Rakyat Saudi Tuntut Perubahan, Demontrasi Besar-besaran 20 Mac!
Dua hari sebelum itu, ratusan penunjuk perasaan anti-pemerintah membanjiri jalan-jalan di timur Arab Saudi bagi menuntut reformasi politik. Di bawah pengawalan ketat para petugas keselamatan yang bersenjata lengkap di seluruh negeri, kira-kira 500 orang penunjuk perasaan, terutamanya daripada golongan Syiah telah turun ke jalan-jalan di bandar Hufuf, Qatif dan Awamiya pada hari Jumaat yang lalu.
Pihak berkuasa Saudi mengerahkan ratusan anggota polis di Riyadh dan di bandar-bandar utama yang lain supaya bersedia bagi menghadapi tunjuk perasaan anti-pemerintah yang dilakukan selepas solat Jumaat.
Sehari sebelum itu, polis Saudi melepaskan tembakan bagi meleraikan para penunjuk perasaan di timur bandar Qatif. Sekurang-kurangnya tiga orang syiah tercedera. Beberapa saksi melaporkan bahawa polis juga memukul para penunjuk perasaan dengan kayu cota.
Selain itu, lebih daripada 32 ribu rakyat Saudi menyatakan sokongan terhadap seruan untuk diadakan demonstrasi pada hari Jumaat yang lalu dan pada 20 Mac akan datang. Sementara itu, pemerintah Arab Saudi telah meningkatkan pengawasan keselamatannya di ibukota dan Qatif.
Di Arab Saudi, tindakan mengadakan tunjuk perasaan yang menampilkan perbezaan dengan pendapat umum adalah dilarang sama sekali dan dianggap salah di sisi undang-undang. Ulama terkenal Wahabi turut menjadi wakil kerajaan dengan mengecam demonstrasi dan menganggapnya sebagai ‘tidak Islami’.
Terdapat sebuah akaun di Facebook, yang mempunyai lebih daripada 17000 penyokong, juga menyeru kepada “Revolusi Saudi” yang akan diadakan pada 20 Mac ini. Puluhan ribu rakyat Saudi telah bergabung dengan gerakan ini.
Sumber : Syabab.com