Remaja Dipikat Ke Masjid, Najib Diingat Terapkan Islam Itu Wajib
PEKAN 23 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau mencari jalan untuk menarik golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan. Menurut Perdana Menteri, suasana masjid dan surau yang sesak dipenuhi oleh para jemaah termasuk golongan muda sepanjang bulan puasa seharusnya dikekalkan untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa. “Harapan saya semoga rumah Allah ini dijadikan tempat beribadat untuk semua golongan. Kita tak mahu lihat dalam bulan Ramadan sahaja, rumah ibadat penuh sesak dengan mereka yang berpusu-pusu ke masjid untuk solat dan bertarawih. “Terlintas pada fikiran saya, adakah keadaan ini dapat kita pertahankan dalam bulan-bulan lain.
Sumber: Utusan Malaysia 24/08/09
Inilah realiti umat Islam hari ini. Masjid penuh pada bulan Ramadhan tetapi kosong selepas dari itu. Inilah produk yang digelar “muslim Ramadhan” bukannya “muslim yang sejati”. Ramadhan berfungsi sebagai ‘adat’ bukannya alat untuk menggapai nilai takwa yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebagai PM yang berkuasa hari ini sewajarnya Najib menggunakan kuasanya untuk mewujudkan suasana Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara bagi memastikan umat secara keseluruhannya termotivasi untuk hidup dalam suasana Islam. Janganlah hanya mengharapkan ahli jawatankuasa surau dan masjid untuk melakukan sesuatu bagi menarik jemaah datang ke rumah Allah ini. Apalah sangat kuasa yang ada pada mereka? Lebih memburukkan keadaan, program-program yang disediakan pula tidak dapat menarik minat masyarakat untuk ke masjid. Lantas bagaimana remaja akan terdorong untuk ke masjid atau surau? Tambahan pula, persekitaran mereka saat ini penuh dengan perkara-perkara yang memalingkan mereka dari arah itu. Lihatlah sistem sosial kita hari ini. Lesen kebebasan diberikan oleh pihak pemerintah sekular hari ini untuk lelaki dan perempuan yang bukan mahram bebas sewenang-wenangnya bergaul di mana sahaja saat ini. Lihatlah siaran TV yang masuk ke setiap rumah di negara ini. Lihatlah media cetak yang ada saat ini. Semuanya dipenuhi dengan bahan yang merosakkan pemikiran masyarakat. Begitu juga dengan sistem pendidikan sekular yang ada pada hari ini. Justeru itu tidak hairanlah jika masyarakat lebih terpanggil untuk memenuhi tempat-tempat maksiat dari memenuhi rumah-rumah Allah SWT. Najib perlu melihat bahawa inilah golongan remaja hasil dari produk kilang Kapitalisme yang dibina di Malaysia sejak 52 tahun yang lalu. Selagi kilang Kapitalisme yang ada saat ini masih terus dibenarkan beroperasi oleh pihak pemerintah maka kita akan terus menuai produk-produk buruk Kapitalisme. Hasilnya lahirlah masyarakat yang Najib saksikan sendiri saat ini.
Wahai Najib ingatlah bahawa kuasa yang ada pada kamu saat ini adalah ujian yang Allah SWT berikan kepada kamu. Ianya boleh memberikan kebaikan ataupun kecelakaan kepada kamu kelak di hari akhirat. Wahai Najib, jadikanlah Ramadhan kali ini untuk kamu mendekatkan diri kepada Islam dan meninggalkan Kapitalisme yang buruk itu. Tengku Abdul Rahman telah pergi, Tun Razak bapa kamu telah pergi, Tun Hussein Onn telah pergi. Tun Mahathir telah melepaskan kebaikan yang dibentangkan kepadanya begitu juga dengan Tun Pak Lah. Kini tiba giliran kamu. Terapkanlah Islam. Tinggalkanlah sekularisme.