Suasana Ramadhan semasa era Khilafah Uthmaniyyah
Puasa segenap lapisan masyarakat Uthmaniyyah di bulan Ramadhan
Amalan puasa merupakan rukun Islam ke-4, yang dilaksanakan semasa bulan Ramadhan iaitu bulan kesembilan mengikut kalendar Islam. Di sepanjang bulan tersebut, umat Islam diwajibkan menahan diri daripada makan, minum, merokok, , dan melakukan hubungan intim setiap hari dari terbit matahari sehingga terbenam matahari.
Puasa tidak diwajibkan untuk kanak-kanak yang belum baligh, orang yang berpenyakit atau sedang berubat, wanita yang menyusukan bayi dan hamil, orang yang bermusafir, dan mereka yang berjuang di medan perang. Biarpun tidak diwajibkan ke atas golongan-golongan tersebut, kanak-kanak, wanita hamil, orang musafir, dan tentera-tentera pada era Uthmaniyyah berpuasa sepanjang bulan Ramadhan.
Walaupun melaksanakan tugasan seharian di bulan suci ini adalah sesuatu yang sukar, masyarakat di setiap lapisan sosialpada era Uthmaniyah melaksanakan kewajipan berpuasa dengan penuh ketaatan dan kesungguhan, serta mereka mengutuk keras sebarang bentuk perlanggaran hukum berkaitan puasa yang dibuat secara terbuka.
Masjid-masjid dihiasi dan diterangi limpahan cahaya lampu
Masjid-masjid diterangi dengan gemerlapan cahaya lampu, dan dipenuhi dengan jemaah yang ingin beribadah di dalamnya.Tali-tali “digantung dari menara ke menara,” sebagai tempat lampu-lampu dipasang. Susunan tali-tali ini yang berselang-seli antara naik dan turun menghasilkan pemandanganan yang menakjubkan. Seorang pengunjung Eropah yang hadir ke ibu kota Uthmaniyyah pada waktu itu menyatakan dalam catatannya bahawa lampu-lampu unik ini menjadikan “pencahayaan di ibu kota Istanbul tidak seperti mana-mana ibu kota Eropah”.
Berbuka puasa ( Iftar)
Tatkala menghampiri waktu matahari terbenam, masyarakat mula bersiap-siap sambil menantikan bunyi dentuman meriam dan laungan para muazzin bagi menandakan masuknya waktu Maghrib sekali gus memanggil orang-orang mukmin untuk menunaikan solat secara berjemaah. Isyarat tembakan meriam kedua pula menandakan waktu berbuka puasa, yang disusuli dengan makan malam bersama-sama ahli keluarga dan rakan-taulan. Orang miskin kebiasaannya terus berbuka dengan makan makanan yang berat, sementara yang kaya berbuka puasa dengan makanan ringan terlebih dahulu – sekeping roti dengan yogurt, kurma, buah segar atau kering, terutama buah tembikai, manisan, dan muhallabi, iaitu “jeli nipis yang diperbuat daripada susu, kanji dan tepung beras”, dan kemudiannya disudahi dengan air atau minuman limau nipis.
Solat Maghrib kebiasaannya dilaksanakan selepas berbuka berpuasa. Ada kalanya, terdapat dalam kalangan mereka yangmenghisap rokok paip, meminum secawan kopi atau segelas sherbet sebelum melakukan solat Maghrib. Kemudian ia duduk bersama keluarga dan kawan-kawan bagi menikmati jamuan utama.
Umat Islam di Sarajevo masih mengamalkan tradisi Uthmaniyyah yang menggunakan tembakan meriam untuk menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Setiap malam orang Islam berduyun-duyun ke Bukit Zuc di Sarajevo menunggu ‘dentuman’ meriam sebelum mereka berbuka puasa.
Suasana malam di bulan Ramadhan
Selepas menjamu selera, jalan-jalan menjadi sesak dengan orang ramai. Ada yang menghabiskan masa mereka di kedai kopi untuk menghisap shisha sambil mendengar kisah daripada penglipurlara dan penyanyi, sementara yang lain bersiar-siar di taman-taman, duduk di bawah cahaya bulan, menikmati kek, bijirin panggang, kopi, dan minuman manis sambil melihat tayangan wayang kulit Karagöz.
Sementara itu, terdapat ramai juga yang berjalan menuju ke masjid bagi menghayati lantunan doa dan bacaan oleh imam tempatan, manakala yang lain pula menghabiskan sebahagian malam di rumah-rumah sufi (tekke) untuk upacara zikir , atau sekali-sekala terlibat dalamnyanyian peribadatan yang merupakan salah satu bentuk ibadah yang mengasyikkan .
Amalan bersahur
Sejurus sebelum menjelang tengah malam, panggilan untuk beribadah dilaungkan, sekali gus mengingatkan mereka yang lewat pulang ke rumah bagi menyiapkan makanan untuk dimakan semasa waktu sahur. Di pusat-pusat bandar yang besar seperti Istanbul dan Kaherah, dentuman meriam bergema sejurus selepas melewati tengah malam, sebagai tanda bahawa sudah tiba masanya untuk mereka bersahur. Manakala di bandar-bandar lain dan kampung-kampung kecil, sebahagian penduduk berjalan sambil memukul gendanguntuk mengejutkan dan mengingatkan orang ramai untuk bersahur sebelum matahari terbit.
Bersahur biasanya dilakukan kira-kira sejam sebelum solat Subuh. Di rumah orang-orang kaya dan berkuasa, hamba dan pelayan membawa air untuk wuduk, menebarkan kain yang diperbuat daripada kulit (sofra, bahasa Arab: sufrah)– lalu meletakkan makanan di atasnya yang kebiasaannya dicampur dengan lebihan makanan yang disediakan untuk berbuka. Kemudian ungkapan selawat dan salam kepada Nabi dilaungkan sejurus sebelum azan Subuh dikumandangkan. Dentuman kedua meriam kedengaran, menandakan masuknya waktu imsak.
Kedermawanan pegawai-pegawai dalam pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah
Sebahagian pegawai-pegawai tinggi Khilafah menyambut ketibaan bulan suci ini dengan membuka pintu-pintu rumah mereka dan melimpahkan kebaikan dan kemurahan hati kepada tanggungan dan hamba-hamba mereka. Dalam karya berjudul “Book of Travels”, Evliya Çelebi telah menukilkan bahawa pada awal bulan Ramadhan, tuannya, Melek Ahmed Pasa, telah mengagihkan pelbagai barang berharga dari perbendaharaannya seperti pakaian-pakaian mewah, bekas pasu, senjata-senjata, baju-baju besi, musket (senapang) , pedang-pedang, bulu sabel, dan tasbih-tasbih untuk dihadiahkan kepada hamba-hamba mahupun aga (pegawai), sebagai imbalan untuk alunan bacaan Al-Quran sehingga khatam serta doa-doa mereka. Setiap petang Isnin dan Jumaat sepanjang bulan itu, pintu rumahnya dibuka kepada orang ramai, yang dihidangkan dengan minuman buah-buahan serta kacang pistachio dan badam sambil mendengar bacaan ayat suci al-Quran.
Sultan dan para pegawainya juga mengambil peluang tibanya Ramadhan untuk mengorbankan binatang di masjid-masjid atau di tempat umum seperti jalan terbuka atau pintu gerbang utama ibu kota. Daging-daging sembelihan itu kemudiannya diedarkan di kalangan orang kebanyakan, terutamanya golongan miskin dan yang memerlukan.
Mengunjungi dan menghormati peninggalan Nabi Muhammad ﷺ
Ibadah dan upacara keagamaan juga berlaku sepanjang bulan suci ini. Pada hari kelima belas di bulan Ramadhan, Sultan dan pegawai tinggi Khilafah berkunjung bagi memberi penghormatan (pent. tabarruk) kepada barang-barang peninggalan Nabi Muhammad SAW, yang dipelihara dengan penuh penghormatan. Barang-barang peninggalan termasuklah jubah Nabi, bendera dan senjata, janggut, gigi, dan tapak kaki baginda SAW yang tertekap di atas sekeping batu. Walaupun dikendalikan secara persendirian, upacara itu adalah suatu peristiwa yang dilihat sangat penting dalam agama oleh sebahagian umat Islam.
Zakat Fitrah
Sebelum ketibaan bayram (hari lebaran), Sultan sertaorang-orang kaya di sekelilingnya – menzahirkan ketaatan, amal, dan ketakwaan dengan mengedarkan zakat-zakat kepada golongan miskin. Dalam masa yang sama, sesetengah keluarga bangsawan turutmenyediakan pelbagai hidangan dan menghantarnya kepada jiran-jirannya, serta kepada golongan miskin dan yang memerlukan.
Manakala di luar istana, sebelum ketibaan bulan baru (pent. Syawal), umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadhan kemudiannya menunaikan zakat fitrah yang merupakan sebuah kewajipan bagi setiap Muslim dan tanggungannya. Bagi menunaikannya, mereka diwajibkan untuk mengagihkan kepada golongan miskin dan yang memerlukan sejumlah gandum, barli, kurma, dan buah-buahan. Amalan ini menyucikan puasa mereka dan memastikannya diterima di sisi Allah SWT.. Sesungguhnya pahala puasa seseorang akan tergantung di antara langit dan bumi selagimana zakat ini tidak ditunaikan.
Di samping itu, dalam kalangan keluarga yang kaya dan berkuasa, setiap anggota keluarga termasuklah hamba-hamba dan pelayan-pelayan turut menerima hadiah berharga daripada ketua keluarga mereka mengikut status mereka.
Manakala di wilayah-wilayah Arab, ‘sadaqat ul-Fitr’ atau ‘zakat ul-Fitr’ diedarkan semasa satu atau dua malam terakhir Ramadhan. Ketua rumahtangga bertanggungjawab untuk membayarnyabagi pihak setiap tanggungannya.
Malam al- Qadar (Lailatul-Qadr)
Malam al-Qadar merupakan malam terpenting di sepanjang bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan dan dicari. Pada malam ini jugalah al-Quran telah diturunkan bersama para malaikat dari lauh mahfuz dan seterusnya Malaikat Jibril AS menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat sepanjang tempoh 23 tahun kerasulan baginda SAW. . Malam al-Qadar ini jugadipenuhi keberkatan buat orang-orang yang berimandan beramal pada malam tersebut. . Di sepanjang sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan, rumah-rumah Muslimin dipenuhi dengan semangat kerohanian dan kekhusyukan dalam ibadah demi mengejar ganjaran yang dijanjikan pada malam yang lebih bernilai daripada seribu bulan itu.
Dari pusat-pusat bandar yang besar sehinggalah ke ceruk kampung yang terpencil,baik golongan muda mahupun tua, lelaki dan wanita, pegawai-pegawai negeri, pedagang-pedagang, tukang-tukang, dan petani-petani, semuanya bersama-sama mengejar keberkatan Malam al-Qadar denganmenghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan , kerana pada malam ini, takdir setiap individu akan ditentukan untuk tahun berikutnya.
Eid ul-Fitri
Berakhirnya Ramadhan ditandai dengan cuti perayaan selama tiga hari yang dikenali sebagai Ramadhan Bayrami (Perayaan Ramadhan) atau Seker Bayrami (Perayaan Gula), atau lebih dikenali dalam bahasa Arab sebagai Eid ul-Fitr atau Eid us-Sagheer(Perayaan Kecil, berbanding Eidul Adha, pent.). Berakhirnya bulan puasa dan bermulanya perayaan ditentukan dengan terlihatnya anak bulan yang menandakan masuknya bulan Syawal. Adakalanya, Eid ul-Fitri ditangguhkan dan bilangan hari berpuasa digenapkan jika cuaca mendung dan anak bulan tidak kelihatan di langit. Di Istanbul, penghujung Ramadhan secara rasmi diisytiharkan dengan dentuman meriam di istana. Lampu-lampu dan pelita-pelita yang digantung di menara-menara masjid dipadamkan, manakala gendang-gendang dan trompet pula dimainkan di tempat awam dan di kediaman pegawai tinggi Khilafah serta orang-orang kehormat. Di halaman masjid-masjid utama, pasar telah didirikan untuk menjual daging, buah-buahan, sayur-sayuran, gula-gula, pakaian, kain, lilin, mainan, dan sebagainya. Pada hari pertama bulan Syawal, iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Islam, perayaan disambut sesudah berakhirnya Ramadhan.
Pada pagi satu Syawal, para Muslimin mandi dan memakai wangianserta mengenakan pakaian yang terbaik untuk menghadiri solat Eid ul-Fitri secara berjemaah. Setelah pengagihan zakat dilaksanakan, para jemaah berkumpul di tanah lapang di luar kampung atau bandar, yang disediakan khusus untuk jemaah besar yang ingin menunaikan solat bersempena bayram secara berjemaah. Selepas selesai solat, imam menaiki mimbar dan menyampaikan khutbah. Kemudian, semua jemaah memeluk dan saling mengucapkan selamat meraikan bayram . Mereka kemudian kembali ke rumah masing-masing dengan mengambil jalan yang berbeza dari yang mereka lalui sewaktu ingin datang.
Pada kesempatan kedatangan bayram, ibu bapa membeli pakaian baru untuk anak-anak mereka, lalu merekadengan bangga memperlihatkan pakaian mereka ketika mereka di jalanan. Wanita pula memakai perhiasan terbaik dan pakaian yang paling indah. Dalam masa yang sama, orang-orang kaya pula mengedarkan hadiah-hadiah kepada pelayan-pelayan, tanggungan mereka serta kepada orang-orang miskin. Muslimin saling menziarahi sesama mereka, dan pada masa itu anak-anak kecil mencium tangan ahli keluarga yang lebih tua, manakala yang lebih tua menghadiahi manisan kepada anak-anak kecil tersebut.
Antara elemen yang penting dalam meraikan bayram adalah apabila insan-insan yang bertelingkah kembali menjalin semula ikatan kekeluargaan dan persahabatan serta saling bermaafan. Setelah selesai menunaikan solat Zuhur dan saling menziarahi, sebahagian Muslim mengunjungi tanah perkuburan bagi memperingati insan yang telah tiada. Di sana, gerai-gerai sementara telah dibuka bagi menjual bunga, risalah doa, dan air untuk disiram ke atas tumbuhan berhampiran pusara orang kesayangan mereka. Baki hari tersebut diisi dengan rehat dan hiburan, termasuklah menyaksikan persembahan pancaragam janisari (mehtaran) atau menyaksikan wayang kulit Karagöz dan Hacivat yang cukup popular dalam kalangan warga Uthmaniyyah pada waktu itu.
Sumber diolah daripada buku berjudul “Daily Life in the Ottoman Empire” oleh Mehrdad Kia