Geran Najib Untuk Menjadi Hero

Geran Bantuan Setengah Juta Tempatkan Semula Gereja – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan geran bantuan berjumlah RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernancle bagi menempatkan semula gereja berkenaan. Awal pagi semalam, tiga buah gereja dibaling dengan bom buatan sendiri. Tiga buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer serta Gereja Life Tabernacle, kedua-duanya di Petaling Jaya. Insiden pertama berlaku pada kira-kira jam 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja tersebut.

Sumber: m-Star online 09/01/10

Wah! Bukan main cepat lagi bantuan dari Najib untuk gereja apabila ditimpa ‘musibah’ biarpun gereja diguna pada hari Ahad sahaja, tidak sekerap masjid atau surau. Kenyataannya, keputusan drastik Najib ini memanifestasikan sikap apologetiknya dalam menangani isu kalimah Allah, atau setidak-tidaknya, beliau mahu dilihat tampil sebagai superhero 1Malaysia yang sangat ‘neutral’ dalam rangka memelihara perpaduan semua agama, bangsa dan budaya.

Belum pun siasatan penuh diputuskan, tiba-tiba Najib sebagai PM telah mewakili kerajaan Malaysia yang sering dikatakan sebagai negara Islam contoh, mengeluarkan bantuan besar bagi sebuah gereja walaupun ketika ini masih banyak surau-surau dan masjid-masjid yang diperlukan oleh umat Islam di Malaysia. Tindakan ini juga (boleh menjadi ‘umpan’ kepada sokongan bukan melayu kepada Najib dan BN) nampaknya merupakan salah satu respon kepada ungkitan ahli parlimen DAP Nga Kor Meng berkaitan isu bajet untuk rumah ibadat selain Islam.

Apapun, tindakan Najib ini banyak menimbulkan persoalan dan yang jelas, ia merupakan tindakan pragmatik yang tidak lain hanya disandarkan kepada manfaat dan bukan hukum Allah.

“Bagi kamu agama kamu, bagi ku agama ku” [TMQ Al-Kafirun (109):6]