Ramadhan dicemari, pemimpin Islam hanya jadi pemerhati!

NARATHIWAT: Tiga anggota keselamatan sukarela maut selepas sebutir bom meletup di selatan Thailand, manakala tiga orang awam Muslim ditembak mati di kawasan sama pada hari pertama Ramadan, semalam.

 

 

“Kumpulan pemisah disyaki meletupkan bom itu ketika sekumpulan pegawai yang dalam perjalanan menyiasat kejadian letupan di Yala, cuba memindahkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya,” kata polis.

Tiga anggota keselamatan itu terbunuh serta-merta dan empat orang cedera, dua daripada mereka anggota sukarela dan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri. Letupan sebelum itu mencederakan dua anggota tentera.

Kementerian Dalam Negeri Thailand melatih, membiayai dan membekalkan senjata kepada orang awam menyertai pasukan sukarela dalam usaha membendung keganasan di selatan. Dalam kejadian lain, lelaki bersenjata dalam trak menembak seorang pemberi maklumat kerajaan berusia 32 tahun ketika dia dan anggota keluarganya dalam perjalanan dengan motosikal ke ladang getah di wilayah Narathiwat, kata polis.

Seorang lelaki Muslim yang bertindak keluar daripada pergerakan militan ditembak mati dalam satu serbuan berasingan di Narathiwat, malam kelmarin.

Di wilayah Pattani, timbalan ketua kampung, juga Muslim, ditembak mati dalam perjalanan pulang ke rumah dengan motosikal selepas ke pasar malam, kata polis.

Penduduk Muslim di wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan sebahagian daripada Songkhla mula berpuasa semalam. Sehari sebelum Ramadan, dua askar maut dalam letupan bom dan ditembak di Narathiwat.

Sumber: Berita Harian 23/08/09

Ulasan:

Nasib umat Islam di Selatan Thai masih terus-menerus dirundung malang. Di kala kaum Muslimin sepatutnya bersahur dan berbuka dengan sajian rutin di rumah masing-masing, namun Selatan Thailand tetap menyajikan darah buat umat Islam. Bagaimanakah penduduk Islam di sana mahu bergembira menyambut Ramadhan tatkala pembunuhan demi pembunuhan berlaku di sekeliling mereka tanpa mengira masa?

Cuba kita tanya dengan hati yang ikhlas, siapakah yang dapat menyelamatkan umat Islam di selatan Thai? Atau siapakah yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan mereka? Malaysia, walaupun berjiran rapat dengan kawasan bergolak itu, namun dasar berkecuali dan sempadan negara bangsa yang diamalkan menyebabkan pemimpin Malaysia hanya menyaksikan seenaknya darah saudara-saudara kita ditumpahkan di selatan Thai. Jika Malaysia yang hanya dipisahkan dengan jarak selangkah sahaja dengan negara gajah putih itu, pun tidak melakukan apa-apa, apakah kita mengharapkan pemimpin Islam yang lebih jauh jaraknya? Sesungguhnya kesemua mereka sama sahaja! Mereka tidak akan menjaga kecuali periuk nasi dan perut masing-masing sahaja!!!

Jika kita teliti dengan hati yang jernih, sesungguhnya kita memang memerlukan seorang pemimpin yang beriman, yang tidak menjadikan sempadan negara bangsa sebagai alasan untuk mereka menyelamatkan umat Islam. Kita memerlukan seorang Khalifah seumpama Mu’tasim yang akan melancarkan jihad hanya kerana seorang Muslimah di sakiti oleh golongan kuffar, yang mengikuti jejak Rasulullah yang mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ yang melakukan penghinaan ke atas seorang Muslimah. Inilah pemimpin yang kita perlukan, bukannya seorang pemimpin pengkhianat umat, seperti yang ada pada hari ini.

Justeru, sempena Ramadhan ini, bersama-samalah berusaha dengan Hizbut Tahrir untuk kita tetap teruskan perjuangan untuk menegakkan semula Daulah Khilafah, yang dengan tertegaknya institusi agung ini, Insya Allah seluruh umat Islam akan diselamatkan.