Redha atas Takdir: Kunci Ketenangan Wanita Muslimah
Penulis : Ustazah Nur ‘Ain Abdurrahman
Pendahuluan
Sesungguhnya kunci kepada kekuatan seorang Muslimah adalah apabila dia memahami dengan baik konsep Idrak Sillah Billah (menyedari hubungannya sebagai hamba Allah). Apabila seorang muslimah itu memiliki dan memahami dengan baik konsep tersebut dan dia memiliki kekuatan atas konsep pemecahan yang benar terhadap Uqdatul Kubro (Persoalan dasar- Aqidah), maka dia juga berupaya untuk mengatur dirinya sesuai dengan perintah dan larangan Allah SWT. Kesedaran ini menjadikan setiap cabaran dalam kehidupan bukan sebagai beban, tetapi sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan meningkatkan ketaqwaan.
Redha Terhadap Takdir
Menerima qada’ dan qadar dengan hati terbuka menunjukkan tahap keimanan yang tinggi. Redha terhadap takdir bukanlah tanda kelemahan, tetapi lambang kebergantungan yang penuh kepada Allah, yang menjadikan hati tenang walaupun di tengah-tengah cabaran. Setiap ujian yang dihadapi dalam hidup bukanlah halangan, tetapi sebagai peluang untuk memperkuatkan iman. Ujian datang untuk menguji kesabaran, keimanan, dan keikhlasan seorang Muslimah. Dengan redha, wanita Muslimah melihat ujian sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukannya penghalang kebahagiaan.
Sikap ini dapat disaksikan melalui tindakan para Muslimah di Palestin. Tidak lagi menjadi rahsia bahawa ia mesti bermula dari membina kekuatan dalaman diri masing-masing. Kekuatan yang dianugerahkan apabila seorang Muslimah itu sentiasa memelihara hubungannya dengan Sang Pencipta Yang Maha Kuasa. Di bumi Palestin yang masih terjajah dan terus diperangi tanpa perikemanusiaan, namun hebatnya muslimah di sana mereka tetap bertahan dalam berdepan dengan ujian besar ini. Mereka redha dan pasrah atas ujian yang sedang mereka lalui. Mereka memahami bahawa segala sesuatu di dunia ini sama ada baik atau buruk berlaku atas kehendak dan ketetapan Allah! Setiap cabaran dilihat sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan ketakwaan. Mereka dimotivasikan dengan Kalam Allah SWT Yang Maha Mulia:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” [TMQ Al- Baqarah (2) : 286]
Wanita Muslimah yang menerima takdir Allah akan menemui ketenangan dan kedamaian dalam hatinya. Ketenangan ini membantunya mengatasi kegelisahan dan tekanan dalam kehidupan seharian. Apabila hati sentiasa redha, kebahagiaan dan ketenangan jiwa akan datang dengan sendirinya, walaupun berdepan dengan cabaran.
Kesimpulan
Menerima takdir Allah dengan penuh redha menjadikan seorang Muslimah bukan sahaja sebagai hamba yang taat kepada Penciptanya, tetapi juga individu yang kuat, berani, dan bijaksana dalam menghadapi kehidupan. Redha adalah kunci ketenangan hati, dan dengan ketenangan itu, Muslimah mampu menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran, keberanian, dan keyakinan terhadap kebijaksanaan Ilahi. Allah sentiasa ada bersama kita dalam apa-apa jua situasi.
Wallahualam