Rakyat Dipancing Menjelang Pilihanraya

altSepertimana pilihanraya yang lepas, pelbagai janji dan bantuan mula dicurahkan kepada rakyat oleh kerajaan yang memerintah.  Ia bagaikan pesta yang baru bermula menjelang Pilihan Raya.  Sudah semestinya yang paling menonjol di dalam hal ini adalah pihak pemerintah. Ini adalah kerana kuasa serta kewangan ada di dalam genggaman mereka. Mungkin tidak keterlaluan jika kita istilahkan segala bantuan ini umpama “umpan pancing” yang bertujuan untuk memikat hati para penerima bantuan dengan harapan agar mereka memilih parti yang memerintah pada pilihanraya nanti.

Pelbagai janji manis  telah ditaburkan dengan harapan agar ia dapat membius rakyat dan memilih pemerintah yang ada supaya mereka tetap kekal di tampuk pemerintahan. Janji-janji ini sebenarnya hanyalah bersifat untuk ‘memancing hati’ rakyat semata-mata dan bukannya dibuat atas dasar tanggungjawab. Ini adalah kerana, jika ia dibuat berdasarkan tanggungjawab maka sudah tentu bantuan seperti ini diberi sejak dari dahulu lagi beserta dengan jaminan kehidupan yang lain. Mengapa sekarang?

Hakikatnya, segala bantuan daripada pemerintah itu merupakan suatu keperluan bagi rakyat. Malah, ia merupakan suatu kewajiban bagi pemerintah untuk menyalurkan segala bantuan yang diperlukan  sesuai dengan tanggungjawab mereka sebagai pengatur urusan umat. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan keperluan asas bagi rakyat seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, kemudahan kesihatan, pendidikan serta keselamatan. Rasulullah SAW bersabda:

Tiap-tiap kalian adalah penggembala, dan setiap penggembala harus bertanggungjawab terhadap gembalaannya (rakyatnya).(HR Bukhari dan Muslim. Lihat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari (2426); Muslim, Sahih Muslim (1829).

Inilah makna sebenar tanggungjawab seorang pemimpin ke atas rakyat di bawahnya. Segala bantuan yang sepatutnya diterima oleh rakyat, seharusnya di salurkan dengan secepat mungkin, layanan yang diberikan adalah layanan kelas pertama dan bukannya dijadikan modal berkempen sambil bermain-main dengan janji kepada  rakyat dengan cara yang licik sepertimana kenyataan Najib:

“Kita buat yang terbaik untuk setiap kelompok dan kumpulan, mesti ada sentuhan dan ada lagi idea-idea baru, tapi saya tidak akan keluarkan (umumkan) hari ini. Kita akan bagi banyak lagi bantuan,”

Sedarlah wahai kaum muslimin! Sampai bilakah kita akan terus dipancing serta terpancing dengan lakonan orang yang tidak melaksanakan amanah Allah ini? Ingatlah wahai pemimpin kaum muslimin! Dalam keghairahan kalian berkempen untuk kekal berkuasa, ingatlah, apa yang kalian dambakan itu pastinya sama ada bakal mendekatkan diri kalian menuju syurga ataupun mencampakkan diri kalian ke lubang neraka. Semoga perlindungan Allah akan sentiasa bersama orang yang bertakwa. Wallahu a’lam.

Sumber : Utusan Online, 25/03/2012, Utusan Online, 25/03/2012