Tol lebuh raya – Bukti pengkhianatan amanah umat

Berita:

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Cadangan untuk menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini. Lagipun, katanya, penghapusan tol melibatkan proses yang rumit dan pelbagai pihak.

Sumber berita: bernama.com/bm/news

Komentar:

Di Malaysia, beberapa jalan raya merupakan sebahagian daripada projek yang menggunakan perolehan secara PPP (Public-Private Partnership), atau lebih mudah difahami sebagai kontrak konsesi (persetujuan untuk mereka, membina, mengurus, menyelenggara dan memperbaik). Sepanjang kontrak konsesi, pihak swasta yang terlibat akan menguruskan sepenuhnya projek tersebut sehingga tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada kerajaan. Contoh terbaik yang dapat kita lihat ialah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Kerajaan mengambil langkah menggunakan kaedah perolehan PPP kerana ia akan menguntungkan kerajaan daripada beberapa sudut seperti tidak perlu mengeluarkan modal, tidak bersusah payah merekrut tenaga mahir, tidak perlu memikirkan tentang penyelenggaraan dan pengurusan dan akan memperoleh perkhidmatan yang terbaik mengikut KPI yang ditetapkan. Sebagai imbalan kepada hal ini, pihak swasta akan memastikan keuntungan akan diperoleh (Return of Investment) daripada projek tersebut (biasanya dikutip melalui tol) sebelum tamat tempoh konsesi. Secara keseluruhan, perolehan secara PPP merupakan keuntungan dua hala, iaitu kepada pihak swasta yang terlibat dan juga pihak kerajaan.

Namun, apa yang gagal dilihat oleh kerajaan ialah perkara-perkara berikut:

  1. Kerajaan gagal untuk menimbang perkara ini daripada sudut pandang halal-haram berkenaan hukum pemilikan. Dalam projek perolehan PPP, hak milik umum sewenang-wenangnya diberi kepada pihak swasta dan kerajaan membenarkan umat diperas wangnya secara tidak syarie demi memastikan pihak swasta memperoleh peratusan keuntungan yang telah dipersetujui. Malahan keuntungannya langsung tidak kembali kepada umat, sebaliknya mengkayakan pihak swasta dan kroni.
  1. Islam telah meletakkan pengurusan hak umum (contohnya jalan raya) di bawah tanggungjawab negara. Ini bermaksud negara perlu memastikan umat dapat menggunakannya dengan baik tanpa menanggung sebarang beban dalam bentuk kewangan. Namun dalam projek seperti ini, kerajaan melepaskan tangan kepada pihak swasta kerana tidak mahu ‘bersusah payah’ mengurus hak umat tersebut sedangkan Islam meletakkan kerajaan sebagai pengurus dan pelindung kepada umat daripada sebarang bentuk ancaman dan kesempitan. Tindakan ini tidak ubah seperti seorang pengkhianat yang mengkhianati amanah yang diberikan.

Apa yang perlu kita fahami, hal ini ialah modus operandi yang ‘standard’ bagi sebuah negara sekular-kapitalisme yang tidak meletakkan hukum syarak sebagai pertimbangan, bahkan untung-rugilah yang menjadi anutannya. Projek seperti ini menguntungkan pihak kerajaan dan swasta, namun umat menanggung kerugiannya. Sehinggalah umat ini dilindungi semula oleh seorang khalifah yang menerapkan Islam yang menyeluruh dan hak umat dikembalikan, umat akan sentiasa ditekan, ditindas dan dikhianati oleh pemimpin mereka sendiri.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia