Raya mengejut lagi? Fahami dan ikuti nas agar hati menjadi tenang

Fenomena “Raya Mengejut” tahun 2022 nampaknya masih segar dalam ingatan dan kembali menjadi perbualan masyarakat pada tahun 2026 ini. Isu ini mencetuskan keresahan tentang persiapan raya seperti juadah serta perjalanan pulang ke kampung sekiranya 1 Syawal jatuh lebih awal daripada apa yang tertera di kalendar.

 

Pihak JUPEM pula memberikan penerangan teknikal mengenai ketidaknampakan hilal bagi tahun ini (berdasarkan tarikh cerap pada 19 Mac 2026) dan menjelaskan yang kedudukan hilal tidak memenuhi syarat Imkanur Rukyah (kriteria kebolehnampakan), yang boleh membawa kepada penggenapan Ramadan kepada 30 hari di Malaysia.

 

Sebagai Muslim yang prihatin, kita perlu sedar bahawa kegusaran ini sebenarnya berakar umbi daripada kekeliruan dalam meletakkan kedudukan hukum antara data astronomi dan ketetapan syarak.

 

Penentuan awal Ramadan dan Syawal adalah ibadah yang berpasak kepada ketaatan mutlak kepada Allah (swt). Dengan kata lain, ia hendaklah berdasarkan dalil atau diambil daripada dalil semata-mata. Berdasarkan nas, melihat hilal adalah wajib dan puasa atau raya ditentukan semata-mata berdasarkan nampak atau tidaknya hilal. Jika hilal nampak (kelihatan), maka bermulalah 1 Ramadan atau 1 Syawal. Manakala jika hilal tidak nampak, maka Sya’ban atau Ramadan digenapkan kepada 30 hari.

 

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

 

“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah (berhari rayalah) kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari” [HR al-Bukhari, dari Abu Hurairah]

 

Justeru, berdasarkan nas, rukyah atau melihat anak bulan adalah satu-satunya autoriti untuk umat Islam memulakan puasa atau rata, yang seharusnya mengatasi hisab mahupun data sains secanggih mana pun.

 

Malah, dalam prinsip yang lebih luas, rukyah tidak kira di mana-mana belahan dunia sekalipun adalah sah untuk dijadikan hujah bermulanya bulan baharu sekiranya ia sabit mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Dengan kata lain, rukyah hendaklah global, bukannya lokal, kerana nas mengenai rukyah adalah bersifat global.

 

Kedaulatan syarak ini menuntut kita memahami bahawa sains hanyalah pembantu untuk memberi jangkaan awal, atau membantu dalam melakukan hal-hal yang bersifat teknikal, manakala penyaksian hilal dengan mata kasar (atau teleskop dsb) di lapangan, tetap menjadi penentu hukum yang sebenar. Meletakkan kepercayaan bahawa data astronomi adalah “kebenaran mutlak” sehingga menafikan rukyah bermakna kita sedang mendahulukan akal dan kebijaksanaan manusia di atas ketetapan wahyu.

 

Sebagaimana perintah Rasulullah (saw) agar umat Islam berpuasa dan berbuka (berhari raya) kerana melihat hilal, ketetapan tersebut tidak boleh dinafikan atau ditolak hanya kerana ia tidak selari dengan ramalan data atau kriteria Imkanur Rukyah. Yang harus ditolak ialah hisab dan apa jua kaedah saintifik apabila ternyata bertentangan dengan nas.

 

Dengan kata lain, jika hilal kelihatan sedangkan berdasarkan data sains ia tidak boleh kelihatan, maka umat Islam wajib puasa/raya. Begitu juga jika hilal tidak kelihatan (kerana mendung, hujan dsb), sedangkan berdasarkan data sains ia boleh kelihatan, maka umat Islam wajib menggenapkan Sya’ban/Ramadan kepada 30 hari. Demikianlah cara kita mengutamakan nas berbanding data sains.

 

Apabila kita berpegang kepada nas, maka tidak akan timbul istilah “mengejut”, baik untuk puasa mahupun raya. Jika nampak hilal, maka kita puasa/raya. Jika tidak nampak, maka kita genapkan bulan kepada 30 hari. Demikianlah mudahnya dan indahnya Islam, yang tidak perlu dikomplikatedkan dengan pelbagai jangkaan atau kejutan.

 

Istilah “mengejut” itu sendiri sebenarnya lahir daripada mentaliti yang terlalu bergantung kepada kalendar yang dicetak berdasarkan data sains semata-mata. Sedangkan hukum Islam mengenai puasa dan raya tidak tertakluk kepada cetakan kalendar atau data sains. Ia tertakluk kepada hilal – sama ada nampak atau tidak.

 

Bagi seorang Muslim yang berpegang kepada Sunnah, 1 Syawal hanya mempunyai dua kemungkinan – sama ada selepas 29 hari atau 30 hari berpuasa. Hal ini dipegang oleh Muslim sejak daripada zaman Rasulullah (saw), tanpa ada apa-apa “kejutan”. Apabila masuk hari ke-29, maka umat Islam keluar melihat hilal. Jika nampak, maka esoknya raya. Jika tidak nampak, maka raya adalah lusanya.

 

Apabila kita sudah bersedia secara hukum dan juga mental untuk melihat anak bulan pada maghrib ke-29, dan bersedia dengan dua kemungkinan di atas, maka istilah “mengejut” langsung tidak relevan kerana ia adalah sebahagian daripada disiplin ibadah yang kita wajib patuhi dan kita redha dengan jangkaan raya sama ada esok atau lusa. Ini dari satu sudut.

 

Dari sudut lain, kita perlu mengubah mentaliti daripada sekadar memikirkan tentang urusan logistik – seperti kesukaran memasak rendang atau kesesakan jalan raya – kepada nilai ketaatan yang lebih tinggi kepada Allah (swt).

 

Oleh itu, janganlah kita tenggelam dalam keresahan tentang tarikh raya, apatah lagi di penghujung Ramadan yang seharusnya dipecut dengan segala ibadah dan kebaikan. Marilah kita didik jiwa untuk berpegang kepada nas, dan menunggu berita global sama ada hilal Syawal telah kelihatan atau tidak, dengan hati yang tenang, kerana itulah manifestasi sebenar ketaatan kita kepada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya.

 

Ingatlah, raya bukan soal ketepatan kalendar atau persetujuan logistik manusia, tetapi ia adalah soal ketaatan sepenuhnya kepada nas agama yang melangkaui segala data dan angka.