Lagi Kemalangan Jalan Raya, dimana Silapnya?

Oleh : Finasafa

Berita

Sekali lagi pada bulan ini, kita disajikan dengan berita kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Pada awal Januari lepas, seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar lubang. Kini, seorang lelaki umur belia pula meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tawau. Dalam insiden itu, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh mangsa, dipercayai terlanggar lopak air lalu hilang kawalan sehingga terbalik dan terbabas ke pembahagi jalan sebelum terhumban ke parit.

[Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/01/777120/lelaki-maut-nahas-kenderaan-dipercayai-terlanggar-lopak-air ]

Komentar

Keadaan jalan raya yang tidak sempurna terutama di kawasan bandar merupakan antara sebab berlakunya kemalangan jalan raya. Mengikut statistik kemalangan jalan raya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, sebanyak 223 kes kemalangan jalan raya direkodkan berpunca daripada jalan berlubang serta rosak akibat kerja-kerja pembinaan sepanjang 2018 hingga 2020. Daripada jumlah tersebut, 148 daripadanya adalah kemalangan maut. Berdasarkan statistik tersebut, kemalangan yang berpunca daripada fizikal jalan raya banyak membabitkan penunggang motosikal iaitu sebanyak 117 kes.

Isu yang diketengahkan dalam masalah ‘lubang maut’ di jalan raya ini adalah bagaimana keadaan dan kualiti jalan tersebut yang sering digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan. Keadaan fizikal jalan raya yang cepat rosak, mudah berlubang, tidak kemas hasil kerjanya serta tidak diselenggara dengan betul sememangnya menjurus kepada kerosakan jalan raya. Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah menyalurkan sejumlah peruntukan kepada pihak bertanggungjawab bagi tujuan pembinaan dan penyediaan jalan raya yang terbaik dan berkualiti. Namun persoalannya, ke manakah peruntukan tersebut disalurkan? Jika benar peruntukan tersebut  telah dimanfaatkan dengan peningkatan kualiti bahan binaan jalan serta proses penyelenggaraan yang sempurna dan betul, maka sewajarnya masalah ini tidak timbul.

Selain itu, kepantasan merespon dan tindakan susulan penyelenggara terhadap setiap aduan rakyat memainkan peranan dalam proses membaiki dan menyelenggara keadaan jalan raya. Hal ini kerana, pengabaian, sikap acuh tak acuh dan pilih kasih pihak terbabit terhadap aduan yang dikemukakan akan memberi imej yang kurang baik dan membangkitkan kemarahan rakyat. Tidak hairanlah terdapat beberapa individu yang nekad mengambil inisiatif sendiri dengan membaiki dan menyelenggara kerosakan jalan raya terutamanya jalan berlubang dengan menggunakan duit poket sendiri. Situasi seperti ini dikira amat memalukan pihak bertanggungjawab yang sepatutnya bertindak lebih pantas dan cekap dalam mengambil tindakan membaiki sebarang kerosakan fizikal jalan raya setimpal dengan kepakaran dan peruntukan kewangan yang mereka miliki.

Bagi menyelesaikan isu ini, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan penyelenggara perlulah memainkan peranan sewajarnya. Pemantauan sungguh-sungguh oleh kerajaan terhadap pihak bertanggungjawab iaitu penyelenggara haruslah dilakukan agar tidak menjalankan tugas-tugas menyelenggara jalan raya ibarat melepaskan batuk ditangga. Hal ini kerana, sudah menjadi tanggungjawab pemimpin negara dalam memastikan keselamatan rakyatnya terjamin.

Isu lubang maut tidak wajar dipandang remeh kerana membabitkan keselamatan dan nyawa manusia. Kepimpinan saidina Umar al-Khatab ketika memerintah negara perlu dicontohi. Beliau telah menunjukkan integriti yang tinggi dalam hal pentadbirannya dengan mengutamakan keselesaan dan kemaslahatan ummah. Bukan sahaja manusia, malah haiwan turut mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Khalifah Umar berusaha semampunya untuk memastikan struktur dan keadaan fizikal jalan yang sebelum itu sedikit berbonggol dan tidak rata diperbaiki kerana bimbang sekiranya terdapat unta atau haiwan yang terjatuh ketika melalui jalan-jalan di sekitar negara. Begitu sekali tahap keprihatinan dan pemerhatian yang tinggi seorang Khalifah dalam meyantuni ummah, bahkan segala hidupan dalam kekuasaan daulah Islam pada waktu itu. Sewajarnya setiap dari kita mengambil iktibar daripada kisah ini dengan merenungi hadis Rasulullah SAW, “Imam (khalifah) adalah raa’in (pengurus rakyat) dan ia bertanggungjawab atas pengurusan rakyatnya.” [HR al-Bukhari]