Seruan Terpesong Menyesatkan Umat

Nampaknya sejak akhir-akhir ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu rancak melakukan promosi dengan menyeru kepada “Pergerakan Kesedaran Global”. Seruan sebegini adalah seruan yang penuh kebatilan kerana secara tidak sedar ia sebenarnya mengajak umat Islam untuk berkompromi sambil bersifat ala kadar serta menyisihkan Islam di dalam banyak perkara demi menjaga kepentingan yang ingin diperoleh.

Sebagai contoh, Islam dikhabarkan sebagai agama yang “aman” serta memberikan kebebasan kepada umat Islam samada mereka hendak mengamalkan Islam atau tidak. Ini dapat difahami daripada seruan kepada umat Islam untuk mengambil jalan tengah serta bercakap di luar kotak pemikiran Islam, demi menjaga “hati” penganut agama lain. Seruan-seruan sebegini sebenarnya bertentangan dengan perintah Rasulullah yang menyuruh umatnya bercakap benar meskipun pahit untuk diterima. Seruan kepada pendekatan kesederhanaan ini pastinya akan lebih menjauhkan umat Islam daripada jalan yang lurus. Amat menyedihkan seruan sebegini dilakukan sempena bulan Hijrah ini.

Apakah wajar seruan kepada perubahan sempena bulan Hijrah ini diarahkan kepada konsep kesederhanaan? Walhal, pelbagai aktiviti telah dilakukan seperti Bacaan Yassin, Doa awal tahun dan Akhir tahun serta majlis sambutan dan anugerah yang diadakan secara besar-besaran tetapi kesemuanya adalah untuk mempromosikan idea yang jelas-jelas tidak berlandaskan Islam. Bersikap sederhana yang disamaertikan sebagai wassathiyyah tidak boleh  dirujuk sebagai maksud jalan tengah sehingga umat Islam harus berkompromi dengan fikrah lain, tetapi ia sebenarnya harus menjadikan umat Islam umat pilihan dan bukannya berada ditengah-tengah di dalam semua isu. 

Seruan sebenar yang perlu diserukan kepada seluruh umat Islam, termasuklah kepada para pemimpin Malaysia ialah seruan kepada penerapan Islam secara keseluruhan. Ini bermakna, seruan untuk meninggalkan segala sistem kufur yang rosak serta pemimpin yang tidak amanah mesti dilakukan. Sistem kufur yang telah banyak menyesatkan serta menindas umat selama ini haruslah dibuang serta diganti dengan sistem Islam yang sempurna. Para pemimpin yang tidak amanah serta mengutamakan dunia daripada keredhaan Allah haruslah ditukar kepada pemimpin lain yang mampu untuk melaksanakan Islam.

Sempena mengambil momentum bulan Muharram, iaitu bulan Hijrah, umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan seruan ke arah kesederhanaan yang akan menjebakkan mereka untuk berkompromi dengan sistem kufur. Seruan yang benar adalah seruan kepada pemikiran Islam yang benar yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan para sahabat. Barulah sambutan Maal Hijrah sempena bulan Muharam ini lebih bermakna.  Wallahu alam.

Sumber : Utusan Online, 15/11/2012