Ramadhan: peluang tambah pendapatan atau tambah takwa?
Menurut Perdana Menteri, peluang keemasan yang terbuka itu perlu diambil oleh para peniaga terutamanya peniaga kecil setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
“Walaupun peniaga mencatat keuntungan yang lebih berbanding nilai bayaran yang dibuat, kerajaan tetap tidak akan mengenakan bayaran yang tinggi kepada mereka.
“Kerajaan amat menggalakkan kewujudan konsep bazar Ramadan bagi memberi peluang perniagaan kepada rakyat untuk menjana pendapatan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk anjuran Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Petronas dan Maggi kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut meluangkan masa hampir satu jam meninjau gerai-gerai jualan di sepanjang Jalan Raja Alang.
Mengiringi Najib pada lawatan itu ialah, Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Najib berkata, kewujudan bazar Ramadan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dengan harga berpatutan sekali gus mewujudkan suasana yang meriah.
Sehubungan itu, katanya, para peniaga perlu bertimbang rasa dengan meletakkan harga yang berpatutan.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kewujudan bazar Ramadan dapat membantu mempertingkat dan mempromosikan industri pelancongan negara.
“Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan akan terlibat untuk mempromosikan bazar Ramadan bagi menjadikannya medium menarik kehadiran pelancong,” katanya.
Ditanya juadah kegemaran untuk berbuka puasa, Najib berkata, beliau akan membeli macam-macam makanan kerana apabila Ramadan semuanya terasa sedap.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut bertembung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut singgah di bazar tersebut bagi membeli juadah berbuka puasa.
Dr. Mahathir ketika ditemui berkata, walaupun dalam keadaan krisis kewangan dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), bazar Ramadan tetap meriah.
Beliau yang hadir dengan memakai penutup hidung dan mulut berkata, orang ramai dan peniaga juga perlu memakainya untuk keselamatan diri.
“Saya datang untuk beli juadah kegemaran saya iaitu cucur udang,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 23/8/09
Ulasan:
Sistem Kapitalis meletakkan nilai material sebagai nilai tertinggi dalam kehidupan. Kebahagian seseorang diukur berdasarkan status material yang dicapai. Malah, ‘kapitalisme’ dijadikan sebagai nama sistem kehidupan ini kerana fokusnya yang banyak terhadap masalah-masalah material/ekonomi. Kerana itulah apabila sesebuah negara menerapkan sistem ini, para pemimpin dan banyak rakyatnya menilai segenap aktiviti dari sudut pandang ekonomi. Gerak kerja antara pemerintah dan rakyat berlegar dalam putaran ekonomi. Malah dalam sistem ini, pemimpin yang dianggap berjaya adalah pemimpin yang bijak mengambil kesempatan ekonomi atau bijak dalam menjaga ekonomi negara, meskipun pemimpin ini tidak menerapkan hukum Allah.
Maka dari itu tidak hairanlah Pemimpin Nombor 1 Malaysia berinisiatif menonjolkan diri di Bazar Ramadhan tanda sokongan dan ransangan kepada rakyat dalam meraih peluang jana pendapatan lumayan di bulan Ramadhan sedangkan apa yang seharusnya ditekankan adalah status bulan Ramadhan sebagai bulan meraih ketaqwaan. Ini adalah kerana disitulah letaknya penilaian rakyat tehadapnya dan disitu jugalah terletak kepentingan untuk kekal memerintah negara. Sememangnya inilah hakikat kepimpinan dalam sistem demokrasi-kapitalisme yang akan terus melobi diri setiap kali wujud ruang menonjolkan keprihatinan mereka terhadap ekonomi rakyat. Walhal terlalu banyak tekanan telah menghimpit rakyat akibat dari apa yang mereka terapkan – pelbagai cukai yang membebankan, cukai pintu, cukai jalan, cukai perniagaaan, bayaran tol, caj hospital, bayaran pendidikan dan pelbagai caj-caj lain yang memeningkan rakyat.
Walaupun tidak salah untuk kita menjana lebih pendapatan di bulan Ramadhan, namun sebagai seorang pemimpin, apakah wajar rakyat disaran agar memfokuskan Ramadhan sebagai bulan untuk meraih keuntungan material? Inikah cara seorang pemimpin Muslim meraih kemenangan di bulan Ramadhan? Dapatkah keuntungan material di bulan Ramadhan ini ‘membeli’ ketaqwaan kepada Allah?