Ratapan sang hipokrit di saat tangannya masih berlumuran darah

obama-hiroshimaBarack Obama pada Sabtu 28 Mei lalu mengikut laporan agensi berita AP memberi penghormatan kepada 140,000 mangsa yang terkorban dalam serangan bom atom pertama dunia di Hiroshima, Jepun. Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dengan nada tegas berkata, dia kini lebih berusaha membawa perhatian global ke arah wawasan dunia tanpa senjata nuklear.

“Ia ibarat maut gugur dari langit dan dunia terus berubah,” kata Obama dengan sedih selepas meletakkan kalungan bunga di tugu Taman Peringatan Keamanan Hiroshima sempena mengenang mereka yang terbunuh pada 6 Ogos 1945 apabila tentera AS menggugurkan bom atom yang tidak akan dilupakan dalam sejarah dunia itu.

Obama bagaimana pun tidak memohon maaf, sebaliknya dalam nada yang cukup teratur berkongsi gambaran ringkas kekejaman akibat peperangan dan harapan beliau agar mimpi ngeri Hiroshima menjadi pencetus kepada kebangkitan moral.

Di sebalik retoriknya yang mengharapkan dunia ini bebas daripada senjata nuklear, kita perlu sedar bahawa AS merupakan antara negara yang mempunyai longgokan senjata nuklear terbanyak di dunia. Begitulah apabila sang hipokrit berbicara.

Inilah sikap pemimpin AS, bukan sahaja Obama tetapi termasuklah presiden-presidennya yang terdahulu, kononnya menunjukkan kesedihan dan kedukaan atas penderitaan manusia di dunia akibat perang, walhal merekalah yang melakukan kekejaman, membuat angkara dan kerosakan di seluruh dunia!

Apakah kita akan terus membiarkan anak cucu kita menyaksikan sejarah kembali berulang pada masa akan datang, bilamana presiden AS pada waktu itu meratapi dalam penuh kepura-puraan akan jenayah yang telah dilakukan oleh  Obama pada hari ini?

Tiada cara lain untuk mengajar kekejaman dan kebiadaban AS yang berusaha untuk meletakkan dunia dalam genggamannya, kecuali dengan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kembali negara adidaya umat Islam, Khilafah, yang dengannya segala kesombongan, keangkuhan dan kekejaman AS dan negara-negara imperialis lain akan segera berakhir.