Rumah Mampu Milik – Bukankah Itu Hak Mereka?

altTambah rumah mampu milik

PUTRAJAYA 15 Okt. – Kerajaan bertekad memperbanyakkan lagi projek-projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya hari ini dengan melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11 di sini. Menegaskan komitmen itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau menyedari peluang untuk membeli rumah khususnya oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana di sekitar Lembah Klang adalah kurang daripada 10 peratus.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri atau memegang hartanah bagi menyemaikan sense of ownerships (perasaan pemilikan) yang lebih erat kepada negara ini. “Bagi yang tidak berjaya (dalam proses cabutan) hari ini, harap jangan putus asa. Ini (baru) permulaan dalam perjalanan kita untuk bangunkan lebih banyak lagi (rumah mampu milik) di seluruh negara.
“(Cuma) saya nak tanya di mana ada kerajaan yang boleh sediakan sebegini baik kepada rakyatnya, kalau tidak bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan, saya tak tahu apa nak kata… sampai tak terkata.

“Insya-Allah, rakyat Malaysia akan terus terbela di bawah kerajaan sedia ada,” kata beliau. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Pertama PR1MA untuk Rumah Mampu Milik di Presint 11 di sini. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Menurut Najib, beliau sendiri menyaksikan betapa pentingnya memberikan rakyat pertalian yang ada pada hartanah. “Saya amat bertuah pada suatu ketika dahulu dapat mengikuti Allahyarham ayahanda saya (Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein) meninjau keadaan rakyat di rancangan tanah Felda.  “Saya dapat rasai betapa gembira dan komitednya rakyat yang telah diberi sebidang tanah dan sebuah rumah untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka, sehinggalah menjadi peneroka berjaya Felda sekarang,” katanya.

Sumber: Utusan Online, 16/10/2011

Rumah Mampu Milik – Bukankah Itu Hak Mereka?

Tempat tinggal merupakan keperluan asas bagi manusia. Ia merupakan tempat istirehat serta tempat aktiviti peribadi sesebuah keluarga. Namun di kala negara dirempuh oleh badai kemajuan materialistik di bawah sistem kapitalis, rumah bukanlah suatu yang mudah untuk diperoleh dan dimiliki oleh seseorang individu lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur dan sekitarnya. Ini kerana, harga rumah yang melambung tinggi menyebabkan sebilangan besar daripada mereka hanya mampu melihat projek-projek perumahan di sekeliling mereka namun mereka tidak mampu  memilikinya.

Program Perumahan Rakyat 1Malaysia ini bukanlah suatu yang perlu dibangga-banggakan. Ini kerana, pemenuhan keperluan tempat tinggal rakyat oleh negara merupakan suatu amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Lebih naïf sekiranya apa yang dibuat ini cumalah adegan untuk memancing undi daripada rakyat. Yang pastinya, ramai rakyat yang akan lebih terdedah kepada aktiviti ribawi melalui pinjaman daripada bank untuk memilik rumah di bawah program ini. Sudahlah kehidupan rakyat semakin terjerut dengan keadaan ekonomi yang menunggu rebah, mereka semakin dibebankan pula dengan pelbagai jenis hutang yang akhirnya mengakibatkan mereka bakal hidup sebagai hamba kepada hutang. Lebih sadis, rumah itu sebenarnya dibina dari hasil perompakan hak rakyat serta hasil daripada pemerasan oleh pemerintah terhadap rakyat. Ingatlah wahai para pemerintah! Sesungguhnya pemenuhan keperluan asas bagi rakyat merupakan kewajipan yang perlu kamu pikul. Ingatlah bahawa setiap jerih penat rakyat akibat kelalaian para pemerintah menerapkan hukum-hakam Islam pastinya akan meningkatkan potensi mereka untuk dicampakkan ke neraka. Nauzubillahi min zalik.