RAKYAT DIUMPAN WANG UNTUK RAIH UNDI

altManfaat dan ganjaran terus digunakan di dalam memancing hati rakyat untuk menyokong parti masing-masing. Di Shah Alam baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, BN akan memastikan Selangor terus maju dengan pembangunan jika kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

“Selangor dulu maju tetapi sekarang kotor,” katanya semasa berucap selepas melawat ruang-ruang pameran di Karnival Sayangi Selangor di i-City, Seksyen 7, yang diadakan baru-baru ini sempena menyambut kedatangan tahun baru.

Beliau berkata, Selangor menjadi kotor selepas keputusan kerajaan negeri menamatkan kontrak pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Alam Flora Sdn Bhd dan melantik kontraktor-kontraktornya sendiri. Katanya, BN menyedari mengenai kelemahan itu dan akan memperbaikinya jika diberi peluang menerajui kembali Selangor.

Hairan, apakah hak Noh Omar untuk mempertikaikan hak kerajaan negeri kerana kuasa untuk melantik kontraktor adalah di bawah kerajaan negeri. Walaubagaimanapun, sekiranya kontraktor yang dilantik tidak menjalankan tugas dengan baik, maka kerajaan negeri harus bertanggungjawab untuk menegur, memberi amaran kepada kontraktor terbabit untuk memperbaiki keadaan. Jadi, adakah wajar menukar kerajaan negeri hanya dengan sebab kegagalan syarikat kontraktor menjalankan tugas dengan baik?

Jika dilihat daripada kenyataan awal, ianya jelas bahawa niat parti kerajaan memerintah ingin merampas kembali negeri Selangor adalah kerana ia merupakan negeri ‘lubuk’ untuk pelbagai  projek utama. Ini tidak menghairankan kerana Negeri Selangor merupakan gerbang masuk utama ke Malaysia selain merupakan negeri yang menarik banyak pelaburan asing. Jadi, sudah tentulah negeri ini menjadi salah satu fokus utama pihak kerajaan mahupun pembangkang. Apatah lagi, dengan pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, segala kelemahan pihak lawan akan dibongkar habis-habisan walaupun ianya sekadar isu sampah.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa peruntukan RM2.7 bilion untuk Selangor tahun ini daripada kerajaan Persekutuan adalah wang rakyat dan bukannya wang BN, Noh berkata lagi, keadaan itu juga sama dengan pemberian wang RM100 kepada warga emas oleh kerajaan negeri Selangor di mana ia adalah wang rakyat dan bukannya wang Pakatan Rakyat.

Noh kemudiannya menyatakan bahawa ini berbeza dengan BN yang telah menyelesaikan bantuan awal persekolahan bernilai RM100 seorang dan dijangka memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 bagi setiap isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan pada bulan hadapan.
 
 Inilah wajah sebenar para pemimpin hari ini disebalik segala bantuan yang diberikan oleh mereka. Tuduh-menuduh ini secara tidak langsung mendedahkan sikap sebenar mereka di dalam mengurusi kepentingan rakyat. Walhal, peranan pemimpin itu adalah untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat. Sebagaimana hadis daripada Rasulullah SAW:

 “Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].

Jadi, setiap pemberian kepada rakyat itu seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan kepada rakyatnya dan bukan mengharapkan jaminan untuk kekal memerintah dengan memenangi hati rakyat.

Wallahua’lam.

Sumber : Utusan Malaysia 29/12/2011