Refleksi Cerita dari Gaza : Kunci Tanah Airku, Rumahku, Syurgaku

Tiga wanita Palestin—Abeer, Wafaa, dan Hiba—terpaksa menjadi pelarian akibat perang dan pengeboman di Gaza. Ketiga-tiga wanita ini berkongsi kisah kehilangan, penderitaan, dan kerinduan terhadap rumah mereka yang telah musnah akibat perang. Namun mereka masih memegang kunci rumah masing-masing sebagai lambang harapan untuk kembali suatu hari nanti. Berikut adalah ringkasan perkongsian daripada Abeer, Wafaa, dan Hiba :

Abeer al-Salibi, 37, tinggal di kem penempatan di Deir el-Balah bersama suami dan tujuh anaknya. Mereka hidup dalam khemah selepas rumah mereka musnah akibat pengeboman. Rumah yang dibina selama 17 tahun hanya sempat dihuni selama tiga tahun sebelum dihancurkan. Abeer masih menyimpan kunci rumahnya dan berharap untuk kembali, walaupun sekadar untuk mendirikan khemah di atas runtuhan rumahnya.

Wafaa Sharaf, 20, baru enam bulan berkahwin apabila perang meletus. Dia kini hidup dalam keadaan berpindah-randah bersama suami dan anak mereka yang lahir di kem yang sesak. Dia sentiasa membawa kunci rumah apartmennya yang telah mereka huni selama beberapa bulan. Wafaa sangat ingin kembali ke rumah kecilnya yang dianggap syurga, walaupun hanya berukuran 60 meter persegi.

Hiba al-Hindawi, 29, seorang ibu kepada tiga anak, turut kehilangan apartmennya yang musnah dalam serangan udara oleh rejim penjajah. Dia kini hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Hiba merindui nikmat kemudahan asas seperti paip air dan mesin basuh. Baginya, rumah adalah simbol keselamatan dan privasi, dan dia sangat ingin merasakan kestabilan semula.

Demikianlah, bagaimana “kunci rumah” menjadi simbolisme tanda kenangan dan harapan para wanita Gaza ini untuk pulang suatu hari nanti, walaupun banyak yang telah musnah.

Renungan : Rumah Tempat Utama Setiap Wanita Muslim

Selain itu, ada gambaran penting yang dapat kita selami dari kisah para wanita ini, iaitu luar biasanya mereka bersungguh-sungguh menikmati kefungsian mereka sebagai isteri dan ibu di rumah, sehinggakan rumah bukan sekadar harta, tapi tempat yang dicintai sepenuh hati. Sebab itulah walaupun rumahnya kecil, ia disyukuri dan sangat dihargai sepenuh hati. Berbeza dengan realiti di kebanyakan negara-negara sekular kapitalis, makin ramai para wanita tidak ralat meninggalkan rumah mereka untuk tujuan dunia, bahkan menganggap rumah sebagai aset berdasarkan pandangan material semata.

Bukankah sikap ketiga-tiga wanita ini perlu ada pada setiap wanita hari ini? Ini kerana wanita muslim sangat sinonim dengan fitrah dan peranan utamanya sebagai ummun wa rabbatul bayt, yakni pengurus rumah tangga. Sebagaimana hadis Nabi SAW: “…Seorang perempuan memimpin rumah suaminya dan anak-anaknya. Ia akan ditanya tentang kepemimpinannya. (HR Bukhari)

 

Bahkan menjadi keyakinan bagi kebanyakan masyarakat muslim, rumah adalah madrasah pertama di mana ibu adalah guru utamanya. Dengan kesedaran akan tanggungjawab ini, seorang isteri dan ibu akan membangun asas yang kukuh dari rumahnya berupa ilmu, adab, dan akhlak mulia dalam keluarganya. Generasi soleh dan muslih juga akan dicetak daripada sebuah keluarga yang memahami pentingnya menjadikan Islam sebagai dasar dalam sesebuah rumah sebagai madrasah utama dan pertamanya.

Selain itu, setiap aktiviti di rumah, bermula dari membersihkan hinggalah mengurus keluarga, adalah bernilai pahala jika diniatkan ikhlas kerana Allah. Bahkan, seorang muslimah yang menjaga solatnya, puasa, kehormatannya, serta taat kepada suaminya dijanjikan kemuliaan memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. Muslimah yang tetap produktif di rumah dengan menjadikan setiap detik sebagai ladang pahala dan sarana mendekatkan diri kepada Allah adalah muslimah yang benar-benar beruntung.

Oleh itu, mencintai rumah dan rumah tangga yang dizahirkan oleh para wanita Gaza ini tidaklah sama seperti mencintai harta kerana dunia, sebaliknya refleksi kecintaan terhadap tempat mereka melaksanakan peranan utama sebagai ibu dan isteri, tempat mereka menumbuhkan bibit ketaatan dan kasih sayang yang luar biasa. Maka tidak hairanlah mengapa rata-rata keluarga di Palestin mempunyai ikatan kekeluargaan yang sangat erat dalam apa jua situasi.

Teguh di Tanah Air Tercinta

Para penduduk Palestin juga sama sekali tidak putus harapan dan tetap teguh di tanah air tercinta. Kita boleh menemukan banyak berita, perkongsian di sosial media tentang betapa penduduk Gaza sejak dulu sangat bangga menjadi penduduk Palestin, sebahagian dari Tanah Berkah, tempat israk mikraj Rasulullah dan bumi para anbiya. Sehinggakan ramai dikalangan mereka sentiasa menanam keyakinan untuk tetap kembali menikmati kesejahteraan di tanah ini sekalipun menghadapi ancaman kezaliman yang melampau batas dari tahun ke tahun. Bahkan, impian untuk memulihkan kehidupan di tengah-tengah konflik yang berterusan masih tinggi.

Sikap dan keyakinan para penduduk Gaza ini sangat berbeza dengan kebanyakan pendatang Yahudi yang bergegas keluar demi menyelamatkan diri dari risiko dan natijah peperangan. Maka, dari kisah tiga wanita ini juga kita belajar bahawa kehilangan rumah dan harta benda tidak memadamkan cinta kepada tanah air secara syarie, malah memperkukuhkan semangat untuk memperjuangkannya. Itulah sikap tuan tanah sebenar yang terhormat.

Dengan tegaknya Khilafah `ala Minhaj Nubuwwah kelak, bumi berkah Palestin pasti akan kembali bebas daripada cengkaman kaum kuffar yang tamak, dan para penduduknya akan kembali menikmati keamanan dan kesejahteraan di bawah pentadbiran Khilafah sebagaimana semasa era kekhilafahan terdahulu. Kita memerlukan kekuasaan seperti para Khalifah Uthmaniyyah dan para pegawai tenteranya yang setia berkhidmat menjaga Al-Aqsa sehingga ke hujung nyawa. Teladan ini dapat dilihat pada Koperal Hasan dari Batalion ke-36, Skuadron ke-8, unit pasukan khas senjata berat yang dihantar oleh Khilafah Uthmaniyyah ke Masjid Al-Aqsa pada saat kehilangan Al-Quds. Pasukan ini tetap bertahan untuk melindungi Al-Aqsa daripada ancaman tentera British yang merampas masjid suci tersebut, dengan setia menjaga amanah walaupun kekhilafahan telah runtuh.

Apakah masih ada penguasa dan pasukan tentera hari ini seperti mereka yang setia menjaga bumi Al-Aqsa daripada serangan pencerobohan? Apakah masih ada penguasa dan pasukan tentera muslim hari ini yang menganggap bumi Al-Aqsa sebagai tanah air kaum muslim maka ia termasuk mereka juga dan wajib dipertahankan? Apakah masih ada penguasa dan pasukan tentera hari ini yang akan mengembalikan tanah-tanah yang dirampas dan dijajah kepada para pemilik tanah sebenar? Apakah masih ada penguasa dan pasukan tentera hari ini yang akan menjadi “kunci” membuka jalan kemenangan bagi ummah?

Pesan khusus buat Muslimah Ideal

Sebagai wanita Muslim, ambillah inspirasi dari kekuatan para wanita Gaza dan seluruh Palestin dalam berpegang teguh pada kebenaran dan jati diri sebagai muslim. Peranan yang boleh kita lakukan bersama adalah:

  • Memberi kesedaran tentang isu Palestin melalui pelbagai sarana – baik sosial media mahupun secara fizikal. Penting untuk setiap muslim celik politik Islam yang benar dan membicarakan isu Palestin dari kaca mata politik Islam.
  • Mendidik anak-anak generasi dengan kesedaran tentang keadilan dan tanggungjawab terhadap manusia, khususnya sesama saudara seakidah.

Dengan berpegang kepada prinsip syariah, melalui kisah para wanita ini, kita perlulah ingat bahawa perjuangan untuk Palestin adalah sebahagian dari usaha menegakkan keadilan dan membela saudara seakidah.

Semoga Allah SWT memberi ganti kebaikan dan rumah-rumah di syurga-Nya yang luas kepada hamba-hambaNya yang beriman yang tetap teguh, sabar dan tetap berjuang menegakkan agama-Nya tatkala tanah, rumah dan harta benda mereka dirompak, dimusnahkan dan mereka dihalau serta diserang di mana-mana. Hanya Allah lah sebaik-baik penolong.

Wallahu`alam.

Sumber :

https://www.aljazeera.com/gallery/2024/10/7/all-thats-left-is-a-key-palestinians-fleeing-israels-bombs-dream-of-home