itu, hatinya menjadi rosak dan akan kehilangan pegangan Deen Islam yang sepatutnya.

Para remaja sepatutnya menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan yang bertaqwa dan beriman kepada Allah SWT dan mengelakkan diri dari berkawan rapat dengan rakan-rakan yang selainnya.  Namun begitu, mereka haruslah cuba untuk bergaul dengan segenap lapisan manusia dalam rangka menyebarkan dakwah dan menegakkan kalimah Allah di mukabumi sebelum tibanya hari dimana kita akan dihimpunkan dan diminta pertanggungjawapan keatas setiap perbuatan kita.  Allah SWT berfirman:

الْأَخِلَّاء يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”.  [TMQ Az-Zukhruf(43):67]

Menghargai Saat Kehidupan Remaja
Sementara umur masih remaja, amatlah penting untuk seorang remaja Islam menurut segala ajaran Islam dengan mendalami pengetahuan Islam mereka dan menyampaikannya kepada rakan yang lain.  Saat remaja tidak akan kekal selama-lamanya, maka dengan itu, sudah tentu remaja Islam tidak sepatutnya leka dan perlu menggunakan peluang seumur hidup sekali ini untuk menegakkan kalimah Allah sebelum peluang itu hilang selama-lamanya.  Remaja Islam masa kini hendaklah menelusuri teladan para remaja Islam di zaman Rasululllah SAW yang telah meninggalkan jejak langkah kejayaan dalam menegakkan syiar Deen Allah.  Marilah kita mengingatkan kembali pesanan Rasulullah SAW dalam sabda baginda :  ” Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba mati.” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi]

Semoga Allah SWT merahmati kita dengan menganugerahkan sahabat-sahabat yang beriman dan menjadi pendukung dalam usaha kita berdakwah mengembalikan Daulah Khilafah. Ameen

Sumber: Khilafah.com