Rumah ialah keperluan asas kehidupan yang dijamin syarak

Berita:

ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) — Kerajaan negeri berhasrat untuk berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta beberapa agensi kerajaan persekutuan bagi mencari kaedah penyediaan pinjaman perumahan untuk golongan kurang berkemampuan pada kadar faedah yang paling rendah.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ia termasuklah memberi pinjaman mudah melalui kadar faedah yang rendah seperti kurang satu peratus dengan tempoh bayaran balik pinjaman dipanjangkan kepada 35 tahun. [http://bernama.com/bm/news]


Komentar:

Di Malaysia, pemerintah sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri hanya memainkan peranan sebagai ‘penyedia rumah’ bagi rakyat atau dalam erti kata lain, hanya memperuntukkan tanah, mempelawa para pemaju untuk membina skim perumahan mampu milik dan mewajibkan pemaju membangunkan skim perumahan seperti ini sekiranya ingin terus melakukan pembangunan di negeri tersebut. Manakala urusan rakyat untuk memiliki rumah tersebut diserahkan kepada institusi-institusi bank kapitalis yang sedia memberikan pinjaman ribawi kepada yang layak namun terikat kepada piawaian bank dalam amalan pemberian pinjaman terutamanya dalam sektor perumahan. Secara ringkas, dalam sektor perumahan mampu milik yang dikatakan sudah disediakan oleh negeri atau negara, ia tidak bermaksud pemerintah menyediakan secara terus untuk rakyat, melainkan ia melibatkan institusi perbankan yang memainkan peranan memberi pinjaman untuk membeli rumah-rumah yang disediakan itu dan ia merupakan sebahagian daripada agenda merancakkan ekonomi negara. Dalam kes seperti berita di atas, menteri mencadangkan agar ‘pinjaman’ tersebut perlu dipermudahkan kelulusannya agar golongan yang tidak mampu juga boleh memiliki rumah dengan kaedah jual beli kapitalis, iaitu berhutang dengan hutang ribawi.

Perlu kita lihat bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah ini merupakan satu bentuk pengabaikan hak umat dan kezaliman yang sangat nyata apabila kita menilainya daripada timbangan hukum syarak. Bukan sahaja golongan yang tidak mampu ini masih lagi gagal mendapatkan salah satu daripada asas kehidupan manusia iaitu sebuah rumah, malahan diperas pula pendapatan mereka melalui pinjaman ribawi yang sangat menindas! Apa yang akan terjadi sekiranya pinjaman mereka diluluskan, namun beberapa tahun kemudian, mereka kehilangan pekerjaan? Pastinya rumah mereka akan disita lalu dilelong, kemudian mereka akan hidup dalam kepayahan hutang dan diisytiharkan muflis. Akhirnya para kapitalis banklah yang akan untung dan umat yang tidak berkemampuan tersebut akan kekal dalam kesengsaraan.

Sesungguhnya rumah merupakan salah satu daripada asas kehidupan manusia selain daripada makanan dan pakaian. Ia dikategorikan sebagai nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri dan sekiranya seorang suami itu tidak mampu dan tiada siapa yang dapat membantunya, kewajipan memberi nafkah ini jatuh kepada pemerintah dan harta daripada baitul mal perlu dikeluarkan untuk memenuhi keperluan asas ini. Kewajipan ini ialah antara kewajipan yang paling utama sehingga sekiranya baitul mal tidak mempunyai kemampuan, pemerintah wajib mengambil dharibah (cukai) daripada kaum muslimin dan sekiranya masih tidak mencukupi, pemerintah wajib mencari dana dengan cara berhutang dengan pihak lain.  Lihatlah betapa hukum syarak sangat menitikberatkan hal ini sehingga negaralah yang sepatutnya berhutang, bukan rakyat yang ditindas dengan hutang.

Inilah salah satu perbezaan yang sangat ketara di antara politik ekonomi Islam dan politik ekonomi kapitalisme. Islam sangat menekankan hak kehidupan rakyatnya sedangkan kapitalisme mengutamakan para pemilik modal melalui penindasan hatta kepada mereka yang tidak mampu. Adakah kita semua mahukan politik ekonomi kapitalisme ini terus menindas anak cucu kita untuk seribu tahun lagi? Renungkanlah.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia